Monday, February 6, 2012

Tiada masa


HEBAT... Afdlin Shauki (depan,empat dari kanan) yang memenangi Filem Terbaik bergambar kenangan bersama karyawan Kollywood yang hadir pada Festival Filem India Malaysia di Chennai, India, bulan lalu.


TANYALAH kepada mana-mana pengarah dan penerbit filem, tiada seorang pun daripada mereka yang mahu melihat filem-filem mereka gagal di pasaran.

Seboleh-bolehnya, mereka mahu setiap filem mendapat kejayaan yang membanggakan lebih-lebih lagi jika ia mengenengahkan genre baru.

Afdlin Shauki misalnya, merupakan salah seorang pembikin filem yang bijak dan kreatif dalam menghasilkan filem-filem berlainan genre.

Namun, sentuhannya menerusi filem Misteri Jalan Lama (MJL) yang ditayangkan November lalu telah mendapat kritikan pelbagai.

Meskipun mencatatkan kutipan yang boleh dikatakan membanggakan iaitu RM1.71 juta, ternyata impaknya tidak begitu besar seperti mana filem-filemnya terdahulu.

Apatah lagi, terperap hampir dua tahun kerana mahu memastikan hasil yang terbaik untuk MJL, sudah pasti sebagai pengarah, Afdlin mahu melihat MJL berjaya seperti karyanya yang lain.

Dek kerana itu, ada yang beranggapan Afdlin kecewa dengan sambutan yang diberikan terhadap filem yang diterbitkan oleh Tayangan Unggul Sdn. Bhd. (TUSB) itu.

Berpeluang bertemu dengan Afdlin sewaktu malam gala filem Azura di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini, Hits bertanyakan perihal itu kepadanya dan ternyata Afdlin bersikap positif.

"Saya tidak ada masa untuk bersedih terlalu lama kerana banyak lagi kerja yang harus diselesaikan. Saya melihat perkara ini sama seperti mana dengan filem Sumo-Lah yang berdepan dengan nasib serupa.

"Tetapi, jika diukur kepada kutipan tiket dan sambutan yang diberikan menerusi Astro First, bagi saya, MJL tidak gagal. Sudah menjadi resmi saya bekerja untuk menghasilkan karya yang berbeza untuk pencinta filem tempatan yang lain.

"Setidak-tidaknya, saya berani untuk mencuba sesuatu yang baru dan nampaknya peminat filem mungkin belum bersedia untuk menerima filem bercorak aksi fantasi seperti MJL.

"Tetapi itu langsung tidak mematahkan semangat sebaliknya saya akan terus menghasilkan karya yang lebih berkualiti selepas ini. Malah, saya juga merancang untuk melahirkan filem sambungan MJL," kata pemilik trofi Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia sebanyak tiga kali ini dalam nada cukup optimis.

Dalam hal ini, Afdlin mengambil contoh filem Tamil pertama arahannya, Appalam yang telah mendapat pengiktirafan sebagai Filem Terbaik di Festival Filem India Malaysia yang berlangsung di Chennai, India pada 9 hingga 11 Januari lalu.

Dengan mengalahkan filem-filem hebat lain, kemenangan itu dilihat telah membuka mata ramai pihak sehingga ada yang menawarkan peluang kepada Afdlin untuk menghasilkan filem di India.

Kata Afdlin, penggiat seni di Kollywood (industri perfileman Tamil di India) melahirkan rasa kagum mereka dengan pembikinan Appalam.

"Sebelum ini filem Tamil di Malaysia diterbitkan dalam bajet yang sangat kecil. Tetapi, apabila mereka mengetahui Appalam menelan belanja sebanyak RM1.6 juta, mereka begitu kaget.

"Mereka begitu tertarik dengan apa yang telah kami lakukan untuk Appalam dan secara terang-terangan mereka melahirkan hasrat untuk bekerjasama.

"Untuk itu, sebagai penerbit, TUSB kini sedang merancang sebuah projek dengan beberapa pihak di India untuk sebuah filem. Sebelum itu, Appalam akan ditayangkan di sana terlebih dahulu sekitar pertengahan tahun ini," ujar Afdlin atau nama penuhnya, Afdlin Shauki Aksan ini lagi.

Berbicara mengenai perkembangan terbarunya pula, bapa kepada empat orang anak ini memberitahu dia akan kembali ke lokasi penggambaran filem terbaru, Osbon vs Boboi tidak lama lagi.

Sementara itu, beberapa filem arahan anak seni berusia 40 tahun ini juga akan ditayangkan tahun ini iaitu Untuk Tiga Hari, Berani Punya Budak dan Papadom 2.

Dalam masa yang sama, Afdlin yang juga akan sibuk dengan set kedua persembahan Lawak Ke, Der? di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 10, 11 dan 12 Februari itu turut mempunyai perancangan untuk lahir dengan sebuah album tahun ini.

"Insya Allah, jika semuanya berjalan lancar, saya akan berduet dengan beberapa orang artis popular seperti Awie, Ella dan Adibah Noor. Bukan itu sahaja, kumpulan Boboi juga akan melahirkan sebuah album mini," kata Afdlin lagi.

Bagi peminat Afdlin, pastikan anda juga tidak ketinggalan menonton lakonannya sebagai Tan Sri Putih dalam filem Azura arahan Aziz M. Osman yang sedang ditayangkan di pawagam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: