Thursday, August 22, 2013

Afiq tak jejaskan produksi Zaiton

DI SEBALIK kontroversi perselisihan faham Afiq dengan ibunya, dia kekal menjadi artis residen syarikat produksi milik Zaiton, Global Station.


SELEPAS berjaya dengan drama bersiri Adam & Hawa, penerbit drama Datin Zaiton Mohd. Jiwa menerusi syarikat produksinya, Global Station bakal menerbitkan sekuel Adam & Hawa versi filem.
Menurutnya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitrinya baru-baru ini, sekuel tersebut dibikin daripada novel terbaharu Adam & Hawa dan bakal menjalani penggambaran tidak lama lagi.
“Ingin saya tekankan Adam & Hawa versi filem merupakan sambungan daripada drama bersiri Adam & Hawa kerana pihak produksi mengambil jalan cerita daripada novel terbaharu Adam & Hawa.
“Pelakon utamanya masih dikekalkan orang yang sama, cuma saya masih mencari pelakon pembantu yang sesuai,” tuturnya.
Ujarnya, selain filem Adam & Hawa, Global Station juga sibuk dengan proses terakhir filem Manisnya Cinta yang juga diadaptasi daripada novel popular.
Filem arahan Bernard Chauly itu menelan belanja sebanyak RM1.5 juta dan menjalani penggambaran di Turki meskipun latar dalam novel itu adalah Mesir.
“Kalau ikutkan dalam novel itu, latarnya adalah bumi Mesir tetapi waktu itu Mesir sedang bergolak, jadi kami dinasihatkan oleh pihak kedutaan supaya mencari lokasi lain yang lebih selamat.
“Selepas berfikir, kami memilih Turki kerana banyak tempat menarik di sana selain proses penggambaran berjalan lebih mudah,” kata Zaiton tentang filem lakonan Fazura dan Shaheizy Sam itu.
Tidak hanya filem, Global Station juga bakal memulakan penggambaran drama 13 episod yang berjudul Projek Memikat Suami.
Jelas Zaiton, pihaknya bukan tidak mempunyai idea baharu dan mengambil jalan pintas dengan mengadaptasi naskhah daripada novel popular, namun sebagai penerbit, dia melihat perkara itu merupakan trend yang diminati penonton.
“Sebagai penerbit saya juga tidak mahu rugi, tambahan pula naskhah yang diangkat daripada novel mempunyai pengikut yang ramai.
BAKAL dapat menantu. Zaiton di samping anaknya, Zetty Adila.


“Tugas saya sebagai penerbit ialah memilih naskhah yang benar-benar sesuai untuk diadaptasi ke drama mahupun filem.
“Bukan semua novel sesuai kerana durasi drama dan filem lebih singkat daripada membaca sebuah novel,” tegasnya.
Dalam pada itu, Zaiton turut ditebak tentang kedudukan artis residen Global Station, Afiq Muiz yang mencetuskan kontroversi apabila berselisih faham dengan ibunya sendiri.
Ulas Zaiton, meskipun Afiq terlibat dengan kontroversi tersebut tetapi sehingga bulan Februari tahun hadapan, pelakon muda itu masih kekal menjadi artis residen Global Station mengikut kontrak yang telah ditandatangani.
“Mengikut kontrak, Afiq masih sah sebagai artis residen. Sejak kontroversi tersebut, memang kerjaya Afiq agak perlahan tetapi kami tidak ada sebarang masalah dengannya.
“Jika pihak stesen televisyen membenarkan Afiq muncul di layar kaca, dia akan terlibat dengan drama-drama seperti biasa,” tuturnya.
Meskipun begitu, Zaiton menjelaskan produksinya langsung tidak terjejas dengan kontroversi yang melanda Afiq.
“Saya memilih Afiq untuk menjadi artis residen syarikat kerana merasakan dia mempunyai potensi yang besar.
“Lagipun dia sudah terlibat dengan beberapa buah drama terbitan Global Station. Disiplinnya juga bagus.
“Kontrak ditandatangani sebelum kontroversi tercetus, saya sendiri tidak menjangkakan perkara sedemikian akan berlaku.
“Apa yang saya harapkan dia dapat selesaikan masalahnya secepat mungkin,” katanya.
Selain rumah terbuka, pada hari yang sama, Zaiton yang juga kakak ipar kepada penyanyi Datuk Siti Nurhaliza itu turut mengadakan majlis pertunangan anak perempuannya Zetty Adila, 27, dengan pasangannya Dziya Syazwan, 28, yang diadakan di kediamannya di Ampang, Selangor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: