Tawar gaji ribuan ringgit
Abdul Aziz (tengah) bersama pegawainya meninjau sebahagian komputer dirampas dalam beberapa operasi di sekitar Temerloh dan Mentakab pada sidang media, semalam.
TEMERLOH – Polis harap orang ramai tidak terpengaruh dengan tawaran gaji lumayan sebagai penjaga mesin judi kerana perniagaan itu salah di sisi undang-undang sekali gus boleh menyebabkan mereka didenda dan dipenjarakan.

Ketua Polis Daerah, Pemangku Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, belakangan ini semakin ramai anak muda terjebak dengan tawaran dibuat tauke premis judi internet sehingga mencecah ribuan ringgit sebulan.

Menurutnya, berdasarkan rekod, kebanyakan individu ditahan dalam operasi judi di sekitar Temerloh berusia 20 hingga 30 tahun.

“Tahun ini kita mendakwa empat lelaki dipercayai penjaga mesin judi.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda minimum RM10,000 bagi setiap mesin judi atau komputer dirampas dan dipenjarakan tidak lebih lima tahun,” katanya pada sidang media, semalam.

Abdul Aziz berkata, bermula September hingga penghujung tahun lalu, polis merampas komputer dan tunai disyaki sebagai pertaruhan dengan nilai hampir mencecah setengah juta ringgit.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, sebanyak 83 serbuan dijalankan dengan menahan 91 penjaga premis berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun.

“Walaupun kerap diserbu, mereka masih tidak serik menjalankan perniagaan haram itu untuk mengaut keuntungan berlipat ganda.

“Ibu bapa dan masyarakat sekitar perlu mengambil berat mengenai kerjaya anak mereka supaya tidak terjebak dengan kegiatan tidak bermoral seperti ini,” katanya.