tenggiling

BANDAR HILIR - Sebanyak 67 ekor tenggiling dari negara jiran cuba dibawa masuk ke negara ini menerusi selat Melaka setelah dipercayai untuk dijual kepada pengusaha restoran makanan eksotik di negara ini.

Bagaimanapun, tindakan berkenaan berjaya dipatahkan dengan tertangkapnya dua lelaki di perairan selat Melaka, berhampi­ran Pulau Besar, di sini, malam kelmarin.

Kedua-dua lelaki berusia 33 dan 34 tahun dari Bengkalis, Indonesia ditahan sepasukan penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) negeri kira-kira 11.30 malam, ketika cuba membawa masuk haiwan berkenaan.

Suspek yang ditugaskan untuk menghantar kesemua haiwan itu menaiki sebuah bot pancung ditahan semasa rondaan rutin KDRM, sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

Pengarah Perhilitan negeri, Abdul Rahim Othman berkata, haiwan berkenaan dipercayai untuk dijadikan makanan eksotik bagi pasaran di semenanjung Malaysia.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati kesemua tenggiling dengan anggaran berat dari kira-kira 900 gram hingga sembilan kilogram seekor itu bernilai lebih RM70,000.

“Harga seekor tenggiling boleh mencecah sehingga RM350 sekilogram atau RM3,150 bagi tenggiling yang mempunyai berat sembilan kilogram.

“Semua tenggiling itu akan ditempatkan di Zoo Melaka sementara menunggu perintah dari mahkamah,” katanya.