Monday, January 21, 2013

Anugerah Seri Temasek Eratkan Hubungan Malaysia-Singapura

Datuk Mustapha Ma'arof (dua dari kanan) bersama-sama Pengarah Hann's Entertainment, Hans Rawie, Timbalan Ketua Pengarah Finas, Fatimah Ahmad, Datuk Aziz Satar dan Datuk Yusof Haslam ketika majlis perasmian Anugerah Seri Temasek yang akan berlangsung di Hotel Fairmont, Singapura pada 2 Februari depan, dekat sini pada Ahad.
SUBANG JAYA: Penganjuran Anugerah Seri Temasek 2013 buat kali kedua dilihat sangat bertepatan dengan usaha kerajaan dalam meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan Singapura dalam pelbagai bidang termasuk industri perfileman.
Penasihat Anugerah Seri Temasek, Datuk Mustapha Ma'arof berkata, selain dapat mengerat silaturahim kedua-dua negara ia juga dapat menghargai dan mengiktiraf sumbangan Seniman dan Seniwati dalam industri filem kedua-dua negara.
"Jika dilihat pada sejarah industri perfileman di Malaysia bermula di Singapura dan penganjuran anugerah ini adalah untuk merapatkan lagi hubungan yang telah wujud sejak sekian lama.
"Anugerah ini sememangnya berkait rapat dan signifikan dengan sejarah perkembangan filem Melayu yang satu ketika dulu giat dijalankan di Singapura sekitar tahun 1950-an hingga 1960-an," ujarnya pada sidang media mengenai anugerah itu di sini pada Ahad.
Anugerah Seri Temasek dianjurkan oleh Hann's Entertainment dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan diadakan pada 2 Februari depan di Hotel Fairmont, Singapura.
Dalam pada itu, Mustapha berkata, selain mengeratkan hubungan dua hala kedua negara, penganjuran anugerah itu juga dilihat dapat memberi tambah nilai kepada filem-filem tempatan apabila dapat membuka ruang lebih berkesan kepada karya tempatan untuk ditayangkan di Singapura.
Kata Mustapha, menerusi beberapa program pameran oleh FINAS dan diskusi mengenai filem pada anugerah itu nanti ia dapat membuka peluang untuk penggiat tempatan memperkenalkan produk mereka di sana.
"Pada masa ini pawagam di Singapura tidak banyak menayangkan filem-filem Malaysia kerana kurang permintaan dna sambutan daripada masyarakat.
"Dengan acara seperti ini ia dapat meningkatkan kesedaran masyarakat di sana tentang filem buatan Malaysia menerusi pameran, perbincangan dan aktiviti promosi," jelasnya.
Sementara itu, Mustapha berkata, sebanyak 25 penerima akan menerima anugerah dalam pelbagai kategori termasuk Anugerah Lagenda Seri Temasek, Anugerah Pencapaian Seri Temasek dan Anugerah Khas Seri Temasek.
Mustapha berkata, penerima anugerah akan dinilai pencapaian dan sumbangan mereka terhadap industri perfileman dan penerima anugerah akan dirahsiakan sehingga malam itu nanti.
Antara artis yang bakal memeriahkan majlis itu nanti adalah Jamal Abdillah, Datuk Sharifah Aini, Bob Tutupoli, Taufik Batisah, Didie Alias dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: