|
|
USIA pembabitannya dalam bidang lakonan baru mencecah dua tahun. Tetapi populariti yang dikecapi mengalahkan artis mampan negara.
Berbekalkan wajah manis yang bisa mencairkan hati lelaki dan menjadi mangsa cemburu kaum sejenis, Tasha Shilla dilihat kini sebagai pelakon generasi baru yang meningkat naik dan menjadi perhatian ramai pihak.
Entah mengapa, sedang enak diulit populariti dan menuju ke puncak kemasyhuran, nama Tasha terus dihambat dengan cerita kurang enak sehingga membayangi kariernya.
Pelbagai cerita yang sering dikaitkan dengan anak jati Kuala Lumpur ini daripada ditaja oleh orang kenamaan sehinggalah dia dikatakan mengamalkan cara hidup songsang dengan kaum sejenisnya.
Satu yang harus dipuji tentang Tasha, dia sedikit pun tidak melenting mahupun meradang dengan cerita-cerita yang bertebaran.
Bagi Tasha, tiada sebab untuknya berbuat demikian kerana tahu dia di pihak yang benar. Apa yang mampu dilakukannya hanyalah memberikan penjelasan sebaik mungkin bagi menjernihkan keadaan.
“Saya sendiri tidak faham kenapa ada sahaja dusta dan fitnah yang sering dilemparkan kepada saya. Walhal, saya menjadi pelakon kerana mahu mencari rezeki selain berkongsi bakat yang ada kepada masyarakat.
“Namun, saya sedar sebagai seorang yang sering menjadi perhatian masyarakat, saya tidak mampu mengelak daripada diperkatakan orang. Asalkan tidak tersasar daripada landasan dan tidak memalukan keluarga, saya tidak ambil peduli apa yang diperkatakan tentang saya,” kata Tasha tanpa selindung.
Baru-baru ini, nama Tasha menjadi sebutan apabila dia dikatakan beraksi ghairah dengan membuat tarian tiang dalam satu majlis yang diadakan di sebuah kelab malam terkemuka.
Sebelum itu, dia didakwa meminum arak secara terbuka di sebuah restoran dan terbaru, Tasha dikatakan menjalani kehidupan sebagai seorang lesbian.
Lebih menghairankan Tasha apabila dia dikatakan suka mencuri pakaian di lokasi, sedangkan sebahagian besar koleksi pakaian untuk setiap drama adalah miliknya.
Sambil menghela nafas panjang, Tasha yang mula dikenali menerusi drama rantaian Gemilang arahan Kabir Bhatia berasa hairan dan pelik bagaimana orang luar lebih tahu akan cerita peribadinya berbanding dirinya sendiri.
“Ingin saya katakan di sini, apa yang diperkatakan tentang saya sebelum ini semuanya tidak benar. Saya hanya mampu ketawa apabila ada yang berkata saya membuat aksi ghairah dan tarian tiang itu sedangkan saya hanya menyambut majlis hari jadi.
“Begitu juga dengan dakwaan meminum arak itu di mana ketika itu saya menemani kawan atas satu urusan perniagaan. Kebetulan mereka yang hadir pada majlis itu adalah berketurunan Inggeris.
“Sudah pasti, mereka memesan arak dan saya sebagai tetamu di situ, adalah tidak manis seandainya saya menghalang mereka untuk meminumnya. Adakah hanya kerana perkara itu saya terus dikatakan meminum arak sehingga mabuk? Sungguh tidak masuk akal,” ujar Tasha atau nama sebenarnya, Natashasheila Abd. Razak.
Begitu juga dengan cerita kononnya dia ditaja oleh orang kaya berpangkat Datuk yang telah memberikan kemewahan kepadanya sejak dia mula menjadi artis lagi.
Jelas Tasha, dia menganggap perkara itu sangat melucukan kerana bagaimana dia hidup dalam kemewahan dan ditaja pada ketika dia masih tinggal bersama keluarganya.
Biarpun memiliki kunci kebebasan untuk membuat apa sahaja, bagi Tasha dia lebih selesa untuk berada di bawah lindungan keluarganya.
Sebagai seorang figura awam, dia berkawan dengan sesiapa sahaja tidak mengira status mahupun latar belakang. Jika soal itu dipandang serong oleh masyarakat, kata Tasha, dia tidak mampu menutup mulut orang.
Sekadar bertanyakan kepada Tasha apabila dia mempunyai musuh sehingga ada yang cuba menjatuhkannya lantaran nama semakin harum dan mekar ketika ini, Tasha menggelengkan kepala.
“Saya sendiri tidak tahu jika ada yang mahu berbuat demikian. Sejak dari awal lagi, saya memang sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan kerana saya cukup sedar bahawa rambut sama hitam, tetapi hati berbeza-beza.
“Sampaikan ibu bapa saya sendiri bertanyakan mengapa banyak cerita yang kurang enak selalu datang?
“Apa yang saya mampu katakan kepada mereka ini adalah dugaan dan cabaran yang perlu dihadapi sebagai seorang anak seni. Barulah saya sedar untuk berjaya bukannya mudah dan apa yang dilalui sekarang ini hanyalah cebisan.
“Alhamdulillah, biarpun diuji rezeki saya terus mencurah dengan pelbagai tawaran drama. Saya menceburi bidang seni untuk mencari rezeki yang halal dan tidak mahu dikenali dengan cerita kontroversi. Saya mahu elakkan kerana tidak mahu peminat bosan dan jelik,” jelas Tasha yang pernah membintangi filem Ratu the Movie arahan Profesor Abd. Razak Mohaideen tahun lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: