Razali (belakang) dibawa keluar dari mahkamah.
Razali (belakang) dibawa keluar dari mahkamah.
ALOR SETAR - Dua anggota polis berpangkat sub inspektor dan lans koperal tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas pertuduhan menerima rasuah wang tunai RM4,000 dua tahun lalu.

Mohd Nadzri Saad, 59, dan Razali Abdul Hamid, 44, bertugas di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohd Rosli Osman selepas pertuduhan berkenaan dibacakan terhadap mereka.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Nadzri dan Razali dengan niat bersama meminta satu suapan iaitu wang tunai RM10,000 daripada Pua Chai Loong sebagai dorongan untuk melepaskan Chai Loong dan rakan-rakan daripada diambil tindakan atas kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Kejadian itu berlaku kira-kira jam 10.30 pagi di sebuah hotel, di sini, pada 20 Oktober 2011.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan kedua, mereka dengan niat bersama secara rasuah bersetuju menerima suapan iaitu wang tunai RM6,000 daripada Chai Loong sebagai dorongan tidak melakukan sesuatu yang berhubungan hal ehwal prinsipal kerja melepaskan Chai Loong dan rakan-rakan kira-kira jam 10.40 pagi hari yang sama.

Sementara bagi pertuduhan ketiga, mereka secara rasuah memperoleh satu suapan iaitu wang tunai RM4,000 daripada Chai Loong sebagai dorongan melepaskan dia dan rakan-rakan pada jam kira-kira 2.30 petang hari yang sama.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mengikut Seksyen 24, mereka boleh dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang tinggi jika sabit kesalahan.

Kedua-dua mereka tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Syahrul Khuzaini Amiruddin menawarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mohd Rosli kemudiannya mengarahkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin setiap seorang kepada Mohd Nadzri dan Razali serta menetapkan 25 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.