![]() |
| PELEKAT peti sejuk bermagnet kini menjadi buruan baru Roslinda. |
MENJEJAKKAN kaki ke Paris dan menyaksikan sendiri Menara Eiffel sememangnya menjadi impian ramai, termasuk ratu lompat bergalah negara, Roslinda Samsu.
Walaupun telah memijak tanah kota cinta itu, Roslinda terpaksa menyimpan saja hasratnya kerana persinggahannya hanya untuk transit sebelum ke Jerman, menghadiri pertandingan di sana pada 2010.
Bagi melepaskan gian, Roslinda segera mendapatkan rantai kunci berupa Menara Eiffel ketika di Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Paris, sebagai tanda kenangan sambil menambahkan koleksinya yang kini mencecah lebih 60 utas.
"Ia antara koleksi kegemaran dan saya menyimpan hasrat untuk ke sana sekali lagi suatu hari nanti bagi menyaksikan sendiri menara itu.
"Selain rantai kunci, saya juga mengumpul pelekat peti sejuk bermagnet kerana keunikan bentuknya yang mewakili setiap tempat.
"Koleksi tersebut sebagai tanda kenangan saya pernah menjejak kaki di sana dan ada juga yang dihadiahkan oleh rakan-rakan yang berkunjung ke negara lain," ujarnya yang menjadi juara empat kali berturut-turut bagi acara lompat bergalah pada Sukan Sea sejak 2005 hingga 2011.
Ceritanya lagi, dia kini lebih gemar mengumpul pelekat peti sejuk bermagnet yang sudah berjumlah lebih 30 biji kerana coraknya yang menarik selain mencantikkan lagi ruang dapurnya.
Selain rantai kunci dan pelekat peti sejuk bermagnet, anak jati Kuala Nerang, Kedah ini turut mengumpul pin kolar hasil pertukaran dengan atlet-atlet negara lain.
Cerita Roslinda, kesemuanya dikumpul sejak awal 2001 dan dia masih mengingati kisah setiap koleksinya itu.
"Setiap atlet yang mewakili negara akan dibekalkan dengan kolar pin yang melambangkan Malaysia untuk ditukar dengan atlet-atlet lain yang kita temui sewaktu menyertai temasya tersebut.
"Pin kolar berbentuk obor ini saya dapat ketika menyertai Olimpik Beijing pada 2008 dan ia antara kegemaran saya kerana bentuknya yang ringkas dan lain daripada koleksi yang saya pernah ada," cerita atlet berbintang Gemini itu sambil menunjukkan pin kolar tersebut.
Roslinda kini sibuk menjalani latihan untuk Kejohanan Lompat Bergalah Taiwan yang bermula pada 19 Mac ini.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: