Sunday, August 11, 2013

Santai raya Umie, Erra, Zahida


TIGA wanita ini berada dalam fasa kewanitaan yang cukup meyakinkan.


DUA primadona, Erra Fazira dan Umie Aida cukup handal dalam medan perfileman serta drama tanah air. Air mata dan senyuman mereka mudah sahaja meninggalkan bekas dalam hati. Ada sisi setiakawan yang tidak akan mereka biarkan sendiri walaupun sudah bergelar ibarat bintang bergemerlapan.
Sahabat, teman, rakan berkongsi cerita, melepaskan tawa dan meriuhkan suasana memunculkan satu nama yang cukup intim dalam ruang privasi mereka. Nama yang dimaksudkan itu ialah Zahida Rafik, wanita yang sering dilihat bersama, akrab dan sepertinya saudara kandung dalam kehidupan sehari-harian mereka. Melihat tawa dan kemesraan yang terjalin, hati sesiapa pun mudah berasa cemburu. Mereka persis wanita yang sempurna, memiliki segala yang diimpikan setiap wanita lain. Kemewahan, glamor dan hidup dalam limpahan populariti.
Menilai daripada pandangan mata kasar, mudah sahaja menyimpulkan kemeriahan hidup yang mereka jalani sama ada di depan kamera atau di belakang tabir. Pertemuan bersama wanita berbeza portfolio itu sebaliknya menjelaskan sesuatu bahawa apa yang dilihat tidak semestinya menepati apa yang yang sudah tersirat. Bayangan hari raya dunia Erra, Umie dan Zahida barangkali serba sempurna, serba mewah sesuai dengan kestabilan kewangan mereka yang terpancar daripada kelibat majlis-majlis hiburan, namun mereka juga seperti wanita biasa.
Warisi resipi ibu
Sanggup meminjamkan kediaman peribadi sebagai lokasi fotografi istimewa ini sudah mencerminkan bahawa Umie seorang yang cukup bersahaja. Cuma karakter serta portfolio yang terbina memungkinkan dirinya digeruni untuk disapa.
Hari raya semestinya topik wajib yang masuk dalam perbualan. Kata Umie, hari raya ialah sambutan kekeluargaan. Justeru, semua persiapan dan aktiviti hari raya harus melibatkan keluarga.
"Jadi, setiap kali raya, saya memang beraya di rumah ibu. Ibu saya ialah wanita yang sangat sempurna, dia akan sediakan lauk-pauk untuk hari raya. Saya pula hanya akan jenguk-jenguk sahaja, tolong sikit-sikit, tahu-tahu semua sudah masak.
"Pada setiap tahun, memang begitu. Saya juga terfikir untuk warisi kehandalan ibu. Tapi setakat ini, memang ibulah yang akan masak segala macam masakan di rumah," katanya yang ditemui kira-kira dua minggu sebelum 1 Syawal.
Menjenguk suasana Syawal Umie, tidak banyak yang boleh dikongsikan pelakon yang sedang menghiasi skrin televisyen menerusi drama bersiri Umie itu.
"Raya saya macam biasa. Bila sudah sampai pada usia begini, hari raya sudah jadi hari untuk anak-anak. Buat diri saya, cukuplah pakai baju yang selesa dan tidak perlu nak sarat dengan labuci atau sendat sana sini. Senang nak bergerak dan melayan tetamu yang datang," katanya yang akan berlepas ke Eropah bersama kakaknya, Erma Fatima untuk menjalani penggambaran beberapa buah drama di sana.
"Kebetulan dapat ke luar negara, bolehlah saya makan angin bersama teman-teman juga. Mujur suami (Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan) saya izinkan," jelas Umie yang bakal terlibat dengan projek teater di Istana Budaya dan Singapura sekembalinya dari Eropah nanti.
Penuhi kehendak keluarga
Sepi perkhabaran di bidang seni, Zahida mengaku perkara itu. Namun, dia sedar tempatnya barangkali bukan lagi untuk menjadi tatapan peminat seni hiburan. Pernah keinginannya untuk kembali beraksi tercetus hasil tawaran dan pujukan teman-teman. Namun, kerisauan dan perasaan tidak yakin terasa tebal bersarang di dada.
"Kali terakhir saya buat kerja seni mungkin sekitar empat tahun lepas. Ketika itu, saya bersama rakan kongsi melabur untuk penerbitan sebuah filem berjudul Mei di Indonesia. Selepas itu, saya banyak buat kerja-kerja bisnes dan menguruskan badan kebajikan yang saya kendalikan. Saya tak macam Erra dan Umie, mereka itu bintang yang masih masih bersinar-sinar," jelas Zahida sedikit merendah diri namun jauh sekali menyimpan cemburu.
Dia kini selesa mendekatkan diri dengan kerja amal serta membantu insan yang kurang bernasib baik.
"Saya tumpang gembira tengok aktiviti mereka. Sekarang mereka sibuk dengan penggambaran di Eropah pula. Saya diajak untuk bersama-sama ke sana tapi ada komitmen lain yang tidak boleh saya tinggalkan di Kuala Lumpur," getusnya bahagia atas ingatan dan persahabatan yang terbina.
Sepanjang hari raya, Zahida mengaku masanya ditumpahkan sepenuh hati untuk keluarga. Emosi raya meluap-luap sejak seminggu akhir Ramadan dek persiapan khususnya mempersiapkan barang dapur untuk menjamu selera sepanjang Syawal.
"Seminggu sebelum Syawal saya sudah sibuk penuhkan barang dapur. Ibu, ayah, adik-beradik dan anak saudara semua sudah sudah berkumpul. Kami memasak untuk hari raya pertama dan kedua macam buat kenduri maklumlah keluarga saya besar," katanya lagi.
Mengajak Zahida bercerita tentang kemeriahan raya sebagaimana yang dibayangkan umum, katanya, ada sesuatu yang berbeza berlaku ke atas dirinya.
"Tahun ini, saya hanya pakai baju-baju raya tahun lepas. Masih ada lapan pasang yang belum dipakai. Saya tidak hantar kain untuk dijahit sebab merasakan seolah-olah membazir untuk berhabis-habisan melaram dengan baju raya. Kali ini, saya banyak sediakan persiapan raya untuk anak-anak buah dan ibu bapa sahaja. Perasaan itu datang kerana saya melihat terlalu banyak baju yang tidak muat disimpan di dalam almari," ujar ketawa.
Tambah Zahida: "Walaupun jarang muncul pada majlis hiburan tapi, saya tetap perlukan baju untuk majlis-majlis korporat, saya juga jenis yang tidak gemar cari baju pada saat-saat akhir. Jadi, tahun ini, saya cuma pakai apa yang ada tapi ada juga pereka fesyen macam Michael Ong, Syaiful Baharim dan Wan Pa yang tetap jahitkan baju untuk saya."
Masa untuk melepaskan sesuatu - Erra Fazira
Primadona dengan wajah penuh kelembutan ini sedang menghitung hari. Pemergian ke negara-negara Eropah untuk tujuan kerja bersama rakan-rakan. Bukan sekadar menyiapkan beberapa drama arahan Erma. Angin dan aroma udara luar juga menuntut dia, Umie dan Erma untuk berlatih teater yang bakal dipentaskan di Esplanade, Singapura sepulangnya dia mengembara.
"Lepas balik dari Eropah, saya akan ke Singapura untuk pementasan teater bertajuk Akulah pada 29 Ogos ini. Jadi saya perlu membuat persiapan. Nasib baiklah Umie dan Erma yang terlibat sama ada di Eropah, jadi masa ini juga digunakan untuk persediaan dan hafal skrip," ujar Erra yang akan berangkat hari ini.
Berkongsi cerita atas tajuk glamor raya, satu aroma yang sentiasa menyelimuti sisi pandang ke arah Erra, dia ketawa sebelum menjawab.
"Saya pernah tengok rakan-rakan yang bukan daripada golongan artis lebih glamor dan meriah. Lebih gah daripada selebriti. Tetapi untuk saya, saya lebih suka yang santai dan selesa. Bukan jenis yang 'bling bling'.
"Sebagai artis, saya penat berdandan dan melawa untuk pelbagai jenis acara. Jadi, hari raya merupakan ruang untuk saya bersederhana, tidak perlu terlalu berdandan dan yang lebih penting menjadi diri saya sendiri," akuinya lembut.
Namun pengaruh rakan sebaya sedikit merubah emosi untuk beraya tahun ini. Ini semua gara-gara penampilan aktres Rozita Che Wan, rakan yang sentiasa tampil elegan sepanjang masa.
"Tahun ini saya terkena tempias kawan-kawan. Saya tersentuh apabila melihat Rozita Che Wan yang ada 30 pasang baju raya. Baju dia pula semuanya yang wow, tahap fasa karpet merah sampai buat saya rasa kurang semangat dan persiapan menyambut raya. Tetapi tahun ini saya pakai apa yang ada dulu sebab tidak sempat buat persiapan beria," ketawanya yang turut melihat peningkatan semangat persiapan raya dalam diri rakan baiknya, Umie.
"Kalau Zahida memang depan mata sudah nampak macam mana cerianya dia mahu menyambut raya. Dulu, Umie santai tetapi semenjak dua menjak ini, dia semakin bergaya. Sudah nampak peningkatan," sambungnya tentang dua rakannya yang turut bergaya dalam busana Salikin Sidek dalam sesi fotografi kali ini.
Sebelum menamatkan keterujaan bercerita tentang raya, ibu kepada Aleesya ini ditanyakan erti kemaafan.
Dia menjawab, lembut: "Kemaafan raya ialah apabila kita dengan ikhlasnya memohon. Masa untuk kita melepaskan sesuatu dan juga hari sebuah pengakuan dibuat.
"Memang kita boleh minta maaf bila-bila masa sebenarnya tetapi hari raya dijadikan istimewa terutamanya untuk orang yang mempunyai ego yang besar serta sukar menyebut perkataan maaf. Jadi, gunakanlah platform ini untuk memohon dan kita tidak akan berasa janggal jika benar-benar ikhlas," kata maaf Erra yang membawa maksud begitu mendalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: