Thursday, August 22, 2013

Nomad masih bertatih

NOMAD tidak rela bergelar artis yang tidak berpengetahuan.


SESI fotografi bersama artis baharu ini di Neway Karaoke, 1Utama, Petaling Jaya, Selangor pada pertengahan Ramadan lalu berlangsung santai.
Komitmen yang diberikan semasa fotografi itu boleh dibanggakan.
Nomad bukan nama yang asing dalam dunia hiburan. Ini kerana pembabitannya dalam seni muzik sudah lama, cuma namanya tidak dikenali ramai.
Nomad atau nama sebenarnya, Nur Mohd. Alieef Ayub, 25, bercita-cita untuk berjaya dalam bidang nyanyian.
Walaupun anak kelahiran Besut, Terengganu ini kurang popular, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus kekal dalam industri muzik.
Kosmo! sempat bertanyakan maksud di sebalik nama Nomad itu. Anak sulung daripada enam beradik ini memberitahu, sebenarnya sejak dari sekolah menengah lagi dia telah digelar Nomad.
Ini kerana kehidupannya yang sering berpindah-randah disebabkan pekerjaan bapanya sebagai anggota polis yang memerlukan dia berhijrah dari satu negeri ke negeri yang lain.
Dia yang terkenal dengan lagu Tetap Menantimu ciptaan Akid dan lirik Poji yang juga single pertamanya, mula berjinak-jinak dalam seni muzik sejak tahun 2007.
Pembabitannya bermula seawal usia 18 tahun dan pernah muncul bersama kumpulan Cherita sekitar tahun 2008.
“Saya bermula sebagai pemain gitar sewaktu menuntut di Kolej Islam Antarabangsa.
“Pada masa itu, saya hanya bermain gitar. Saya sendiri tidak tahu yang saya sebenarnya mempunyai bakat menyanyi,” ujar pemuda kacak ini.
Disoal sama ada dia pernah menyertai uji bakat nyanyian sebelum ini, dedah Nomad, dia telah mencuba pelbagai uji bakat termasuk Akademi Fantasia dan Mentor, bagaimanapun gagal.
Cabaran
Nomad yang bekerja sebagai Pengurus Pemasaran Hainan Engineering Sdn. Bhd., iaitu syarikat milik bapa saudaranya, menyanggah tanggapan sesetengah masyarakat yang mengatakan menjadi penyanyi tidak memerlukan pendidikan.
“Bagi saya, penyanyi perlu banyak ilmu. Saya tidak mahu sekadar menjadi penyanyi, tetapi tidak mempunyai pengetahuan,” katanya.
Bertanyakan cabaran yang dilaluinya untuk bergelar penyanyi, Nomad berkata, hasratnya pernah dihalang oleh ibu bapanya.
“Selepas tamat pengajian, saya teruskan juga menyanyi bersama kumpulan Cherita.
“Selain itu, kami turut menerima cabaran apabila penganjur hanya menjamu kami dengan buah pisang selepas persembahan dan dia terus melarikan diri,” katanya yang cukup menghargai usaha dan tunjuk ajar daripada teman dalam industri seperti komposer Azmi Abdul Manaf (Dakmi) dan Alfa Booty.
Bercakap tentang single Tetap Menantimu, Nomad memberitahu, dia bersyukur kerana lagu tersebut mendapat reaksi positif daripada peminat.
Ujarnya, respons yang baik daripada peminat membuatkan dia bersemangat untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada pada dirinya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: