|
KUCHING - Finalis Soulstar 2012, Abdul Warith Abdul Razak, 27, turut menjadikan laman perkongsian sosial, YouTube sebagai gurunya bagi memastikan persembahan yang akan dilakukan pada konsert akhir nanti mampu menambat hati penonton.
Warith berkata, dia telah membuat keputusan untuk membawakan lagu Livin' La Vida Loca daripada penyanyi Latin, Ricky Martin pada persembahan itu nanti.
"Selain mendapat tunjuk ajar daripada tenaga pengajar Soulstar saya banyak berguru melalui YouTube bagi mempelajari gerakan penyanyi tersebut.
"Tidak cukup dengan itu, saya turut menitikberatkan persembahan yang akan diberikan kepada penonton nanti kerana rentak lagu ini yang rancak," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut Warith, setakat ini, dia telah melakukan persediaan sebanyak 60 peratus dan menyatakan perasaan terujanya berikutan konsert kemuncak itu yang tinggal enam hari sahaja lagi.
"Cabarannya mestilah datang daripada peserta lain pada konsert tersebut di mana kesemuanya mempunyai suara yang unik-unik belaka," ujarnya.
Konsert kemuncak Soulstar 2012 bakal berlangsung di Bangunan Dewan Undangan Negeri Lama, Petra Jaya di sini pada 26 Januari ini.
Juara Soulstar 2012 bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 serta hadiah-hadiah lain.
Pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 dan RM2,000.
Soulstar 2012 dianjurkan oleh Kampung Budaya Sarawak dan E-One Dasri Talent Management manakala Kosmo! menjadi rakan media rasmi.
Bagi urusan pembelian tiket, orang ramai boleh menghubungi talian 082-846 108.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: