Sunday, January 20, 2013

Grup baharu orang lama


KUMPULAN Legar terdiri daripada (dari kiri) Zack, Ejoy, A'en dan Usee (duduk).


PENYATUAN empat lelaki atas nama Legar itu berlaku pada tahun lepas, sebelum itu mereka pernah setia dan berjuang atas panji-panji rock namun berbeza kumpulan.
Nama Legar tercetus daripada akronim yang terbentuk daripada Lingkaran Empayar Gegar Arena Rock, itu istilah yang dipilih sebagai identiti baharu untuk kumpulan baru tertubuh itu.
"Setiap anggota berasal daripada kumpulan kugiran yang berbeza, tetapi selepas timbulnya idea untuk menubuhkan kumpulan Legar, masing-masing menarik diri daripada grup lama dan kami tampil sebagai sebuah kumpulan rock baharu.
"Ada antara kami yang benar-benar otai dalam bidang muzik rock. Jadi banyak idea dan karya yang mahu kami sampaikan kepada pendengar," ujar Zack, 40, mewakili kumpulan tersebut.
Jelas Zack yang sebelum ini berasal dari kumpulan MK, Usee, 38, yang berperanan sebagai vokalis dibawa daripada kumpulan Nekad.
Selain mereka, A'en, 28, yang merupakan pemain gitar utama berasal daripada kumpulan MPTI dan pemain dram, Ejoy, 27, sebelum ini menyertai kumpulan Light.
Biarpun bergelar sebuah kumpulan baharu, namun pengalaman yang dimiliki oleh anggotanya tidak sealiran dengan usia Legar itu sendiri.
Mereka sebelum ini pernah terlibat mengadakan persembahan di kelab malam, hotel, majlis korporat serta pertandingan Battle of the Band di sekitar negeri Perak.
Menjadikan kampung kelahiran sebagai lokasi berkumpul, Legar yang sudah mula melebarkan sayapnya ke dunia hiburan arus perdana tetap menjadikan Teluk Intan, Perak sebagai medan pilihan mereka.
"Kesemua daripada kami berasal dari kampung yang sama. Jadi mudahlah untuk berlatih dan mengadakan persembahan kerana mudah berkomunikasi dan menguruskan hal peribadi lain.
"Selain di Kuala Lumpur, promosi kami banyak tertumpu di Teluk Intan dan sekitar Perak kerana sudah ada pengikut di sana," kata A'en.
Biarpun tidak sampai setahun ditubuhkan, Legar tetap pantas mencuri tumpuan pendengar. Dua buah single yang dikeluarkan pada November lalu mendapat perhatian pendengar.
Mempertaruhkan naskhah berjudul Legar dan Kenangan Semalam, kedua-dua lagu tersebut telah diperdengarkan di corong-corong radio utama.
"Dua lagu tersebut begitu berbeza. Biarpun masih bergenre rock, tetapi lagu Legar berentak rancak manakala Kenangan Semalam pula berentak lebih perlahan.
"Sehingga kini pendengar yang terdiri daripada individu yang berumur antara 15 tahun dan 50 tahun memberi pelbagai reaksi terhadap kedua-dua lagu itu," ujar Usee.
Selain menjadikan grup rock antarabangsa sebagai sumber inspirasi, Legar turut berpegang kepada prinsip yang dibawa kumpulan legenda tempatan seperti Search, Wings dan Lefthanded.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: