|
"SAYA sangat seronok walaupun penat. Saya senang dengan setiap sesi terutama bila diminta beraksi secara santai-santai. Ya, ini (Rabu) hari yang paling memenatkan buat saya, hari fotografi paling banyak dalam sejarah yang pernah saya lakukan selama ini," desis pelantun Lelaki Ini itu saat mengizinkan dirinya didasari seadanya.
Anuar Zain lelaki yang mewah dengan senyuman. Seharian beralih dari studio ke studio demi publisiti, dia tegar. Sepetang di Studio Utusan memenuhi sesi fotografi untuk empat penerbitan berbeza, kami selesai sekitar lewat senja. Bersambung pula untuk sesi santai bersama peminat secara maya pada sebelah malam, semuanya mahu Anuar lakukan menjelang hari bahagia yang bakal berkunjung. Detiknya akan tiba selang tak sampai pun satu purnama lagi.
"Saya ialah penghibur para selebriti dan selebriti yang sentiasa terpahat di hati saya ialah peminat yang mahu menikmati momen bahagia bersama-sama nanti," katanya bersantun.
Dalam dada Anuar Zain ada berbilang rasa, separuh teruja, separuh lagi berdebar. Ada tersisip juga perasaan terharu mengenangkan akan tibanya sebuah masa dan segunung rezeki yang tidak disangka-sangka akan turun buatnya dalam waktu terdekat ini.
"Apa yang perlu saya lakukan nanti ialah membuat persembahan, ia bukan setakat nyanyian semata-mata. Ia menjanjikan keseronokan buat semua peminat dan sesiapa sahaja yang akan hadir. Saya juga tidak cuba untuk membuatkan orang berasa kagum tetapi ada sedikit kejutan khususnya kepada peminat yang telah mengikuti kembara saya selama ini," susunnya membuat pengisahan konsert sulung berskala mega, Konsert Anuar Zain 3 Dekad Muzik, Cinta & Sanubari.
Akan berlangsung pada 16 Februari nanti di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hakikatnya konsert itu sendiri diakui penyanyi lagu Sedetik Lebih itu sebagai sejarah terindah yang bakal hadir dan akan kekal menjadi epik kembara seni serta kecintaannya terhadap muzik.
"Ini kerja paling besar yang pernah saya lakukan. Konsert sulung saya ini akan menjadi sejarah buat saya dan sejarah buat peminat," katanya menyifatkan tajuk konsert itu sendiri membawa makna besar kepada dirinya.
Dari segi persiapan muzik sehinggalah rekaan cenderahati sebagai kenang-kenangan untuk dibawa pulang, segala fokusnya kini tertumpu kepada acara yang memberi amanah kepada Jennifer Thompson sebagai pengarah konsert itu.
Selain Jennifer, nama-nama seperti Mac Chew akan bertindak sebagai pengarah muzik dan Ambri Gina (pengarah artistik) begitu juga dengan Jenny Chin, Aji (gitar) Wan Gigi (gitar), Steve Thornton (perkusi) dan John Thomas (drum) sudah masuk barisan antara tentera muzik Anuar menjelang konsert nanti.
"Alhamdulillah, semua yang bekerjasama dengan saya ialah kawan-kawan yang selalu bersama dengan saya selama ini. Saya bersyukur sebab dapat memanggil nama-nama terbaik dalam industri muzik termasuklah penyanyi latar yang akan mengiringi saya nanti," katanya membuat susunan semula kepada hampir semua lagu yang dipersembahkan nanti.
Tambah Anuar, lagu-lagu yang sudah berbelas tahun mesra di telinga pendengar seperti Bila Resah akan diberi jiwa baharu secara total tetapi untuk lagu-lagu yang masih belum mesra sepenuhnya di kalangan peminat, susunan muziknya masih dikekalkan.
"Tolak tepi segala kepenatan dan adrenalin saya ketika ini ialah untuk bekerja tapi dalam masa yang sama, tahap kesihatan amat penting," ujarnya masih tidak menganggap konsert besar itu sebagai momentum tertinggi sebagai kemuncak karier buatnya.
Kata Anuar: "Saya harap ia bukan kemuncak, selepas ini akan ada lagi album dan album yang seterusnya. Harus ada ada penambahbaikan. Saya kena terus membuat rujukan dan mendengar kemahuan peminat. Penambahbaikan itu pula bukan sahaja dari segi muzik dan nyanyian bahkan dari segi penampilan, harus ikut trend."
|
|
Bukan artis eksklusif
Mengakui bukan kategori artis yang menerima semua kerja sembarangan, Anuar sedar dia hanya melakukan sesuatu perkara yang selesa dengan dirinya. Faktor itu juga diandaikan banyak pihak sebagai rahsia kemasyhuran namanya yang masih berkekalan.
"Kadang-kadang ada program-program yang tidak bagus untuk kemudian hari nanti. Saya tahu pasti ada pihak yang berkecil hati dengan saya tetapi saya percaya satu perkara bahawa keterbukaan melampau boleh membunuh karier," katanya optimis.
Anuar yang tidak terpengaruh dengan laman sosial seperti Twitter mendakwa dia lebih gemar berkongsi apa sahaja di laman Instagram. Dia cuma memiliki akaun rasmi Facebook iaitu www.facebook.com/anuarzainnetwork. Itulah satu-satunya platform yang membuka ruang temu Anuar bersama peminat di laman sosial. Dia seorang yang kemas menyimpan rutin peribadinya daripada pengetahuan ramai.
"Dari segi realitinya, saya masih keluar dengan kawan-kawan cuma saya tidak berkongsi barang-barang peribadi milik saya dengan peminat. Saya akui juga, laman sosial seperti Twitter sangat bagus, untuk kita belajar dan meningkat pengetahuan, tetapi dalam masa yang sama ia boleh jadi kejam," ulas Anuar yang masih boleh ketawa saat ditunjukkan gambar belakang tabir bersamanya yang telah dimuat naik ke dalam Instagram.
Kahwin karier
Masih membujang saat usianya menginjak angka 43 tahun pada tanggal 15 Februari nanti, itu isu wajib yang harus dijawab oleh adik Ziana Zain itu. Seperti tahu soalan tidak akan terlepas daripada jawapannya, jawapan Anuar masih seperti yang diketahui umum.
"Terima kasih atas perhatian yang diberikan. Saya pegang kepada kata-kata, jodoh biarlah ditemukan jangan dicari. Selama ini saya sudah pun berkahwin dengan karier selama 30 tahun yang bahagia dan kecewa. Dahulu saya pernah rasa kecewa dan tak mahu lagi menyanyi, sekitar 16-17 tahun ketika suara saya mulai pecah. Selama 10 tahun saya berhenti menyanyi. Saya bermula semula daripada kosong pada 1995 apabila kembali menandatangani kontrak dan melancarkan album pada tahun 1998," ceria Anuar bercerita tentang susur masa.
Anuar Zain 3 Dekad Muzik, Cinta & Sanubari, kisah itu menjadi dambaan Anuar untuk diberi dan dikongsikan dari puncak kedalaman hatinya untuk peminat. Gema itu harus datang daripada dirinya untuk dirasai seluruh stadium.
"Apabila kita memberi dengan keikhlasan, kita akan menerima semula," katanya mengusung kekuatan yang dikutip daripada peminat untuk merealisasikan rasa cintanya terhadap muzik selama tiga dasawarsa ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: