Tuesday, August 20, 2013

Telekung berwarna diminati


KAUM wanita kini menitikberatkan telekung yang cantik, selesa dan lembut ketika dipakai.


BERBENTUK kain selubung putih untuk menutup tubuh dan padanan kain yang labuh, telekung berfungsi menutup aurat ketika bersolat untuk kaum wanita khususnya di negara seperti Malaysia, Indonesia, Brunei dan Thailand.
Telekung-telekung di pasaran pada masa kini ditawarkan dalam pelbagai corak, fabrik, sulaman dan fesyen terkini.
Seorang peniaga, Nor Azirah Salleh berkata, telekung buatan Indonesia yang dijualnya berharga antara RM55 sehingga RM60 sepasang.
Kebanjiran pasaran telekung ketika ini, membuatkan para peniaga perlu bersaing dari segi harga termasuk menawarkan diskaun-diskaun menarik.
"Saingan pasaran begitu sengit apabila terdapatnya ribuan penjual pakaian ibadat ini sama ada di bazar, butik, pasar dan laman-laman sosial.
"Bagaimanapun, pembelian telekung tidak terhad untuk tujuan ibadah, malah ramai pelanggan wanita mahupun lelaki yang membelinya sebagai hadiah," katanya yang mempunyai ramai pelanggan dari Sabah, Sarawak dan Brunei yang menetap di Kuala Lumpur yang membeli telekung beliau untuk diberikan kepada ahli keluarga.
Pereka telekung tempatan, Siti Khadijah Apparel Sdn. Bhd., Padzilah Enda Sulaiman berkata, terdapat pelanggan yang membeli telekung untuk tujuan bersedekah terutamanya pada bulan Ramadan lalu.
Kebiasaannya, telekung itu akan diwakafkan sama ada ke surau mahupun rumah anak yatim.
Menurutnya, pada hari ini para pelanggan juga amat menitikberatkan pemilihan telekung termasuk dari aspek keselesaan, cantik, fabrik lembut dan tidak panas.
Di samping itu, katanya, telekung yang mudah dipakai dan tidak memerlukan pemakaian anak tudung antara diminati ketika ini, selain memenuhi syariat dengan menutupi anak rambut dan dagu pemakai dengan sempurna.
"Dengan perkembangan ekonomi, pelanggan sudah mampu memiliki beberapa pasang telekung untuk kegunaan sendiri. Selama ini, pelanggan hanya memilih telekung berdasarkan sulaman dan jenis fabrik.
"Justeru, Siti Khadijah menawarkan kepada pelanggan pilihan reka bentuk di bahagian muka yang selesa dan bersesuaian dengan bentuk wajah," kata wanita yang membangunkan jenama telekung Siti Khadijah sejak tahun 2009.

TELEKUNG kini bukan sekadar warna putih polos dan hiasan kerawang malah direka dalam pelbagai warna sebagai pilihan. - Gambar hiasan.


Trend warna-warni
Menariknya, telekung pada hari ini bukan sekadar warna putih polos dan hiasan kerawang, malah telekung berwarna mula mendapat perhatian ramai.
Bagi penjual telekung separuh masa di laman sosial, Azzah, kebanyakan permintaan pelanggannya lebih tertumpu kepada telekung berwarna.
Dia menjual telekung-telekung dari Yemen dan mendapat bekalan daripada sepupunya yang belajar di negara tersebut.
"Ramai pelanggan yang memilih telekung warna merah hati dan biru tua. Rekaan telekung ini seperti jubah dan labuh menutupi kaki. Telekung ini juga mempunyai bahagian sarung lengan tangan," jelasnya.
Bagaimanapun, telekung berwarna putih tetap mendominasi permintaan. Antaranya bagi memenuhi permintaan untuk menunaikan ibadah haji ke Mekah dan budaya masyarakat negara ini yang lebih gemar warna putih.
Tinjauan mendapati kebanyakan telekung yang dijual adalah dari negara-negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam. Agak sukar untuk melihat hasil telekung tempatan dan jika ada, ia hanya boleh didapati di butik-butik tertentu seperti Siti Khadijah. Ini sekali gus mewujudkan persaingan kepada pembuat tempatan.
Kata Padzilah, telekung tempatan tidak banyak di pasaran berikutan industri ini masih lagi baru di negara ini. Selama ini, industri telekung hanya dibuat secara kecil-kecilan iaitu sekadar memenuhi tempahan rakan dan jiran-jiran.
Biarpun demikian, senario ini tidak menjejaskan permintaan telekung tempatan dan ini diakui sendiri oleh pengusaha telekung, Noor Azliza Abdul Wahab yang menjalankan perniagaannya di Kampung Pulau Kecil, Jitra, Kedah.
"Permintaan sentiasa ada. Biarpun pelanggan membeli dari negara luar, kebanyakan daripada mereka akan datang berjumpa kami meminta memperbaiki bahagian muka kerana longgar," katanya yang membangunkan telekung berjenama Melati Tanjung Enterprise.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: