Tuesday, August 20, 2013

Jus durian Aroma King tarikan Melaka

JUS Aroma King diperbuat daripada pati durian asli tanpa gula tambahan.


MELAKA cukup sinonim dengan asam pedas, gula Melaka, cencalok dan pelbagai menu yang menjadi identiti negeri bersejarah ini.
Begitu juga dengan minuman coconut shake yang menjadi kegemaran orang ramai yang melalui jalan dari Pantai Klebang hingga ke Pantai Puteri.
Selepas sambutan hangat yang diberikan terhadap produk tersebut, orang ramai termasuk pelancong bakal menikmati satu lagi menu istimewa iaitu jus durian asli selaku daya tarikan terbaharu negeri itu.
Diberi nama Aroma King, jus tersebut merupakan minuman berperisa durian asli yang dijual oleh pengusaha dari Bukit Rambai, Norfaisal Omar.
Dia menjalankan perniagaan itu bersama isteri, Noraini Abd. Wahab, 39, dan seorang rakan, Norfadilah Mohamad, 34.
"Saya tertarik untuk mengetengahkan minuman itu sebagai satu kelainan. Produk ini masih di peringkat promosi dan kami merancang untuk membuka sebuah gerai jualan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Jus Durian Aroma King di Dataran 1Malaysia Klebang baru-baru ini.
Menurut Norfaisal, 42, jus durian yang menggunakan buah segar itu mempunyai rasa manis asli tanpa campuran gula.
Durian terbaik
Katanya, pati jus itu pula bukan sekadar jus yang boleh diminum begitu sahaja malah mampu dipelbagaikan seperti ais kisar dan perisa kek, roti dan kuih.
Dia yang enggan mendedahkan resipi jus tersebut menjelaskan, minuman itu dapat bertahan sehingga enam bulan jika dibekukan.
Dengan tempoh yang panjang itu, jus tersebut boleh dinikmati sepanjang tahun.
"Pati jus dihasilkan menggunakan buah durian terbaik," katanya.
Noraini pula berkata, sebanyak 10 biji durian akan menghasilkan sebungkus beg plastik pati jus seberat 6.5 kilogram.

NORFADILAH (kanan) melayan orang ramai menikmati jus durian Aroma King.


Menurutnya, pati durian yang telah diinovasikan mampu bertahan antara enam bulan ke setahun.
Ujarnya, jus durian Aroma King merupakan yang pertama di negeri itu.
"Dengan modal serendah RM2,000, saya yakin sesiapa juga mampu menjalankan bisnes ini tetapi perlu mengambil pati durian daripada kami," katanya.
Noraini berkata, dia dan suaminya akan mengkaji pasaran jus terlebih dahulu selain mahu membuat kajian untuk menghasilkan durian shake .
Sementara itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Abu Bakar Mohd. Diah berkata, jus durian berkenaan berjaya dihasilkan menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama tiga bulan dengan kerjasama kementerian terbabit.
Kata beliau, pada masa yang sama pihaknya kini masih mengkaji kesesuaian buah tempatan itu dijadikan minuman shake yang boleh dijual pada harga yang lebih murah berbanding jus durian.
Menurut Ahli Parlimen Tangga Batu itu, produk yang telah diinovasikan itu tidak memberi kesan sampingan kepada tubuh.
"Produk ini sebenarnya telah dikaji selama tiga bulan sebelum diperkenalkan dan saya yakin ia mampu menjadi minuman yang popular sama ada kepada penduduk mahupun pelancong di Melaka," katanya yang turut hadir pada pelancaran jus durian Aroma King itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: