Friday, January 18, 2013

Monumen daripada pen Kilometrico


PELAJAR ini memberikan sentuhan terakhir terhadap monumen yang dibina oleh pasukannya.


PARA pelajar dari beberapa buah sekolah rendah dan menengah dilihat memenuhi ruang tingkat satu The Apartment, Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) pada 13 Disember lalu. Mereka begitu tekun menggunakan pen, tetapi mereka bukannya sedang khusyuk menulis atau menjawab soalan peperiksaan.
Sebaliknya, tangan masing-masing ligat menyusun lambakan pen jenama Kilometrico agar mengikut pelan reka bentuk yang dipersetujui bersama rakan sepasukan.
Hari itu, mereka tidak ubah seperti arkitek yang bertanggungjawab melaksanakan binaan monumen-monumen kebanggaan negara yang diperbuat daripada ribuan batang pen sempena sambutan meraikan ulang tahun Kilometrico yang ke-40.
Seramai 60 pelajar mewakili 10 buah sekolah iaitu lima sekolah menengah dan lima sekolah rendah sekitar Lembah Klang mengambil bahagian untuk membina monumen-monumen ikonik dengan menggunakan 10,000 batang pen Kilometrico.
Para pelajar dari sekolah-sekolah yang mengambil bahagian perlu melaksanakan tugasan membina salah satu monumen yang diberikan iaitu Jambatan Pulau Pinang, Muzium Negara dan KLCC.
Setiap sekolah diberikan 1,000 batang pen untuk membina monumen-monumen tersebut dan mereka akan dinilai mengikut kategori iaitu kategori sekolah menengah dan sekolah rendah.
Masa dua jam yang diberikan penganjur digunakan sepenuhnya menyiapkan monumen tersebut sehingga mereka diminta menghentikan pembinaan tepat pukul 12 tengah hari.
“Sempena sambutan ulang tahun Kilometrico ke-40, kami mahu meraikan bersama golongan yang sinonim dengan pen Kilometrico iaitu para pelajar sekolah.
“Mereka kelihatan teruja dan begitu bersemangat membina monumen-monumen negara dengan kreatif,” kata Pengurus Besar Newell Rubbermaid Asia Tenggara, Danny Yong.
Tambahnya, dengan slogan, The Power Of Pen, pihaknya mahu menunjukkan kebenaran pepatah lama, mata pena lebih tajam daripada pedang, kepada generasi baharu yang mungkin tidak tahu makna di sebalik pepatah tersebut.
“Kilometrico telah bertapak di Malaysia selama empat dekad dan sudah ramai generasi dalam masyarakat Malaysia membesar dengan jenama ini.
“Sehubungan itu, sebanyak satu juta pen Kilometrico edisi khas dijual sejak bulan Oktober lalu dengan menampilkan cetakan emas pada batang pen,” ujarnya sambil memberitahu RM50,000 berjaya dikumpulkan hasil jualan pen edisi terhad tersebut.
Setiap daripada 10 buah sekolah terpilih yang mengambil bahagian akan mendapat sumbangan RM5,000 untuk membantu sekolah-sekolah berkenaan membina prasarana mahupun menggunakannya bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti yang memberikan manfaat kepada para pelajarnya.
Idea kreatif

INILAH hasil imaginasi pelajar SJK (T) Ladang Semenyih yang membina Jambatan Pulau Pinang.


Sekolah-sekolah yang mengambil bahagian ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJK (T)), Telok Panglima Garang, Banting; SJK (T) Dengkil; SJK (T) Ladang Semenyih; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK (C)) Han Ming, Puchong; SJK (C) Mun Choong, Kuala Lumpur; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras Jaya, Cheras; SMK Bandar Baru Sentul; SMK Perempuan Methodist, Klang; SMK Pendamaran Jaya, Klang dan SMK Cina Katholik, Petaling Jaya.
Setiap sekolah menampilkan hasil yang sangat menarik dan kreatif sehingga para juri sukar untuk membuat keputusan.
Akhirnya, para juri sebulat suara menobatkan pasukan dari SMK Pendamaran Jaya, Klang yang mencipta monumen Menara Berkembar Petronas sebagai juara bagi kategori sekolah menengah dan SJK (T) Dengkil untuk kategori sekolah rendah dengan binaan Muzium Negara.
Menurut seorang guru daripada SMK Pendamaran Jaya, Sabariah Baki, pihak sekolah amat bangga dengan usaha dan komitmen yang ditunjukkan oleh para pelajarnya sehingga berjaya mengharumkan nama sekolah.
“Walaupun diadakan dalam cuti sekolah, mereka sanggup datang dan memberikan yang terbaik untuk pertandingan membina monumen ini,” katanya.
Dalam pada itu, pelajar tahun enam SJK (T) Dengkil, G. Tharanneetharan memberitahu, selaku salah seorang daripada ahli pasukan, dirinya sangat bangga dengan usaha yang ditunjukkan oleh rakan seperjuangan yang lain.
“Diharapkan aktiviti sebegini diteruskan pada masa akan datang kerana ia dapat memberikan pengalaman kepada para pelajar untuk jadi lebih kreatif,” ujarnya yang membina monumen bersama lima rakan lain iaitu G. Thineshvar, S. Jegathesan, C. C.A Vinitha, S. Sivagamy dan A. Kirushantar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: