Pengurus Besar TV9, Zurina Othman berkata, 9X berjaya menambah jumlah penonton sehingga sembilan peratus sepanjang setahun ia bersiaran.
"Antara program-program 9X yang mempunyai jumlah tontonan tinggi ialah Mad Market dan Versus, di mana kedua-dua rancangan itu akan disambung untuk musim seterusnya.
"Untuk tahun ini kami menambah sebanyak enam program baru yang pastinya dapat memberikan manfaat buat golongan remaja yang menonton.
"Seperti biasa pihak kami mengekalkan tiga prinsip iaitu menyuntik elemen baru, memberikan kelainan dan terus menjadi inspirasi buat penonton kami," katanya selepas pelancaran program baru TV9 di Marche, The Curve, di sini, Khamis.
Antara program baru yang akan disiarkan untuk empat bulan pertama tahun 2013 ialah The Dream Sisters dan Fuzz Food.
"Selain itu TV9 turut melakukan kolaborasi eksklusif bersama dua stesen radio popular Hot FM dan Fly FM menerusi program Hot TV dan Fly FM Stripped.
"Dalam pada itu, program lain yang disiarkan termasuklah drama bersiri Inggeris Teenwolf musim kedua," kata Zurina.
The Dream Sisters akan disiarkan pada 28 Januari ini, pukul 10.30 malam, di mana ia merupakan percubaan pertama TV9 menghasilkan program berbentuk drama realiti.
Ia memaparkan empat dik beradik iaitu Anis Nabilah, Aimi, Amira dan Aisya dalam menggapai cita-cita melalui inspirasi yang diperoleh daripada kedua-dua ibu bapa mereka.
Fuzz Food yang dikendalikan oleh DJ Fuzz pula akan memaparkan lokasi-lokasi kedai makanan sihat yang enak. Ia akan disiarkan bermula 28 Januari (setiap Isnin) pukul 11 malam.
Hot TV pula akan menampilkan penyampai-penyampai radio Hot FM yang beraksi spontan menerusi permainan yang dibuat selama 15 minit di televisyen bermula 28 Januari ini, setiap Isnin hingga Rabu (pukul 11.30 malam).
Fly FM Stripped pula disiarkan selepas Hot TV iaitu pada pukul 11.45 malam di mana ia memaparkan persembahan secara akustik dan santai oleh penyanyi-penyanyi tempatan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: