Monday, August 12, 2013

Dunia penulisan kreatif Zainal Taib

DUNIA kewartawanan yang pernah diceburi mendorong Zainal Taib terlibat dalam bidang penulisan kreatif.


JIKA membaca karya penulis, Zainal Taib Abdul Hamid, 39, atau lebih dikenali sebagai Park Sue Zai, ia banyak berkisar kepada pengalaman hidupnya sewaktu bergelar wartawan suatu ketika dahulu.
Ini kerana anak kelahiran Kampung Batu Melintang, Jeli, Kelantan itu, telah memulakan kerjaya sebagai wartawan sambilan di sebuah akhbar tabloid. Di situlah dia mula diperkenalkan dengan dunia penulisan.
Walaupun sekadar wartawan sambilan, Zainal Taib bertanggungjawab mengendalikan beberapa kolum yang banyak mengupas isu-isu kehidupan dan keluarga.
“Ketika itu, saya berguru dengan Mazlan Manan, Nuri Sufian dan Hasyim Anang yang merupakan orang kuat sebuah syarikat penerbitan tempatan. Mereka banyak membantu dan memberi semangat untuk saya berkarya.
“Akhirnya, saya berjaya menyiapkan sebuah cerpen berjudul Ummi. Ini sekali gus membuka lembaran baharu dalam bidang penulisan kreatif,” ujarnya.
Tanpa disangka, cerpen Ummi telah dipilih memenangi hadiah saguhati Sayembara Mengarang Cerpen Yayasan Ummi Selangor pada tahun 1996.
Rentetan itu, minatnya terhadap dunia penulisan kreatif semakin mendalam.
Tidak lama kemudian, dia tampil dengan lebih banyak cerpen seperti Kerana Baju Itu, Bila Mamaku Bergaya, Di Pertemuan Itu, Hati Izra, Datuk vs Datuk, Bila Datin Menjerit dan Ah Chow. Semua karya tersebut dimuatkan dalam majalah-majalah dan akhbar tempatan.
Pada tahun 2012, novel pertama Zainal Taib berjudul Noktah Pertemuan diterbitkan oleh Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.
Ia merupakan sebuah novel remaja yang memaparkan kisah hidup seorang selebriti tanah air yang lahir daripada program realiti yang ingin mencari ketenangan jiwa selepas diuji dengan pelbagai dugaan.
Perasaan teruja
“Sebenarnya saya sendiri tidak menyangka bahawa selepas seminggu menghantar manuskrip novel tersebut, pihak penerbit terus memberi respons positif.
“Namun, saya diminta untuk menambah 50 muka surat lagi untuk menjadikan novel tersebut lebih suspens dan dramatik. Saya berjaya menyiapkannya dalam tempoh 14 hari. Dua minggu kemudian, saya dimaklumkan muka hadapan novel berkenaan telah siap.
“Perasaan saya amat teruja kerana percubaan pertama menghasilkan novel sendiri berhasil,” ujarnya sambil mengimbau detik penghasilan novel itu yang dilancarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012.
Terbaharu, novel kedua Zainal Taib yang berjudul Mengejar Kasih Di Hujung Senja telah berada di pasaran.
Menurutnya, ia merupakan sebuah garapan kisah benar yang diadaptasi daripada pengakuan seorang bekas komunis yang telah kembali ke pangkal jalan.
“Kisah ini saya ambil semasa menjadi wartawan dan mengadaptasikan ke dalam bentuk novel. Ia turut menyelitkan isu-isu berkaitan penderaan, kasih sayang keluarga dan percintaan,” jelasnya.
Dia kini sedang menanti karya ketiganya iaitu Himpunan Cerpen (Jalan Pulang) Zainal Taib dalam bentuk buku elektronik (e-book).
Untuk mendapat keterangan lanjut tentang Zainal Taib, sila layari laman l Faceboook Park Sue Zai atau Twitter Zainal Taib. Dia juga boleh dihubungi di talian 014-827 6298.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: