Tuesday, January 22, 2013
Saya masih lagi vokalis Kristal! - Razlan
ANGIN tiada,ribut pun tiada tiba-tiba suhu termometer hiburan kembali panas. Dalam ruangan gosip Diva Kosmo!Ahad baru-baru ini, penyanyi kelahiran Akademi Fantasia, Yazer dikatakan bakal menggantikan vokalis kumpulan Kristal, Razlan atau Lan.
Semuanya gara-gara Razlan sudah didakwa sudah mempunyai bisnes sendiri dan sibuk dengan urusan lain yang harus diberikan keutamaan.
Maklumat yang diperoleh Diva daripada sumber yang tidak mahu disiarkan nama itu juga memberitahu, sebaliknya Kristal pula terpaksa menerima tawaran mengadakan persembahan sedangkan Razlan tiada untuk bertindak sebagai vokalis.
Kosmo! menghubungi Razlan untuk mendapatkan penjelasannya berhubung perkara tersebut.
Kosmo!: Adakah benar Yazer bakal menjadi vokalis kumpulan Kristal menggantikan anda?
RAZLAN: Tidak benar sama sekali. Saya masih lagi vokalis kumpulan Kristal malah kami baru sahaja selesai mengadakan persembahan di Pulau Pinang pada 25 Disember lalu.
Adakah anda pelik tiba-tiba gosip ini boleh timbul?
Ketika saya baca tajuk gosip tersebut, ‘Yazer vokalis Kristal?’, saya rasa pelik. Bila saya baca isi kandungan gosip itu saya lantas jadi marah. Sebabnya, ia berkaitan periuk nasi saya.
Adakah anda bergaduh dengan ahli kumpulan Kristal yang lain?
Ia adalah sesuatu yang pelik. Seolah-olah penulisan tersebut ingin melaga-lagakan kami. Sedangkan saya dan ahli-ahli kumpulan Kristal lain tidak ada masalah. Mereka juga terkejut dengan gosip ini.
Jadi, bagaimanakah gosip itu boleh timbul?
Mungkin perkara ini timbul sebab kumpulan Kristal pernah mendapatkan khidmat beberapa penyanyi termasuk Yazer dalam persembahan jika saya tidak dapat menyanyi. Bagaimanpun, perkara ini sepatutnya tidak perlu dijadikan isu sebab kami sudah sepakat tidak hanya fokus pada kumpulan Kristal tetapi ahli-ahli boleh bergerak secara solo. Kami tidak menghalang. Saya juga ada anak dan isteri yang perlu diberi fokus.
Maksud anda Kristal boleh menjemput mana-mana penyanyi untuk menjadi vokalis?
Ya, kami sudah buat perjanjian, malah saya juga kadang-kadang ada menyanyi solo untuk majlis yang hanya inginkan penyanyi solo dan bukan berkumpulan. Malah, ahli-ahli Kristal yang lain juga boleh bergerak secara solo. Contohnya, Rody muncul solo mengadakan persembahan pada Anugerah Juara Lagu ke-27 baru-baru ini.
Adakah anda akan bergerak solo selepas ini dan meninggalkan kumpulan Kristal?
Saya membesar dengan Kristal. Kalau saya tinggalkan Kristal takut dikatakan tidak mengenang budi pula. Ia mMemang tidak akan berlaku. Saya hanya akan bergerak solo jika majlis itu memerlukan hanya penyanyi solo.
Apakah bisnes yang dilakukan anda?
Syarikat saya iaitu Triple Network Solution Malaysia Sdn. Bhd. menjadi pembekal barangan seperti kertas untuk kegunaan pejabat. Saya juga menguruskan acara-acara.
Perkembangan terbaharu anda dan kumpulan Kristal?
Tahun 2012, Kristal muncul dengan album Jom Ago Go dengan syarikat Universal Music. Tahun 2013, kami merancang buat album baharu tetapi tidak pasti lagi sama ada dengan Universal Music. Sebabnya, kontrak dengan Universal Music sudah tamat dan tidak pasti sama ada kami akan sambung kontrak atau tidak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: