|
DEWAN Filharmonik Petronas (DFP) bakal mempersembahkan DFP Seni Festival yang menyajikan muzik ekstravaganza pada perayaan seni dan budaya selama seminggu bermula 16 September depan.
Dalam tiga festival yang lepas, DFP dan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) meraikan pelbagai cabang seni seperti muzik pelbagai genre, tarian, puisi dan lukisan, dengan kolaborasi terunggul bersama artis-artis tempatan, pelukis-pelukis tersohor dan badan-badan kesenian. Sempena festival kali ini, DFP dan MPO akan meneruskan kelangsungan pesta keraian ini dengan kolaborasi yang diharap mempersonakan khalayak.
Membuka tirai dengan persembahan bertemakan Malam Melayu Klasik yang menampilkan Badan Kesenian Yayasan Warisan Johor, DFP Seni Festival akan menampilkan penyanyi lagu-lasu asli yang terkenal seperti Datuk Andre Goh dan penyanyi asli angkatan baru Haziq. Antara lagu-lagu yang akan dipersembahkan ialah Mas Merah, Pasir Roboh, Seri Mersing, Halimun Malam, Bunga Tanjung dan Mohon Kasih.
Diserikan irama zapin, ghazal dan asli, konsert itu dijadualkan pada hari Isnin, 16 September ini pada pukul 8.30 malam. Ia juga bertepatan dengan sambutan Hari Malaysia pada tarikh yang sama.
Persembahan bertemakan Spectrum oleh MPO akan diadakan pada 18 September depan. Konsert unik yang mengetengahkan koreografi bercorak kontemporari oleh beberapa kumpulan tarian itu akan diiringi muzik ciptaan baharu oleh MPO di bawah pimpinan Kevin Field.
Melengkapkan perayaan seni dan budaya, persembahan teater tradisional, makyung pula menyusul pada 20 September depan. Diterajui oleh kumpulan Makyung Kijang Emas Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Kelantan dan Rosnan Abdul Rahman, satu-satunya Makyung lelaki dalam seni persembahan itu. Persembahannya itu berjudul Makyung Raja Besar Negeri Ho Gading.
Persembahan festival seterusnya bertukar rasa. Bertemakan MPO Rocks, sebuah konsert penuh versatil akan berlangsung pada 11 September berkonsepkan akustika dan berkolaborasi dengan artis-artis rock tanah air seperti Ella dan gitaris Man Kidal.
Wadah terakhir untuk festival kali ini ialah konsert bertemakan MPO and All That Jazz yang bakal menampilkan MPO Jazz Orchestra. Ia mempersembahkan lagu-lagu Melayu dan Inggeris dalam interpretasi jaz. Konsert ini menampilkan penyanyi Atilia, Dina Nadzir dan Elvira Arul. Antara lagu yang bakal dipersembahkan ialah When I Fall In Love, Imagine, Itulah Sayang, Old Love, Sangkar, I'd Rather Go Blind dan Getaran Jiwa. Konsert ini bakal berlangsung pada 22 September depan pukul 8.30 malam.
Selama seminggu dengan persembahan berbeza pada setiap malam, perayaan seni dan budaya itu akan diisi dengan aktiviti menarik di pekarangan lobi DFP sepanjang minggu. Maklumat lanjut boleh dilayari menerusi www.mpo.com.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: