Thursday, February 9, 2012

Tak mahu jual wajah

pix_middle

WAJAH peranakan, tubuh lampai bak peragawati, aura Norhafiezzah A. Kadir (Fyza), 27, dan Nurshaieedah A Kadir (Ieedah), 25, memang sukar disangkal.

Barang siapa saja yang memandang pasti mahu merenung lebih dalam, mendekati lalu membongkar kisah menarik dua beradik yang sekali panjang persis pasangan kembar.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Begitulah tercetusnya, fotografi ini apabila penulis yang menghadiri Majlis Kesyukuran dan Gong Xi Fa Cai MIG bertempat di Grand Ballroom Lagoon 2, Sunway Resort Hotel, Bandar Sunway pada 19 Januari lalu, tertarik untuk mengaturkan temu bual eksklusif dengan mereka.

Berasal dari Pulau Mutiara, Pulau Pinang, kedua-dua gadis jelita kacukan Melayu dan Malbari itu adalah bakat naungan MIG Talent syarikat milik produser terkenal, David Teo sekali gus bakal menjadi bintang baru yang bakal menggegarkan persada lakonan.Bicara si kakak, tidak pernah terlintas langsung di fikirannya untuk menjadi pelakon namun pertemuan dengan penulis skrip MIG Productions Sdn Bhd, Shariman Wahap, membuka peluang itu.


“Saya menemani seorang rakan bertemu dengan abang Shariman. Kawan saya itu Man Rahman. Mulanya hendak jadi penyanyi entah bagaimana ditawarkan pula menjadi pelakon. Sekarang ini drama lakonan Man iaitu Klik sedang disiarkan di saluran Astro Ceria.

“Abang Shariman meyakinkan saya untuk mencuba dan terfikir juga kenapa tidak? Tetapi saya memaklumkan kepadanya yang saya tidak pandai berlakon dan dia kata tidak mengapa, belajar daripada pengalaman. Ternyata ia memang pengalaman baru buat saya,” katanya.

Katanya lagi, pada Februari 2011, dia menandatangani perjanjian di bawah pengurusan MIG Talent selama lima tahun dan pemergiannya itu tidak sendirian tetapi bersama adiknya, Ieedah, juga diserap sebagai bintang pengurusan yang sama. Ieedah turut mengenali Shariman pada hari pertama pertemuan mereka.

Fyza graduan jurusan Diploma Rekaan Fesyen dan Tekstil di MIA College, mengorak langkah sulung dengan membintangi filem Senario Ops Pocot, diikuti drama bersiri Hanalulu, Seram Sejuk (filem) dan Nongkrong yang akan menjengah pawagam Mei nanti.

“Saya bermula dengan watak kecil dan pernah muncul untuk satu babak saja tetapi itulah yang menjadi pengalaman berguna. Kemudian barulah saya ditawarkan watak utama menerusi filem Seram Sejuk arahan Azhari Mohd Zain dan Nongkrong (Ismail Bob Hasim )

“Menerusi Seram Sejuk, saya membawakan watak Mawar yang rohnya meracau selepas 100 tahun mati akibat ditikam suami. Dia hidup kembali untuk mendapatkan kalung pusaka. Filem ini membabitkan enam pelakon dan saya adalah salah seorang pelakon utama.

“Manakala Nongkrong pula, saya sekali lagi membawakan watak hantu. Puteri Dua yang jelita bertukar menjadi wanita hodoh disebabkan perjanjian terlarang. Sepanjang membintangi kedua-dua filem itu, syukur saya tidak pernah menerima gangguan walaupun saya disolek menjadi hantu.

“Melainkan, saya pernah terjatuh semasa menaiki kuda sewaktu penggambaran babak perkahwinan Seram Sejuk sehingga menyebabkan kecederaan kecil,” katanya.

Turut beraksi dalam filem terbaru arahan Farid Kamil, PE-3 dan X ditangani pengarah baru, Ahmad Rusli Mohamed Khadri, Fyza juga terbabit dalam projek 1 lawan 1 arahan Pierre Andre dan Ajiboy.

Syukur mendapat sokongan padu daripada kedua-dua orang tua yang menitip pesan buat dirinya dan Ieedah menjaga nama baik keluarga, Fyza berkata, keseriusannya dalam bidang lakonan sebagai melunaskan impian arwah bapanya, Abdul Kadir Haji Mohd yang ingin lihat mereka berjaya dalam bidang seni.

“Saya tidak mahu jual wajah tapi ingin dikenali kerana bakat. Arwah ayah semasa hayatnya adalah orang yang paling gembira mengetahui saya dan adik menjadi pelakon. Masa menjalani penggambaran Adiboy di Melaka, sehari sebelum ayah nazak kami berbual dan dia sangat teruja mendengar cerita saya.

“Cuma arwah pesan jaga diri baik-baik dan elakkan sebarang kontroversi yang boleh mencalarkan maruah diri dan keluarga,” katanya.

Mengalih perbualan buat Ieedah yang lebih berani dan berkeyakinan berbanding kakak yang agak pemalu tatkala beraksi di hadapan kamera, dia tidak sedikitpun cemburu dengan peluang diperoleh Fyza itu.

“Setakat ini saya baru berlakon dalam Bini Biniku Gangsters dan Seram Sejuk sebagai wartawan. Berbanding kakak, mungkin saya belum banyak memperoleh peluang kerana saya sendiri pun bekerja tetap, jadi sukar untuk saya membahagi diri antara pekerjaan sekarang dengan lakonan.

“Mujurlah saya dapat majikan yang memahami. Mungkin juga saya kurang mendapat tawaran kerana MIG Talent mempunyai ramai artis di bawah mereka, justeru ada masa-masanya watak diberikan kepada mereka yang sesuai.

“Pun begitu saya tidak kisah. Mana tahu suatu hari nanti saya memperoleh watak yang benar-benar dapat menyerlahkan bakat lakonan saya. Malah, tidak pernah terdetik sekelumit perasaan cemburu pun terhadap kakak bahkan saya mendukungnya dari belakang,” katanya.

Mengagumi bakat Maya Karin dan Syamsul Yusof, Ieedah bertugas sebagai pembantu peribadi di sebuah syarikat swasta juga memasang angan agar suatu hari dapat menimba ilmu di bawah produksi arahan anak teruna Datuk Yusof Haslam itu.

“Dia bukan saja pengarah muda dan hebat malah memiliki pakej yang menarik. Saya pasti ramai remaja menjadikannya idola,” katanya.

Mengenai kekeliruan orang ramai yang sering menganggap dirinya dan Fyza pasangan kembar, Ieedah berkata, tanggapan sedemikian sudah lali didengar sejak mereka kecil lagi. Ini mungkin disebabkan raut wajah serta ketinggian yang mirip.

“Saya memang sangat rapat dengan kakak, kami bukan saja adik-beradik tetapi juga kawan karib. Kawan dia adalah kawan saya tetapi kawan saya bukan kawan dia... hahahaha (ketawa). Sebabnya kakak saya seorang yang pemalu dan lambat sedikit untuk mesra.

“Kami berkongsi banyak persamaan, suka membeli-belah dan meminati gaya fesyen yang sama. Selain itu kami kuat gelak, cuma bezanya saya lebih ramah dan berani mungkin kerana saya bekerja di bahagian perkhidmatan dan jualan yang membuatkan saya sering bertemu orang ramai,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu.



Trivia Fyza

  • Bahagian wajah atau tubuh paling disukai: Mata
  • Tabiat unik: Suka bawa kucing ke klinik
  • Perkataan yang sering diucapkan: Suka sangat cakap uuuuuuu....
  • Filem kegemaran: Romeo & Juliet
  • Ciri lelaki pilihan: Pandai ambil hati, penyayang, ‘family person’, suka budak-budak dan haiwan.
  • Perkara yang membuatkan mudah menangis: Perkara yang membuatkan mak menangis, binatang didera atau dimarahi.
  • Artis Pujaan: Angelina Jolie
  • Wang, cinta, kejujuran, kesetiaan, pendirian agama atau si dia yang menghiburkan menjadi kemahuan anda pada sang kekasih (satu jawapan saja): Kesetiaan
  • Jenis bacaan yang anda gemari: Glam, Bazzaar, Vogue dan Marie Claire.
  • Nyatakan siapa anda secara ringkas: Hormat orang tua dan merendah diri.



    Trivia Ieedah

  • Bahagian wajah atau tubuh paling disukai: Senyuman
  • Tabiat yang dianggap unik: Gelak
  • Perkataan yang sering diucapkan: Tiada perkataan yang ‘specific’
  • Filem kegemaran: Filem Korean, Full House
  • Ciri lelaki pilihan: ‘Simple & steady’
  • Perkara yang membuatkan anda mudah menangis: Filem dan cerita sedih
  • Artis Pujaan: Maya Karin & Syamsul Yusof
  • Wang, cinta, kejujuran, kesetiaan, pendirian agama atau si dia yang menghiburkan menjadi kemahuan anda pada sang kekasih (satu jawapan saja) : Kejujuran
  • Jenis bacaan yang anda gemari: Romantik
  • Nyatakan siapa anda secara ringkas: ‘Happy go lucky’.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: