Thursday, February 2, 2012

Zizan Razak & Ahmad Idham Perjelaskan Hubungan Dingin

Ahmad Idham

KUALA LUMPUR: Pengarah filem Ahmad Idham Ahmad Nadzri menyangkal dakwaan dia berkecil hati dengan pelakon dan pengacara Zizan Razak kerana menolak tawaran membintangi teater muzikal Mael Lambong yang dijadualkan berlangsung pada Mac depan di Istana Budaya (IB).

Ahmad Idham berkata sebagai individu yang mengenali Zizan sebelum pelawak itu menyertai bidang seni lagi, dia berasa terkejut kerana penolakan tersebut tidak disampaikan secara terus oleh Zizan tetapi menerusi pihak pengurusannya.

“Sebagai pengarah profesional, tidak timbul isu saya berkecil hati atau marah dengan keputusan Zizan yang enggan menerima pelawaan saya untuk teater Mael Lambong yang dirancang pada hujung tahun lalu.

“Itu adalah hak dia cuma cara dia menolak tawaran tersebut pada saat-saat akhir selepas memberi persetujuan secara lisan ketika perbincangan diadakan sebelum ini.

“Itu pun, bukan datang daripada mulutnya sendiri tetapi menerusi pihak pengurusan,” katanya yang ditemui mStar Online, baru-baru ini.

Besar Kepala

Ahmad Idham berkata apa yang lebih membimbangkannya jika penolakan daripada Zizan itu kerana dia sudah berubah sikap seperti yang didakwa segelintir pihak kebelakangan ini sehingga boleh menjejaskan kerjayanya seperti sebelum ini.

“Dia pernah didakwa berlagak, besar kepala dan tiada komitmen dalam kerja sebelum ini sehingga menyebabkan kerjayanya terumbang-ambing seketika.

“Mujurlah selepas dia bekerjasama dengan saya dalam filem Hantu Bonceng, populariti dan namanya kembali meningkat pada tahap dia berada sekarang.

“Saya sayangkan dia seperti seorang adik. Saya bimbang jika kesilapan pihak pengurusannya membuat keputusan dan percaturan jadual seni Zizan akan membawa dia ke ambang kejatuhan semula,” katanya dalam nada kesal.

Apabila ditanya adakah susulan penolakan Zizan itu memaksa pihaknya menggantikan teater muzikal itu kepada Gerimis Mengundang pada saat-saat akhir, Ahmad Idham berkata ia tiada kaitan kerana pementasan teater Mael Lambong hanya dirancang secara lisan tanpa ada hitam dan putih.

“Slot untuk pementasan teater muzikal di IB pada Mac depan memang sudah disediakan untuk kami. Namun, tiada pengesahan dan hitam putih bahawa kami akan mementaskan Mael Lambong di sana.

“Tidak timbul isu pementasan Gerimis Mengundang adalah sebagai ganti selepas Zizan enggan menyertai Mael Lambong,” katanya.

Zizan Razak

Tidak Berubah Sikap - Zizan

Sementara itu, pengacara program Raja Lawak itu pula berkata keengganannya untuk menyertai pementasan muzikal berkenaan tiada kena-mengena dengan dakwaan dia sudah berubah sikap dan besar kepala.

“Saya menolak pelawaan tersebut kerana tidak boleh memberikan komitmen pada tarikh yang dirancang itu. Daripada saya paksa diri untuk bersetuju tetapi akhirnya tidak dapat beri komitmen, lebih baik saya tolak daripada awal.

“Adalah tidak adil untuk menuduh saya sudah berubah sikap hanya kerana saya menolak tawaran projek itu,” luahnya.

Zizan berkata penolakan tawaran tersebut tidak dilakukannya secara terus kerana dia sudah menyerahkan segala urusan kerja kepada pihak pengurusan.

“Saya tidak pernah memberikan persetujuan dan tiada hitam dan putih dalam perjanjian itu. Ia hanya perancangan secara lisan semata-mata.

“Apabila membabitkan urusan kerja, saya lebih selesa serahkan ia pada pengurusan kerana saya membayar mereka untuk mengawal selia jadual seni saya,” luahnya.

Menjawab dakwaan hubungan mereka menjadi dingin selepas insiden tersebut, Zizan berkata berdasarkan pengamatannya perkara itu tidak berlaku kerana mereka masih berbual mesra apabila bertemu khususnya pada pentas Raja Lawak musim keenam yang kini berlangsung pada setiap malam Jumaat di Pusat Penyiaran Asia (Astro).

“Saya tidak tahu pula kalau ada orang kata kami sedang berperang dingin. Apa yang saya lihat Idham bersikap seperti biasa setiap kali kami bertemu. Mungkin itu hanya dakwaan kosong,” katanya.

Selain Hantu Bonceng, Zizan akan muncul dalam dua lagi filem arahan Ahmad Idham iaitu Jangan Pandang-Pandang dan Mael Lambong.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: