|
PENYANYI bernama Ila Damiaa Johar membuat langkah pertama dalam dunia nyanyian melalui penyertaannya dalam sebuah rancangan realiti televisyen pada tahun 2010.
Biarpun tidak tersenarai sebagai peserta akhir rancangan Mentor 4, Ila Damiaa kekal mengikut acuan karier mentornya, rapper Joe Flizzow apabila dia tampil dalam single berjudul Untukmu selepas keluar daripada rancangan tersebut.
Biarpun lagu itu mengangkat namanya, tidak banyak kisah tentang penyanyi tersebut diketahui umum sementelah beritanya jarang disebarkan media.
"Biarpun lagu itu mendapat hit, masih ramai yang tidak kenal dengan saya dan hanya tahu nama sahaja. Bahkan ketika dengan lagu Malaysian Boy yang kini popular barulah nama saya sedikit dikenali. Menerusi lagu itu, saya hanya menyanyi beberapa rangkap sahaja.
"Lagipun saya tidak muncul di mana-mana majalah mahupun surat khabar sebelum ini. Sukar untuk peminat mengenali siapakah Ila Damiaa," ujar gadis tersebut dalam sesi fotografi bersama Sensasi Bintang baru-baru ini.
Kini sebagai langkah kedua, Ila tampil dengan beberapa formula untuk lebih dikenali. Selain bakal muncul dengan sebuah single baharu berjudul Di Sebalik, Ila turut menyambut kemeriahan hari lebaran dengan sebuah lagu raya.
Lagu Suasana Hari Raya yang dipopularkan oleh biduanita Datuk Sharifah Aini itu diberi nafas baharu oleh penyanyi tersebut. Ia dipopularkan semula sebagai tanda minatnya yang mendalam terhadap Sharifah Aini.
"Sebenarnya sukar untuk menyanyikan lagu Suasana Hari Raya kembali dengan cara yang berbeza kerana saya membesar dengan lagu itu dan ia menjadi ikutan setiap kali tibanya hari raya.
"Saya memilih lagu tersebut kerana ia dekat di hati saya malah ia merupakan lagu hari raya paling yang paling saya gemari," kata gadis berumur 24 tahun itu.
Sempena Syawal, Ila tidak akan bercuti lama. Sedar bahawa perjalanan dunia seninya masih jauh dan terpaksa bekerja kuat, jelas Ila, dia tidak kisah biarpun terpaksa mula bekerja beberapa hari selepas hari raya.
Aidilfitri pada tahun ini merupakan antara yang paling singkat untuk dia bersama keluarga apatah lagi pelbagai strategi dan jadual telah diaturkan oleh pihak pengurusannya, Kartel Records.
"Pada hari raya kali ini, saya hanya pulang sekejap sahaja ke kampung halaman di Kuching kerana bercuti seminggu sahaja. Sebenarnya, sambutan hari raya di sana akan diraikan selama sebulan berbanding di Semenanjung. Pada setiap hari, kami akan memakai baju kurung dan baju Melayu selama sebulan.
"Bagaimanapun, saya tetap gembira apabila pihak pengurusan memberi pelepasan untuk bercuti seketika. Walaupun tidak banyak aktiviti yang sempat dilakukan, peluang merakamkan foto bersama saudara-mara sudah cukup menggembirakan," katanya yang menggemari kek lapis Sarawak yang dicampur dengan coklat.
Selain menjadi penyanyi kepada lagu popular Malaysian Boy dan Untuk Mu, Ila juga pernah merakamkan beberapa buah lagu lain termasuklah Sukar dan Rahsia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: