KUALA LUMPUR: Stesen radio yang mencatatkan peningkatan pendengar tertinggi, Suria FM tampil lebih segar apabila memperkenalkan tema terbaru mereka iaitu 'Ceriakan Duniamu' kepada para pendengar.
Timbalan Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Yusry Abu Samah berkata, tema terbaru itu adalah salah satu usaha pihak meraka dalam memperkukuhkan lagi kedudukan Suria FM sebagai salah satu stesen pilihan pendengar.
"Walaupun tampil dengan tema berbeza, kita masih mengekalkan format asal iaitu 'Muzik Terbaik 90-an dan Terbaru selain mengambil kira beberapa perkara yang dikira perlu bagi memenuhi kehendak pendengar.
"Atas dasar itu juga perubahan ini dibuat selepas satu kaji selidik diadakan," ujarnya kepada mStar Online selepas melancarkan Suria FM Terbaru di sini, Khamis.
Pada majlis sama, turut dilancarkan logo bagu stesen itu sesuai dengan konsep baru dan penjenamaan mereka.
Selain Yusry, turut hadir pada pelancaran itu adalah Ketua Pengarang Kumpulan The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai dan Ketua Pegawai Penyiaran Kumpulan Star Radio, C.K.Tan.
Dalam pada itu, Yusry berkata, selain perubahan tema dan logo, gaya penyampaian oleh DJ, segmen, pengisian program juga akan tampil mengikut konsep baru tersebut.
Katanya, keputusan mengambil Nabil Raja Lawak dan Kenchana Dewi sebelum ini juga adalah salah satu daripada langkah memperkenalkan konsep baru itu kepada pendengar.
"Bukan kata sebelum ini semua pendengar tidak mesra dan ceria, tetapi tema baru ini akan memberi impak lebih kepada pendengar.
"Kehadiran Kenchana dan Nabil juga bertepepatan dengan misi terbaru ini," ujarnya.
Sementara itu, Yusry berkata, bagi menyokong wajah baru stesen itu, beberapa program telah diatur untuk mendekatkan lagi Suria FM kepada peminat.
Yusry berkata, pihak mereka bakal mengadakan Suria Ceria-Oke Roadtour 2012 bersama artis Warner Music yang memerlukan peserta berduet dengan salah seorang ahli keluarga mereka.
"Kami akan berada di Metro Point Kajang pada 18 Februari, Megamall Penang (19 Februari), Kuantan Parade (25 Februari) dan kompleks Pasir Gudang (26 Februari) bersempena pertandingan itu dan bertemu pendengar.
"Antara artis bakal terlibat juga adalah seperti Awi Rafael, Fiq, Wana, Awanband, Filsut, Taxi dan lain-lain," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: