Wednesday, January 23, 2013

Penduduk angkat senjata lindungi kampung


GAMBAR pada 18 Januari lalu menunjukkan beberapa lelaki bersenjata dan bertopeng duduk di atas sebuah trak ketika meronda di kampung mereka di Ayutla, Mexico.


AYUTLA, Mexico - Sekumpulan pemuda di Mexico bertindak mengangkat senjata dan memakai topeng muka bagi menjaga keselamatan perkampungan mereka daripada ancaman kumpulan pengedar dadah.
Seorang pemuda yang enggan dikenali dengan nada sebak memberitahu, mayat saudaranya ditemui bersama 40 mangsa lain di dalam sebuah kubur besar selepas ditembak oleh kumpulan pengedar dadah.
"Setiap seorang daripada kami merasai keperitan yang berlaku. Kumpulan pengedar dadah itu menculik salah seorang ahli keluarga kami dan kami tidak dapat mencari mereka kembali," kata pemuda itu yang menjadi salah seorang anggota kawalan keselamatan terlibat.
Dia bersama ratusan pemuda lain di Guerrero, wilayah selatan Mexico telah mengangkat senjata untuk mempertahankan keselamatan perkampungan masing-masing daripada diganggu oleh pengedar dadah.
Anggota pergerakan rukun tetangga itu dilahirkan ekoran perasaan kecewa penduduk selepas aktiviti peras ugut, pembunuhan dan penculikan yang berleluasa gagal dibanteras dan dihalang oleh pihak polis.
Kumpulan rukun tetangga tersebut juga semakin berkembang di beberapa bandar di pinggir Mexico. Walaupun ia tidak diiktiraf pemerintah namun pergerakan keselamatan ini dibenarkan berkembang di seluruh negara.
Jarak kampung-kampung itu terletak cuma 75 kilometer dari markas kumpulan pengedar dadah itu yang bergerak aktif di bandar Acapulco.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: