Sunday, August 11, 2013
Fouziah dan Anzalna raikan cinta
AIDILFITRI merupakan hadiah untuk umat Islam yang bersabar menahan dugaan Ramadan. Bergembira ketika berbuka malah bergembira tatkala Syawal menjelma. Ketika ini juga, para sahabat, kenalan, sanak saudara yang jauh atau dekat saling berkunjung-kunjungan. Buat anak-anak muda yang hatinya sedang berbunga-bunga, waktu-waktu beginilah antara tempoh bahagia yang harus dikongsi bersama-sama.
Meraikan kemanisan Syawal yang belum pun bersisa ini, pasangan 'darah manis' Fouziah Ghous dan tunangan Md. Zhafran Md. Yusof serta Anzalna Nasir dan kekasih hati Hanif Zaki punya cerita bahagia. Belum diikat oleh ijab dan kabul namun dua selebriti itu serius dalam ikatan kasih yang terbina daripada kepercayaan dan restu keluarga. Tempoh bercinta-cinta mahu dinikmati dengan seikhlas rasa. Asalkan tidak melangkau batasan pergaulan, perasaan yang dikurniakan oleh Ilahi itu mahu dipelihara sebaik-baiknya.
Masuk hari raya keempat, Fouziah akan bersama keluarga dan keluarga tunangnya, Zafran. Selepas tiga hari beraya di Kuala Lumpur, keluarga Zafran mengajak keluarga Fouziah untuk pulang ke Kelantan.
"Tahun ini, buat kali pertamanya, saya dan ibu beraya di Kota Bharu, Kelantan. Kiranya ini semacam sesi melawat dan berkenal-kenalan dengan keluarga Zafran sebelum hubungan itu didekatkan lagi dengan perkahwinan.
"Zafran dan ibu bapanya memang berasal dari Kelantan tetapi mereka sudah lama berhijrah ke Kuala Lumpur," ujar Fouziah yang ditemani dua anak saudara serta ibunya sepanjang berada di Kota Bharu.
Tambah Fouziah: "Seronoknya berada di Kelantan adalah apabila merasa sendiri makanan wajib dan cara orang Kelantan beraya. Saya memang ada datang ke Kelantan untuk menjalani penggambaran tapi bukan berkunjung bersama keluarga sebegini."
Membawa pelakon yang masih berbaki seminggu untuk penggambaran drama bersiri terbaharunya, Alam Maya itu menyelami fasa pertunangannya yang di depani hari ini, Fouziah paling bersyukur mengenangkan Zafran cukup positif dalam banyak hal biarpun sesekali berdepan situasi yang sukar dalam kehidupan. Menjadi selebriti yang diperhatikan setiap gerak-geri, tentu ada waktunya mereka mahukan privasi.
"Saya sendiri sudah kalis dengan semua yang dikatakan dunia hiburan, cuma Zafran kena benar-benar bersedia mental dan fizikal. Walaupun sejak awal katanya sudah bersedia, tapi dia sebenar-benarnya masih belum masak sepak terajang dunia seni.
"Saya kena ajar dan benda ini akan memakan masa. Saya selalu beritahu Zafran, anggaplah pihak yang suka cari salah dan fikir yang bukan-bukan tentang kami itu sebagai penghibur sahaja. Soal gambar kami pun boleh jadi bahan dan saya tidak mahu jadi hipokrit sama ada di depan atau di belakang khalayak. Keluarga pun selalu nasihatkan agar berhati-hati semasa bergambar. Kami bawa hubungan keluarga, bukan hubungan saya dan Zafran sahaja," ujar Fouziah yang berikrar tetap menjadi diri sendiri dalam setiap tindak-tanduknya.
Atas prinsip itu juga kata Fouziah, dia tidak akan teragak-agak jika mahu berkongsi momen bahagia bersama Zafran menerusi laman sosial miliknya.
"Saya tetap akan berkongsi gambar-gambar kami, itu rakaman saat-saat percintaan kami, asalkan ia tidak keterlaluan, kami okey. Jika ada yang mahu menuding jari dan melemparkan kritikan negatif, terpulanglah," tambahnya.
Ditanya jika ada rungut daripada pihak pasangan yang bakal dinikahi itu, Fouziah mengaku, tuntutan karier dan waktu bekerja yang tidak menentu memungkinkan konflik jika tidak wujud pemikiran yang sehaluan.
"Mujur saya bertemu dengan lelaki yang mempunyai waktu bekerja yang teratur. Saya pula agak huru-hara. Jadual penggambaran memang tak menentu. Nasib baik Zafran boleh ikut jadual saya. Dia tidak terikat dengan waktu kerja yang tetap. Jadi, dia masih jumpa saya di lokasi dan jemput saya pulang. Waktu itulah kami bertemu dan berbincang. Nak harapkan saya keluar berdating seperti orang lain, memang payah," katanya yang cuti rayanya bermula pada 5 Ogos lalu.
Bercerita soal rencana perkahwinan, Fouziah dan Zafran yang bertunang pada Jun lalu sepatutnya berkahwin sekitar September nanti. Namun disebabkan masih belum bertemu tarikh untuk mengumpulkan seluruh anggota keluarga, tarikh sebenar masih belum diputuskan.
"Kalau boleh, kami mahu adik-beradik sebelah saya dan Zafran ada pada hari bahagia kami tetapi adik Zafran harus pulang ke Britain pada 21 September. Abang saya pula ada urusan di luar negara. Ada yang menyarankan agar adik-beradik berkorban masa untuk kami. Tetapi, saya masih serba salah. Tak mahulah kerana urusan kami, mereka harus melepaskan urusan penting masing-masing. Bagaimanapun, kami sepakat untuk majlis akad nikah nanti akan diadakan dalam tahun ini juga," kongsi Fouziah mengenai mengenai hari besar itu.
Anzalna, Hanif serius
Bagi pasangan kekasih, Anzalna dan Hanif Zaki pula, mereka melayari situasi berbeza berbanding Fouziah. Bagi pelakon Sepah The Movie itu, biarpun belum terikat dengan sebarang ikatan khusus, mereka serius menjalinkan hubungan.
"Saya sudah mengenali hati budi Hanif dan kami selesa bersama. Dia menyokong kerjaya saya sepenuh hati dan saya juga menjaga hubungan ini agar seiring dengan perjalanan karier kami berdua," ujar Anzalna yang tidak pernah menyembunyikan kekasih daripada pengetahuan umum.
Pernah diselar kerana sering berkepit dengan kekasih termasuklah di majlis-majlis hiburan, Anzalna sedikit pun tidak terusik dengan kata-kata sedemikian. Ada baik mereka dilihat bersama khalayak umum berbanding mengelak daripada berterus-terang atau menipu diri sendiri.
"Kami sudah bercinta dua tahun dan saling mengenali sejak usia 15 tahun lagi, jadi kami sepakat mahu disatukan segera. Begitupun, setakat ini kami belum memuktamadkan tarikhnya. Sepatutnya, keluarga teman lelaki datang merisik pada tahun lalu, tetapi rancangan itu tidak menjadi," ujar Anzalna yang memasang niat berkahwin secepat mungkin.
Berpisah sementara semasa cuti perayaan kerana Hanif beraya bersama keluarganya di Kuala Lumpur, Anzalna memberitahu, dia sudah bercuti selama dua minggu daripada melakukan sebarang aktiviti seni sempena sambutan Aidilfitri bermula sejak awal Ogos lagi.
Anzalna mengambil cuti panjang itu kerana ingin menghabiskan masa bersama keluarganya kerana sebelum ini dia sibuk dengan kerjaya lakonannya.
"Pada tahun ini, saya nak bercuti raya puas-puas kerana terlalu sibuk dengan kerja sebelum ini sehingga tiada masa bersama keluarga. Dalam tempoh cuti, Hanif tetap di hati dan biarlah dia beraya dengan keluarganya. Saya mahu menggunakan kesempatan yang ada ini untuk berehat dan berkunjung ke rumah sanak-saudara yang sudah lama tidak berjumpa.
"Malah semenjak awal Ramadan lalu, saya sudah memperlahankan aktiviti seni. Hanif pula selalu menemankan saya ke mana-mana. Sudah tentu sepanjang cuti sehingga 23 Ogos depan kami akan bertemu dan beraya bersama-sama dengan keluarga," katanya yang menyambut perayaan Aidilfitri di Muar, Johor terlebih dahulu sebelum berangkat ke Pulau Pinang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: