Monday, February 6, 2012

Trend warna 2012


Cat kediaman menghidupkan suasana atau ruang.


SEBUAH kediaman yang dicat cantik akan nampak lebih menyerlah. Namun, bukan semua orang tahu memilih warna dan jenis cat yang sesuai dengan rumah .

Kebimbangan tersilap memilih warna cat membuatkan ada yang cuak mengundang kawan dan jiran ke rumah kerana tidak mahu menjadi bahan gurauan.

Masalah ini memang kerap terjadi. Ramai yang terpesona dengan warna lembut dan sedap mata memandang pada katalog tetapi apabila dicat pada rumah, nyata ia menjadi terlalu terang berbeza dengan apa yang diimpikan.

Syarikat cat antarabangsa, AkzoNobel menjangkakan tema ‘tea dance’ akan menjadi pilihan popular pada 2012. Ia menggambarkan dunia bertenaga yang ada ketikanya ganjil, serius, dinamik dan lembut.

Selain itu, merah yang dikaitkan dengan sifat berani dan sempurna juga dilihat sesuai untuk mereka yang memasuki kediaman baru, mengharapkan kerjaya yang lebih baik atau mungkin penambahan ahli keluarga baru.

Kesimpulannya, 2012 bakal menjadi tahun yang penuh harapan dan membawa pelbagai kemungkinan jadi sesuailah dengan semarak warna yang dipilih untuk menghiasi kediamananda.

Cerita berbeza

Menurut Pengarah Urusan Dekorasi Cat, Asia Tenggara dan Asia Pasifik AkzoNobel, palet warna 2012 mempersembahkan visual pemahaman baru dunia tentang keperluan terhadap kepelbagaian citarasa konsep, pandangan dan pendekatan.

Contohnya, merah akan menjadi warna yang di pandang tinggi di seluruh dunia terutamanya di Asia Tenggara sebagai simbol kekayaan.

Ini kerana sifat merah membuka perspektif untuk menemui idea-idea baru.

“Akzonobel berharap dapat memberi inspirasi kepada mereka dalam menghias semula persekitaran dan membuka minda terhadap perspektif peluang baru,” ujarnya.

Lima kategori cat warna AkzoNobel bagi 2012

Campuran halus

Tema warna ini tidak ketara dan mencipta keseimbangan dalam rekaan yang menampilkan ciri elegan, intelek, ringkas dan seimbang. Warna-warna campuran halus adalah ungu muda, kelabu dan coklat muda.

Benih kecil

Fokus tema ini adalah hubungan peribadi dengan alam semula jadi. Ia mengenai fakta bahawa tumbuh-tumbuhan membesar bermula dengan biji benih kecil sekali gus melambangkan kuasa yang dimiliki biji benih kecil ini. Antara warna yang paling menyerlah mengikut tema ini adalah hijau.

Buku skrap kehidupan

Tema ini tentang ekspresi diri yang memberi pengertian kecantikan daripada pelbagai aspek. Kita merakamkan kehidupan untuk berkongsi pengalaman dan mengekspresi diri melalui potret, menulis lagu atau menulis blog di laman media sosial. Budaya menceritakan kisah diri ini juga sudah meluas dalam dunia fizikal malah mempengaruhi cara kita memperkenalkan diri melalui kediaman. Ia menampilkan warna elegan seperti biru, kuning kemerah-merahan dan hijau muda terang.

Dunia berbeza

Dunia maya dan nyata adalah sebahagian daripada kehidupan kita. Manusia sentiasa memiliki keperluan merangsang minda dengan imej ilusi. Tema ini adalah mengenai persepsi yang diubah dan konsep perpindahan dari satu dunia ke dunia lain membebaskan minda. Antara warna yang dipilih merah samar, biru terang dan ungu.

Wira yang ditemui semula

Kita sering tidak perasan dengan perkara-perkara di sekeliling kita sehingga kita tidak sedar dengan kehadirannya. Tema ini mengingatkan kita supaya sedar dengan perkara sedia ada dan menemui kemungkinan baru di tempat-tempat yang tidak disangka seperti bangunan terbiar yang kurang cantik. Ia menampilkan warna seperti kelabu, putih dan kuning.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: