MEREKA tidak pernah bertemu, namun tetap mesra dek tuntutan kerja. Kemesraan yang terjalin antara pelakon Sari Yanti Mohamad Nazari, 28 dengan Muniff Md. Isa, 29, selari dengan jangka waktu penggambaran drama bersiri BFF...Teman Tapi Mesra.
Malah sewaktu sesi foto yang diadakan baru-baru ini, kemesraan antara mereka jelas kelihatan. Saling usik mengusik tapi tetap sopan.
Maklumlah sepanjang tempoh Sari dan Muniff membabitkan diri dalam bidang lakonan, mereka bersih daripada kontroversi berbanding artis lain.
Artis residen TV Alhijrah?
BAGI yang sering menonton saluran TV Alhijrah, pasti tidak lepas pandang kemunculan Muniff sebagai hos dalam program Ejen Halal dan Assalamualiakum, setiap Sabtu.
Program Ejen Halal yang dihos oleh Muniff sudah pun memasuki musim keempat dan sekarang ini dia sibuk dengan sebuah lagi program dokumentari terbitan stesen tv yang sama.
Kata Muniff, dia tidak terikat dengan mana-mana stesen tv, kebetulan sahaja TV Alhijrah mengundangnya untuk beberapa program mereka.
“Saya bebas dan boleh berlakon atau bekerja dengan sesiapa sahaja, selagi jadual kerja tidak bertindan.
“Banyak pengalaman yang saya timba sepanjang mengendali program Ejen Halal. Sejak bekerja dalam lingkungan kakitangan TV Alhijrah, sedikit sebanyak ia menggubah cara kehidupan saya,” akuinya.
Menurutnya, gara-gara menjadi hos program Ejen Halal ada juga yang salah sangka terhadapnya apabila melakonkan watak antagonis.
Kata Muniff, dia ditawar menjadi pengacara kerana bakat lakonannya dan bukan kerana dia memiliki ilmu agama yang tinggi.
“Saya hanya menyampaikan maklumat dan bukan mengutarakan pendapat. Ilmu saya masih kurang untuk mengendalikan program yang berkaitan hukum hakam ini.
“Meskipun mengacara program, lakonan tetap keutamaan. Bagi saya baik program atau lakonan, kedua-duanya boleh dijadikan teladan jika kita memandangnya dari sudut positif,” katanya yang mengakui sudah mempunyai kekasih hati.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: