Friday, February 10, 2012

Tempias superstar sekadar bonus



SUSAN TAN PEI YEEN. Selain daripada saudara, rakan terdekat atau individu-individu yang pernah berurusan dengannya, mungin nama ini agak asing bagi kebanyakan orang.

Mungkin juga mereka yang tidak mengenali si empunya nama itu akan bereaksi berbeza saat disebutkan pula nama-nama artis antarabangsa seperti Justin Bieber, Westlife, Whitesnake, Avril Lavinge, Paramore, Air Supply, Pitbull dan Kenny G. Tidak hairan juga jika ada dalam kalangan mereka itu teruja dan histeria, lebih-lebih lagi jika artis kesayangan mereka itu membuat persembahan konsert di Malaysia.

Susan ialah individu yang bertanggungjawab membawa masuk artis-artis antarabangsa yang disebutkan itu untuk mengadakan persembahan di negara ini.

Anak kelahiran Kluang, Johor yang sudah 10 tahun menjadi promoter konsert itu memberitahu, dia bersama rakan kongsinya, James Siva, 63, menubuhkan syarikat sendiri iaitu JS Concert Production kira-kira sedekad lalu.

Kepada Pesona, wanita berusia 37 tahun itu berkongsi pengalaman tugasnya sebagai promoter konsert. Dia seringkali menjalankan kontrak dengan artis-artis antarabangsa dan berurusan dengan syarikat-syarikat di Amerika Syarikat untuk membawa nama-nama besar dunia hiburan untuk mendekati peminat mereka di negara ini.

Kedengaran seolah-olah tugasnya penuh glamor kerana dapat berada di samping artis-artis bertaraf superstar, namun di sebalik ‘keseronokan’ itu, Susan menjelaskan bahawa ia bukan semudah yang disangka.

“Sebelum melibatkan diri dalam bidang ini, saya sentiasa terlibat dalam pengurusan acara walaupun saya merupakan graduan undang-undang daripada sebuah universiti di United Kingdom.

“Saya tidak pernah menjadi seorang peguam kerana amat meminati bidang yang saya ceburi kini. Mungkin ia bertitik tolak daripada penglibatan saya dengan syarikat pengurusan acara selepas tamat pengajian ijazah,” katanya yang mendapati dirinya lebih menonjol dalam bidang pengurusan acara dan konsert berbanding bidang perundangan.

Menurut Susan, kerjaya sebagai promoter konsert sangat menarik minatnya kerana ruang lingkup kerja itu tidak membosankan selain tidak menghadapi tugasan yang sama setiap hari.

Tambahnya, promoter konsert turut melibatkan kerja-kerja remeh seperti menyediakan kertas kerja, membuat akaun, menguruskan artis, menyediakan penginapan untuk artis serta krew dan berdepan dengan orang ramai.


SUSAN dan suaminya, Hermeet bergilir-gilir menjaga anak-anak jika salah seorang daripada mereka sibuk.


Merasai tempias glamor artis sepanjang konsert berlangsung cuma dianggap sebagai bonus.

“Saya tidak terlintas langsung tentang kerjaya sebagai promoter konsert ketika di bangku sekolah dahulu. Sewaktu kecil, saya bercita-cita untuk menjadi peguam dan doktor kerana itu impian ramai ibu bapa kerana ia dianggap pilihan terbaik.

“Namun, ia tidak sesuai dengan jiwa saya. Saya mula serius dalam bidang ini selepas menyedari bahawa saya seronok melakukannya. Lalu saya menubuhkan syarikat sendiri dan bertemu dengan James,” ujarnya sambil memberitahu bahawa James umpama sifu bagi dirinya kerana mempunyai pengalaman luas dalam bidang itu.

Ambil hati

Bagi Susan, pengalaman sangat penting untuk menguruskan bidang yang diceburinya. Jika tidak, seseorang itu akan berhadapan dengan masa-masa yang sukar.

Ditanya sama ada sukar atau tidak untuk menguruskan artis-artis luar negara, Susan memberitahu, kebiasaannya artis-artis yang dibawa masuk tiada masalah. Cuma pihaknya perlu mengambil hati pengurus artis tersebut yang kadangkala sangat protective terhadap artis jagaan mereka.

“Ramai yang tidak faham bagaimana bekerja dengan artis. Ada yang minta berjumpa artis untuk mendapatkan autograf dan bergambar namun, kami tidak dapat penuhi semua permintaan berikutan keadaan artis yang kepenatan akibat jadual yang padat.

“Sebagai promoter juga, kita mewakili Malaysia dan berikan mereka layanan yang terbaik supaya mereka akan kembali semula ke sini untuk mengadakan konsert pada masa akan datang,” katanya yang turut dibantu oleh suami tercinta, Hermeet Singh, 38, jika ada persembahan konsert.

Walaupun sibuk dan penat menguruskan konsert artis-artis antarabangsa, Susan tidak pernah menyesal atau terfikir untuk berhenti daripada tugas itu kerana resam tanggungjawab itu sudah sebati dalam jiwanya.

“Saya tidak menyesal berkecimpung dalam bidang ini walaupun memiliki ijazah udang-undang kerana kerja ini sangat menarik.

“Rakan-rakan lain ada yang cemburu dengan kehidupan saya yang bagi mereka jauh lebih menarik berbanding kehidupan mereka yang perlu masuk kerja pukul 8 pagi,” selorohnya yang berpegang kepada moto ‘orang lain boleh, saya pun boleh!’.

Sungguhpun diburu kesibukan apabila tiba musim konsert, ibu kepada, Sophia An Lynn Kaur, 6, Hallie En Ya Kaur, 3 dan Keeve Ryu Jie Singh, 1, itu tetap mahukan buah hati pengarang jantungnya berada di sisinya.

Anak kedua daripada empat beradik itu menyifatkan waktu kerja fleksibel membolehkannya meluangkan banyak masa dengan anak-anak.

Pejabat di rumah

“Oleh kerana tidak mahu berpisah dengan anak-anak, saya membuat pejabat kecil di rumah. Jadi, setiap pagi apabila anak-anak bangun, mereka akan duduk di sebelah saya untuk melukis dan mewarna sambil saya pula menjalankan tugas-tugas saya,” ceritanya yang terbiasa membawa Hallie ke dalam mesyuarat.


KERJAYA sebagai promoter konsert membolehkan Susan berjumpa dengan artis-artis antarabangsa dan berpeluang menguruskan mereka sepanjang tempoh konsert diadakan.


Apabila sibuk menguruskan artis dan konsert yang berlangsung, Susan akan ‘berkampung’ di hotel dan membawa bersama anak-anaknya. Kata Susan, naluri keibuannya terusik andai sehari tidak menatap wajah comel cahaya matanya.

Jika ada urusan yang tidak dapat dielakkan dan memerlukannya berjauhan dengan anak-anak, Susan akan meminta ibunya memantau anak-anaknya yang berada di bawah jagaan pembantu rumah.

“Suami saya bekerja dengan syarikat multinasional dan jadual kerjanya juga fleksibel. Jadi, jika saya sibuk, dia pasti ada dengan anak-anak. Paling tidak pun, salah seorang daripada kami akan berada bersama mereka. Jika tiada, ibu saya akan menjenguk mereka.

“Jika ada masa terluang saya akan pergi bercuti bersama keluarga di lokasi yang tidak terlalu jauh,” ujarnya yang suka membeli-belah sambil membawa anak-anak untuk menghilangkan stres dan mendapatkan urutan dan rawatan muka.

Waktu bersama keluarga

Ditanya mengenai pendapatnya terhadap wanita yang terlalu fokuskan kerjaya sehingga tidak memperuntukkan masa kualiti untuk anak-anak, Susan memberitahu bahawa dia tiada hak untuk menilai dan menghakimi orang lain kerana mereka pastinya mempunyai sebab-sebab tertentu.

“Tiada seorangpun ibu yang tidak sayangkan anak-anaknya. Anak-anak ini membesar sekelip mata. Suatu hari nanti anda akan sedar bahawa mereka tiada bersama anda lagi kerana punya kehidupan sendiri.

“Sama seperti keluarga saya, kakak dan adik semuanya di Amerika Syarikat dan Kanada. Kali terakhir kami duduk makan tengah hari bersama adalah pada hari perkahwinan saya pada tahun 2001. Sukar untuk kami berjumpa semula,” katanya sebak menahan juraian air mata.

Susan menekankan, waktu bersama keluarga amat penting. Dia dan suami tidak mahu melepaskan momen-momen indah menyaksikan anak-anak mereka membesar. Pada masa yang sama, suaminya memberikan sokongan untuknya terus maju dalam kerjayanya.


SUSAN tidak menafikan bahawa dia turut sama berkongsi tempias glamor artis yang datang ke Malaysia untuk mengadakan konsert.


“Ini adalah bisnes kami bersama. Dia sentiasa bersama saya. Kerja keras kami pada hari ini adalah untuk anak-anak,” ujarnya.

Kini, Susan bahagia di samping anak-anak yang comel hasil perkahwinan dengan suaminya yang berketurunan Singh.

“Keluarga saya semuanya kahwin campur. Begitu juga dengan keluarga suami saya. Kakak saya berkahwin dengan orang putih, adik saya berkahwin dengan wanita Jepun, adik ipar saya berkahwin dengan lelaki Melayu dan seorang lagi berkahwin dengan orang Punjabi.

“Jika sesekali berkumpul bersama, tidak tahu nak cakap keluarga apa sebab semuanya campur,” ujar Susan tersenyum.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: