Tuesday, August 20, 2013

Panduan gaya rumah terbuka



PASTIKAN solekan berpadanan dengan busana yang digayakan.


LEBARAN merupakan detik penting terutamanya kepada golongan wanita yang amat mementingkan penampilan yang bergaya dan anggun ketika menghadiri rumah-rumah terbuka. Penampilan yang menawan dan bersesuaian pada Aidilfitri mampu menyerlahkan kematangan seseorang wanita agar tampak berkeyakinan kala melangkah ke rumah teman dan sanak- saudara.
Terdapat beberapa perkara perlu diambil perhatian agar penampilan tidak nampak canggung kerana momen itu bakal dipotretkan sebagai kenangan abadi. Mahukah anda berasa ralat melihat foto-foto tersebut 10 tahun akan datang? Ikuti panduan-panduan di bawah:
1) Busana
Pakaian yang bertepatan dan sesuai dengan tubuh merupakan perkara paling kritikal kepada sesetengah wanita. Sama ada persalinan tradisional atau rekaan moden, ia perlu ditetapkan sebulan sebelum perayaan memandangkan tempahan atau pembelian memerlukan rangka masa tertentu.
Jika ingin bergaya glamor, pilihan busana daripada pereka profesional mampu menambah seri feminin dek potongan yang tepat untuk tubuh. Keupayaan mereka tidak perlu dipertikaikan dan antara yang menjadi pilihan ialah hasil kerja pereka Rizman Ruzaini dan Hatta Dolmat.
Busana minimalis dan berpatutan pula boleh didapati menerusi butik dalam talian yang juga menggunakan idea kreatif pereka profesional. Jovian Mandagie dan Rizalman Ibrahim memberi variasi kepada pengguna menerusi kerjasama butik laman dalam talian seperti Zalora dan FashionValet.
Terserah kepada anda sama ada mahu menyarungkan busana pereka profesional atau tukang jahit biasa, perkara paling utama adalah keselesaan memandangkan ia akan dipakai dalam tempoh masa yang lama. Selain itu, pastikan busana tersebut praktikal dengan pergerakan anda.
BUSANA pereka profesional sering menjadi pilihan wanita yang mahukan penampilan eksklusif.


2) Solekan
Busana yang cantik perlu disertakan dengan solekan bersesuaian terutamanya pilihan bedak asas yang secocok dengan kulit. Jangan abaikan kepentingan bedak asas kerana ia mampu membuatkan kulit terus kelihatan segar tanpa sebarang cela.
Solekan tebal perlu dielakkan terutamanya ketika menganjurkan majlis rumah terbuka. Cukup sekadar mencalit gincu rona lembut dan pembayang mata warna natural. Solekan tebal memerlukan penjagaan rapi dan cuba bayangkan ketika anda sibuk melayan tetamu, bulu mata palsu atau celak mengotori wajah. Pasti ia menjadi bahan jenaka teman-teman.
3) Sepatu
Lengkapkan gaya dengan menyarungkan sepatu istimewa sempena lebaran. Kasut tumit tinggi atau baji mungkin sesuai ketika menghadiri rumah terbuka dalam suasana formal seperti di hotel atau dewan. Ia kerana keadaan itu tidak memerlukan banyak pergerakan. Apa yang pasti, padankan ia bersama kebaya singkat atau dres labuh rekaan moden untuk gaya menawan.
Kasut tumit rendah atau sandal pula sesuai untuk mereka yang banyak bergerak bagi mengelakkan kaki sakit pada malam hari. Kasut jenis terbuka sesuai dengan keadaan cuaca negara kita bagi mengelakkan kaki keletihan dan berpeluh.

KAMERA polaroid antara aksesori sampingan yang kian popular bagi merakam momen istimewa lebaran.


4) Haruman
Mungkin sesetengah wanita tidak mengambil perhatian kepada pemakaian haruman ketika berkunjung ke majlis rumah terbuka. Cuaca yang panas menyebabkan badan berpeluh, maka semburan wangian membuatkan badan kembali segar.
Minyak wangi haruman flora dan sitrus mudah menyerlahkan sisi ceria si pemakai. Ia sesuai disemburkan pada waktu siang kerana bau tersebut lebih ringan dan sesuai dengan cuaca yang panas.
Haruman yang sedikit kuat daripada jenis kulit kayu manis dan vanila pula sesuai dipakai pada waktu malam memandangkan cuaca sejuk dan badan tidak berpeluh.
5) Kamera
Jangan abaikan kepentingan kamera kerana setiap detik merupakan momen yang perlu disimpan untuk masa hadapan. Usah risau jika tidak mempunyai kamera digital memandangkan kebanyakan telefon pintar kini mempunyai kamera beresolusi tinggi. Kamera polaroid juga kembali menjadi pilihan kebanyakan pengguna kerana nampak bergaya dan moden.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: