Pemilik nama penuh Izreen Azminda Aznam, 28, ini berkata, bagaimanapun sikap buruk itu berjaya dikawal dan beransur hilang selepas tiga bulan hamil.
“Saya tidak tahu kenapa selalu naik hantu ketika awal kehamilan dulu? Ada sahaja yang tidak kena di mata dan saya cepat marah.
“Mungkin faktor hormon tidak stabil tetapi alhamdulillah sikap buruk itu semakin hilang kerana saya dapat kawal (kemarahan) kebelakangan ini,” katanya kepada mStar Online.
Izreen kini hamil anak pertama hasil perkahwinannya dengan jurukamera Muhd Riza Baharudin, 30, pada 30 Ogos tahun lalu.
Ditanya mengenai pengalaman hamil buat kali pertama, Izreen berkata, dia bersyukur kerana tidak mengalami alahan atau mengidam yang teruk.
“Saya masih aktif bekerja di dua set penggambaran sekarang iaitu drama Sehangat Asmara dan Tanggang Ayu,” katanya.
Tambah Izreen, dia terpaksa bekerja keras ketika ini selagi terdaya sebelum berehat panjang bermula awal Mac depan.
“Sementara masih larat biar saya kerja untuk kumpul duit. Nanti bermula awal Mac saya akan berehat terus sehingga tarikh bersalin yang dijangka pada Julai depan.
“Namun, saya selalu berhati-hati dan tidak lasak sangat di lokasi. Saya mesti habiskan penggambaran sebelum pukul 12 tengah malam sebab badan mudah letih akhir-akhir ini,” katanya.
Izreen berkata, dia juga terpaksa menolak banyak tawaran lakonan ekoran perubahan ketara pada fizikalnya kerana memiliki kandungan bersaiz besar.
Terbaharu, drama lakonannya Sehangat Asmara akan mula ditayangkan pada 21 Januari ini, setiap Isnin hingga Rabu pukul 10 malam di Astro Mustika HD (saluran 134).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: