Celcom sedia peluang untuk pemaju aplikasi
Celcom ketika menganjurkan bengkel percuma pembangunan aplikasi di Pulau Pinang baru-baru ini.
Celcom Axiata Bhd (Celcom) bekerjasama bersama Nokia (M) Sdn Bhd dan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) bagi memberi peluang kepada pemaju aplikasi di seluruh negara untuk mengkomersialkan kreativiti melalui Cabaran Nokia S40.

Cabaran yang dilancarkan 21 Disember tahun lalu menawarkan pemaju aplikasi untuk menyerlahkan potensi pasaran platform mudah alih siri 40 Nokia yang digunakan secara meluas dengan membangun dan menghantar aplikasi sekali gus berpeluang memenangi hadiah lebih RM30,000.

Sehingga kini, terdapat lebih 400,000 aplikasi dimuat turun sebulan menerusi peranti Nokia Asha di Malaysia yang menggunakan siri 40.

Ketua Pegawai Perkhidmatan Digital Celcom, Afizulazha Abdullah berkata, sejak beberapa tahun lalu, persaingan antara pemaju aplikasi dilihat sangat sengit di mana masing-masing cuba menguasai platform telefon pintar terkemuka dengan kemunculan aplikasi terbaru setiap hari.

Menurutnya, terdapat banyak peluang pendapatan yang belum diterokai dalam platform Nokia siri 40 dengan lebih 1.6 juta pengguna dalam rangkaian Celcom sahaja, yang mewakili 17 peratus daripada pelanggan telefon mudah alihnya.

“Berbanding platform terkenal lain, wujud sebahagian kecil aplikasi baru yang tersedia untuk pengguna Nokia siri 40. Kami melihat Cabaran Nokia S40 ini adalah sebagai peluang keemasan untuk pemaju mempamerkan bakat dan mengkomersialkan idea dengan sokongan Nokia dan MDeC,” katanya.

Nokia akan menyediakan latihan untuk pembangunan aplikasi platform siri 40 dan menaja hadiah serta telefon mudah alih sebagi hadiah.

Manakala, MDeC yang merupakan pendukung rasmi akan mempromosikan inisiatif ini di bawah Program Pembangunan Kandungan Bersepadu (ICON).