AURA ruang legar Suria KLCC 12 Januari lalu sangat luar biasa. Ramai pengunjung mendongak ke atas untuk melihat arca gergasi naga emas yang seolah-olah terbang di ruang tersebut.
Ramai juga yang tidak melepaskan peluang merakamkan momen istimewa tersebut kerana ia begitu indah dan unik.
Di satu sudut lain pula kelihatan wajah-wajah ceria kanak-kanak dari Pertubuhan Kebajikan Ti-Ratana bergurau senda dengan ‘Dewa Kekayaan’ yang membuat penampilan khas bagi memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina di Suria KLCC.
Hari itu sangat bermakna kerana Suria KLCC sudi meraikan 35 orang kanak-kanak dari Pertubuhan Kebajikan Ti-Ratana dengan persembahan tradisional Cina, jamuan makan termasuk menggaul yee sang di Spring Garden dan menonton wayang bersama-sama pihak pengurusan dan kakitangan gedung beli-belah itu.
Ia dilakukan bagi meredakan emosi kesunyian mereka tatkala orang lain menyambut hari istimewa tersebut bersama keluarga dan orang-orang tersayang.
Kanak-kanak Pertubuhan Kebajikan Ti-Ratana itu turut dihiburkan dengan persembahan Gendang 18 Musim dan Tarian Singa Akrobatik.
Bunyi paluan gendang bergema di seluruh genap ruang Suria KLCC tatkala 13 pemalu gedang memulakan persembahan yang penuh semangat dan bertenaga sehingga getaran bunyinya terasa hingga ke jantung.
Adrenalin pengunjung semakin memuncak apabila mereka menonton aksi tarian singa akrobatik.
Kelincahannya beraksi dan menari di atas tiang-tiang yang disediakan sambil diiringi paluan gendang mengujakan para pengunjung yang setia memenuhi ruang legar tersebut.
“Telah menjadi tradisi kami (Suria KLCC) meraikan golongan yang memerlukan dengan memberikan mereka layanan istimewa oleh kakitangan kami.
“Ia bagi membolehkan mereka merasai kegembiraan menjelang hari yang cukup bermakna ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC, Andrew Brien.
Kakitangan Suria KLCC turut memberikan satu lagi kejutan istimewa kepada kanak-kanak tersebut apabila mereka dibawa menonton filem Alvin and The Chipmunks.
Bukan itu sahaja, kanak-kanak tersebut juga turut menerima sumbangan angpau sebanyak RM150 seorang.
“Kanak-kanak ini amat bertuah kerana berpeluang merasai sesuatu yang baharu sempena Tahun Baru Cina ini.
“Mereka amat teruja kerana dapat mengunjungi pusat beli-belah yang dikunjungi ramai warga Malaysia dan pelancong antarabangsa di samping meluangkan masa bersama kakitangan Suria KLCC,” kata Naib Presiden Pusat Kebajikan Ti-Ratana, Tan Thim Huat.
Pusat Kebajikan Ti-Ratana pada awal pertubuhannya hanya menaungi dua orang kanak-kanak dan tiga kakitangan pada tahun 1997.
Kini, pusat tersebut terdapat 240 kanak-kanak dan 28 kakitangan termasuk sukarelawan.
Pusat kebajikan berkenaan bergantung kepada sumbangan pertubuhan atau orang ramai untuk menampung perbelanjaan kanak-kanak di situ.
Mereka yang ingin menghulurkan bantuan bolehlah menghubungi Pusat Kebajikan Ti-Ratana di talian 03-7988 1818.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: