Tuesday, January 15, 2013

Dikecam kerana Azie



DRAMA bersiri Adam Dan Hawa yang menampilkan Aaron Aziz dan Nadiya Nisaa sejak ditayangkan pada 27 Ogos 2012 ternyata telah menimbulkan fenomena tersendiri sehingga ia diminati ramai terutama pengikut setia drama berkenaan.
Menariknya, tempias terhadap fenomena berkenaan turut dirasai oleh seorang lagi pelakon baharu yang sedang meningkat naik, Elfaeza Ul Haq Mohmed Ehsan Ul Haq yang membawakan watak sebagai Azie, rakan baik kepada Ain Hawani lakonan Nadiya.
Elfaeza yang ditemui semasa majlis pratonton episod akhir drama Adam Dan Hawa yang berlangsung di The Gardens, Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, dia sangat gembira apabila drama berkenaan mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada penonton.
“Sudah semestinya saya tidak menyangka apabila drama ini diterima sehingga menjadi sebutan ramai. Saya sangat bersyukur kerana dengan kejayaan yang diraih ia turut memberi kelebihan apabila orang sudah mula mengenali saya.
“Tidak dinafikan apabila pergi ke tempat umum kebanyakan orang akan menyapa saya dengan panggilan Azie memandangkan tidak ramai yang tahu nama sebenar saya gara-gara drama ini,” ujar pelakon yang berasal dari Jurong, Singapura itu.
Meskipun berasa cukup gembira dengan kejayaan tersebut, namun Elfaeza mendedahkan disebabkan watak yang dibawakannya itu, dia pernah dikecam segelintir peminat setia drama berkenaan.
Ujarnya, dengan membawakan watak seorang gadis yang terlampau aktif dan gedik, terdapat sesetengah penonton seperti kurang gemar dengannya, apatah lagi dia merupakan seorang pelakon yang baru sahaja mencari tapak dalam dunia lakonan di negara ini.
“Saya akui memang ada yang tidak suka, tetapi apa yang saya lakukan itu merupakan hasil perbincangan dengan pengarah, Feroz Kader dan dia yang meminta saya membawakan karakter sedemikian.
“Bagaimanapun, saya hanya dikecam pada peringkat awal sahaja dan lama-kelamaan sudah ramai yang dapat menerima serta semakin menyukai watak yang saya lakonkan itu,” jelasnya.
Ketika ditanya adakah perwatakannya dalam drama berkenaan sama dengan dirinya di luar lakonan, pelakon berusia 27 tahun itu menyatakan dirinya dan Azie merupakan dua individu yang berbeza.
“Secara ikhlasnya saya ini merupakan seorang gadis yang pemalu dan kurang gemar bersosial. Sekiranya tiada sebarang aktiviti penggambaran saya lebih suka duduk di rumah atau lepak dengan kawan-kawan yang saya rapat,” ujarnya.

FIGURA kelahiran Singapura ini berazam untuk berusaha lebih keras demi masa depan karier lakonannya ini.


Pada masa yang sama, pelakon itu meluahkan bahawa pengorbanannya untuk tidak menerima sebarang tawaran berlakon yang lain sepanjang menjalani penggambaran drama Adam dan Hawa selama lima bulan ternyata sesuatu yang sangat berbaloi.
Ujarnya, memandangkan drama tersebut membabitkan siri yang terlalu panjang iaitu sehingga 80 episod, dia mahu memberikan sepenuh komitmen supaya mampu membawakan watak yang diberikan dengan sebaik-baiknya.
“Sebagai seorang pelakon baharu mendapat peluang berlakon dalam sebuah drama bersiri yang panjang tentunya memberikan kelebihan, tambahan pula apabila ia mendapat sambutan yang luar biasa.
“Seboleh-bolehnya saya tidak mahu leka dengan apa yang telah dikecapi sekarang ini dan akan berusaha dengan lebih keras untuk mengembangkan karier lakonan saya,” ujarnya.
Menurutnya, kejayaan beberapa pelakon Singapura seperti Aaron Aziz dan Adi Putra turut menjadi inspirasi buat dirinya untuk mengecap kejayaan seperti kedua-dua pelakon tersebut.
Tidak merajuk
Mengenai pembabitan awalnya dalam bidang lakonan di Malaysia, Elfaeza memberitahu semuanya bermula apabila salah seorang rakannya memberi saranan supaya menghadiri uji bakat untuk berlakon dalam drama bersiri Adam dan Hawa pada tahun lalu.
Ternyata tuah telah menyebelahi dirinya apabila berjaya dalam uji bakat berkenaan dan ia menjadi titik permulaan kepada dirinya untuk mengembangkan kerjaya di negara ini.
“Karier saya dalam bidang lakonan di Singapura sudah bermula sejak tahun 2008 lagi. Namun begitu, selepas saya membintangi sebuah drama Inggeris berjudul The Pupil, tawaran berlakon dalam drama Melayu tiba-tiba berkurangan.
“Pada mulanya saya sendiri agak hairan perkara ini terjadi secara tiba-tiba, namun saya bersyukur apabila peluang saya untuk meneruskan kerjaya sebagai pelakon masih terbuka luas apabila diterima berlakon dalam drama Adam Dan Hawa,” ujarnya.
Namun begitu, pelakon tersebut menegaskan apa yang telah terjadi kepada dirinya tidak sesekali akan membuatkannya merajuk sehingga enggan berlakon di negara kelahirannya itu.
Biarpun sudah mula mendapat tapak yang kukuh untuk mengembangkan kerjaya di negara ini, tetapi dia masih lagi bersedia menerima sebarang tawaran berlakon di Singapura.
“Buat masa ini saya bersedia menerima sebarang tawaran lakonan, asalkan ia bersesuaian dan tidak kira sama ada tawaran tersebut diberikan syarikat produksi dari Malaysia atau Singapura,” jelasnya lagi.
Berjauhan
Mengenai cabaran sepanjang mengembangkan karier seni di negara ini, salah satu perkara yang terpaksa dilalui adalah berjauhan dengan ahli keluarga.
Ujar Elfaeza, apabila berhijrah ke Malaysia dia tinggal seorang diri tanpa ditemani ahli keluarga yang lain sehingga sesekali timbul rasa kesunyian.

ELFAEZA (kiri) dan Nadiya Nisaa bukan sekadar rakan baik dalam drama Adam Dan Hawa, tetapi mereka sememangnya rapat di luar dunia lakonan.


“Pada peringkat awal saya seolah-olah sukar menerima keadaan yang saya keseorangan di sini, malah perasaan sunyi yang dilalui pernah membuatkan saya menjadi lemah seketika.
“Sehinggakan saya kerap menangis apabila menghubungi ahli keluarga di Singapura. Namun begitu, mereka banyak memberikan sokongan agar saya dapat terus bertahan,” ujar anak kedua daripada empat orang adik-beradik itu.
Bagaimanapun, pelakon itu menyatakan kini dia sudah biasa dengan keadaan tersebut dan sekiranya berasa sunyi dia akan keluar dengan rakan-rakan pelakon yang lain.
“Selain akrab dalam drama hubungan saya dan Nadiya juga rapat di luar lakonan dan kami selalu keluar bersama. Selain itu, saya juga menganggap pasukan produksi Adam Dan Hawa sebagai keluarga kedua memandangkan saya bersama mereka selama lima bulan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: