Thursday, August 22, 2013

Jangan pertikai imej saya - Nazim Othman


NAZIM sering menjadi pilihan Erma Fatima untuk membintangi drama-drama arahannya.


OBSESI sebilangan artis terhadap dunia fesyen bukan satu kesalahan. Namun, adakalanya kecenderungan itu mengundang reaksi kurang senang daripada peminat.
Ada yang mengandaikan kecenderungan berfesyen, contohnya mengikut aliran fesyen jalanan Korea, menampakkan seseorang artis itu kurang jati diri dan pelbagai tafsiran negatif lain.
Terbaharu, tempias itu dirasakan oleh pelakon muda Nazim Othman yang sering memuat naik foto-fotonya mengenakan fesyen ala Korea di laman Instagramnya.
Tidak dinafikan, fenomena Korean Pop atau K-Pop kini sedang hebat melanda dunia tetapi ada yang kurang senang apabila artis kesayangan mereka mengikut budaya berfesyen dari negara tersebut.
Kosmo! mendapatkan reaksi daripada bintang utama drama Sangkar itu yang bakal bersiaran di TV9 tidak lama lagi ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Anugerah Syawal 5 Malam 4 Hari TV9 di Kelab Golf Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ikuti temu bual tersebut.
Kosmo!: Fesyen itu universal tetapi apabila seseorang figura yang dilihat terlalu obses dengan imej tertentu, ada peminat yang melihat fenomena itu dari sudut negatif. Komen anda?
Nazim Othman: Itu cara saya dan saya mempunyai stail saya sendiri. Saya tak mahu layan kalau ada sesiapa yang persoalkan apa yang saya pakai kerana tiada isu atau perkara negatif pun. Saya memakai mengikut kesesuaian diri saya, fesyen saya selesa dan yakin untuk menggayakan pakaian tersebut. Jadi, apa masalahnya?
Adakah anda seorang pelakon yang obses apabila berfesyen dan cenderung untuk mengikut trend semasa?
Saya tidak memilih pakaian yang menjolok mata, jadi tidak ada sebarang masalah untuk berfesyen bagi saya. Obses atau tidak itu bukan isu utama kerana itu gaya saya.
FIGURA kacak ini selesa dengan gaya pemakaiannya.


Beralih pada rutin sepanjang bulan Ramadan tahun ini, adakah wujud perbezaan?
Biasalah hidup bujang, tiada apa yang istimewa pun. Saya bukan seorang yang suka memasak dan selalu juga terlepas bersahur. Apabila berbuka pula, saya gemar membeli makanan untuk dimakan di rumah.
Juadah berbuka puasa kegemaran saya antaranya laksa Johor dan beriani Johor, pendek kata apa jua hidangan dari negeri kelahiran saya, Johor, menjadi pilihan saya.
Adakah anda bekerja pada bulan Ramadan lalu?
Perancangan awal ialah untuk berehat seketika tapi syukur ada juga rezeki yang datang. Jadi, saya fikir tidak salah untuk saya menerima tawaran terbabit. Selesai penggambaran drama bersiri Sangkar, saya kemudian terbabit dengan telefilem Bisikan Azazil dan Fenomena Cinta sebelum berangkat ke Milan, Itali pada hari raya kelima untuk penggambaran drama Kalimah Jiwa arahan Erma Fatima.
Anda sering menjadi pilihan pengarah Erma Fatima untuk membintangi naskhah arahannya, adakah anda anak emas Erma?
Saya selesa bekerja dengan produksi Erma Fatima dan dia pula bukan calang-calang orang. Saya tidak tahu sama ada saya kesayangan dia tapi saya terima tawaran-tawaran tersebut secara positif.
Bagaimanakah Aidilfitri tahun ini?
Saya beraya di kedua-dua buah kampung ibu dan ayah saya di Johor dan Perlis.
Hari raya kelima tahun ini anda bakal beraya di Itali, mungkin anda sudi kongsikan pengalaman beraya di luar negara suatu ketika dulu?
Tahun 2006 ketika bertugas sebagai pramugara saya pernah menyambut raya di Frankfurt, Jerman dengan kawan baik saya. Hanya kami berdua orang Melayu yang beraya di sana ketika itu, pagi-pagi raya kami makan rendang masak siap dan pastinya suasana ketika itu sangat hiba.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: