Wednesday, February 15, 2012

Sarimah Ibrahim ubah angin


MAHU berkahwin semula, Sarimah tunggu lamaran daripada kekasihnya, Guillamae.


LIMA tahun mengikat kontrak sebagai artis eksklusif Astro yang kontraknya sah sehingga Mei tahun ini, pengacara popular Sarimah Ibrahim kini mengubah angin dengan menyertai stesen radio swasta Red FM sebagai penyampai radio bagi segmen pagi (6 -10 pagi), Isnin sehingga Jumaat iaitu Red Breakfast bersama Lil Kev bermula 13 Februari lalu.

Sarimah yang ditemui pada majlis pelancaran penjenamaan baharu radio Red FM baru-baru ini mengakui yang dia sedikit terkilan kerana pendedahan yang diterima ketika menjadi artis eksklusif Astro tidak seperti yang diharapkan sekali gus menyebabkan dia membuat keputusan untuk berpindah ke Red FM.

Wanita yang berusia 34 tahun ini berharap dengan penghijrahannya itu, dia dapat meluaskan lagi kerjaya seninya selain mengakui kehidupan peribadinya sedang melalui fasa bahagia bersama seorang lelaki Perancis yang mula memikat hatinya sejak dua tahun yang lalu.

Dalam perkembangan lain, Sarimah juga akan muncul dengan sebuah buku motivasi hasil nukilannya berdasarkan pengalaman serta pemerhatian keadaan sekelilingnya. Buku itu dijangka berada di pasaran pada pertengahan tahun ini.

Kosmo!: Mengapa Sarimah menerima tawaran daripada Red FM, bukankah sebelum ini Sarimah berpeluang menjadi penyampai di stesen radio di bawah naungan Astro.

SARIMAH: Saya terima kerana ini merupakan kerja yang tetap kerana saya bukannya orang kaya atau berkahwin dengan orang kaya selain tawarannya tiba pada masa yang tepat. Saya mencari sesuatu yang boleh mendedahkan saya kepada peminat. Walaupun sebelum ini saya merupakan artis eksklusif Astro, setelah sekian lama menunggu peluang yang diharapkan tidak tiba, mungkin tiada rezeki.

Mungkinkah perpindahan Sarimah ke Red FM disebabkan Sarimah merajuk kerana peluang yang diharapkan tidak diperoleh di Astro?

Saya harap dapat pendedahan yang lebih, selepas bertahun-tahun apa yang saya jangkakan tidak diperoleh. Sebelum ini ketika diberitahu saya akan menyertai radio mereka akan memberi saya satu segmen yang lebih meluas penyampaiannya tetapi tidak begitu. Jadi saya buat keputusan masuk ke Red FM kerana mereka memberikan pendedahan yang saya inginkan.

Adakah Sarimah menyesal menandatangani kontrak eksklusif bersama Astro sebelum ini?

Saya tidak menyesal kerana saya percaya setiap apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Jika saya tidak bersama Astro terlebih dahulu, Red FM tidak akan menemui saya. Saya berterima kasih atas kerjasama bersama Astro sebelum ini. Selepas kontrak saya tamat pada bulan Mei, mungkin saya akan bergerak secara bebas.

Maknanya selepas ini, peminat akan melihat wajah Sarimah di mana-mana stesen televisyen?

Ya, mungkin bergantung pada tawaran kerana selepas bulan Mei saya sudah tidak terikat dengan Astro, tugas saya di Red FM sehingga pukul 10 pagi sahaja. Sebelah petang saya bebas melakukan aktiviti seni yang lain untuk mana-mana stesen televisyen. Alhamdulillah, setakat ini rezeki saya sudah ada sehingga bulan Jun depan.

Harapan Sarimah sebagai penyampai radio Red FM?

Saya ingin mengubah tabiat pendengar radio di Malaysia. Apa yang ingin saya lakukan ialah menggalakkan lebih ramai pendengar stesen radio Melayu untuk mendengar stesen radio bahasa Inggeris. Saya juga ingin memutarkan bukan saja lagu bahasa Inggeris tetapi juga lagu Melayu seperti lagu-lagu nyanyian Hafiz dan Jaclyn Victor. Standard mereka setanding dengan penyanyi antarabangsa, tetapi itu akan berlaku jika pihak atasan memberikan kelulusan. Selain itu saya juga mengambil kesempatan di Red Breakfast untuk mendidik peminat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka.

Nampaknya hubungan cinta Sarimah dan Guillamae (kekasih) bertambah intim. Bila mahu menamatkan zaman solo?

Soalan itu sepatutnya bukan disoal kepada saya tetapi kepada dia. Sebenarnya memang saya takut untuk memulakan hubungan baharu, fobia juga kerana kegagalan perkahwinan sebelum ini tetapi cinta dan mati dua hal yang berada di luar kawalan saya. Saya akan berkahwin kerana saya juga inginkan anak, umur bukan muda lagi tetapi saya tidak mahu tergesa-gesa bimbang nanti jadi seperti perkahwinan sebelum ini, biarlah kami benar-benar mengenali antara satu sama terlebih dahulu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: