Wednesday, January 16, 2013

Amal Popmycase dan Boboi


RAKYAT Malaysia sememangnya prihatin terhadap nasib penduduk Palestin yang berdepan dengan tekanan rejim Zionis.


WALAUPUN serangan rejim Zionis Israel ke atas Gaza sudah lebih sebulan berlalu, namun bayangan kesengsaraan penduduk Palestin masih segar dalam ingatan kita. Rentetan daripada itu, pelbagai organisasi dan individu tertentu tampil memberikan bantuan kepada mereka.
Terbaru, kumpulan pelawak Boboi bekerjasama dengan peneraju rekaan dan pengubahsuaian sarung telefon pintar serta tablet dengan cetakan 3D, Popmycase mengumumkan pelancaran kutipan dana untuk Palestin melalui tiga karya seni terbaharu, Boboi Palestine.
Kolaborasi ini bertujuan untuk menyalurkan sumbangan kewangan kepada mangsa-mangsa peperangan di Gaza dan menyatakan sokongan padu untuk membebaskan bumi Palestin dari cengkaman Zionis Israel.
Amat menyedihkan apabila melihat kediaman, harta benda, masjid dan sekolah mereka dijahanamkan sedemikian rupa dalam perang selama lapan hari itu.
Dengan bekalan ubat-ubatan yang masih berkurangan dan kemudahan infrastruktur yang terhad, penduduk Palestin sangat-sangat mengharapkan bantuan dunia terutamanya negara-negara Islam untuk membolehkan mereka membina semula Gaza.
Persepsi adalah realiti. Itulah yang terjadi kepada pelakon, pengacara dan pengarah terkenal, Afdlin Shauki. Beliau telah melihat sendiri keperitan dan kepayahan rakyat Palestin melalui rombongan misi kemanusiaan ke Gaza Disember lalu.
Rombongan tersebut telah mengubah perspektif Afdlin terhadap Gaza. Sesuatu perlu dilakukan untuk mengurangkan beban rakyat Palestin yang tertindas. Idea terus tercetus. Dana untuk Palestin melalui karya seni pada sarung telefon pintar yang unik dan bergaya mungkin boleh membantu.
"Boboi adalah watak yang direka oleh saya, Harun Salim Bachik dan Nabil. Kami menyasarkan lebih kurang 1,000 sarung telefon pintar dengan rekaan Boboi Palestine dapat dijual. Kami berharap dengan hasil karya ini, ia dapat mengurangkan beban rakyat Palestin.
"Kita perlu bersuara dalam hal ini. Boboi dan Popmycase percaya bahawa penindasan terhadap rakyat Palestin perlu dihentikan segera dan rejim Zionis Israel perlu dihukum secukupnya di muka pengadilan. Kita tidak boleh membiarkan konflik ini terus berlanjutan," terang Afdlin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: