Tuesday, February 21, 2012

'Saya juga teraniaya'

FIRDAUS menunjukkan laporan polis menafikan penggunaan dadah di ibu pejabat Polis Daerah Kota Setar.
FIRDAUS menunjukkan laporan polis menafikan penggunaan dadah di ibu pejabat Polis Daerah Kota Setar.
Atlit angkat berat Firdaus buat laporan polis, minta siasatan

SELEPAS atlit olahraga Mohd Yunus Lasaleh, atlit angkat berat negara, Firdaus Abdul Razak, 24, pula membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan dia mengambil dadah terlarang ketika Sukan SEA Indonesia tahun lalu.
Selain mahu perkara itu disiasat pihak berkuasa, Firdaus berkata, laporan dibuat bagi membolehkan siasatan dilakukan termasuk menyiasat jenis ubat yang diberikan jurulatih Majlis Sukan Negara (MSN) berkenaan.
Dia berkata, sepanjang pembabitannya dalam kejohanan sukan angkat berat sejak 10 tahun lalu, dia bersih daripada sebarang pengambilan bahan terlarang dan menyifatkan kes berkenaan sebagai satu penganiayaan terhadapnya.

“Kemungkinan saya dianiaya jurulatih terbabit kerana sepanjang pembabitan saya dalam sukan ini, saya tidak pernah mengambil bahan terlarang. Saya melalui ujian sejak 2002 dan kali terakhir pada 17 September tahun lalu, yang menunjukkan saya bebas daripada sebarang bahan terlarang untuk kelayakan ke Sukan SEA iaitu ketika kejohanan angkat berat kebangsaan di Kuala Lumpur, sebelum berlatih di China,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, semalam.

Firdaus berkata, susulan kes itu, dia terpaksa menanggung malu dan mahu namanya dibersihkan kerana yakin dirinya teraniaya.

Menurutnya, rakan baiknya ada memaklumkan bahawa berkenaan menghubungi rakannya itu untuk meminta Firdaus tidak membuka mulut mengenai ubat berkenaan.
Sebelum ini, Firdaus yang positif ujian dadah ketika beraksi pada temasya Sukan SEA Indonesia, mendakwa dia diberi dua jenis ubat berbentuk kapsul berwarna putih oleh jurulatih itu sepanjang latihan di China.

Dia mendakwa diberi ubat berkenaan secara tertutup dalam sebuah bilik dan jurulatih menyatakan ubat itu sebagai makanan tambahan dan sejenis herba China yang boleh membantunya menjalani latihan bersama atlit angkat berat lain.

“Saya ada menghubungi Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong bagi mendapatkan nasihat mengenai kejadian ini dan beliau meminta saya membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan itu, selain membersihkan nama saya yang sudah tercalar,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: