|
|
NAMA Roslan Shah kembali hangat pada tahun 2012 ini selepas sebuah butik mengadu dan mendakwa pengacara popular itu tidak memulangkan baju tajaan dalam tempoh masa yang lama.
Pemilik butik Roy Busana Anggun itu mendakwa sanggup menaja buat pertama kalinya pakaian dan juga dekorasi majlis sambutan hari jadi Roslan Shah yang ke-41 pada 17 November lalu atas dasar sudah mengenali Roslan selama 14 tahun.
Bagaimanapun, sehingga ke hari ini Roslan didakwanya masih belum memulangkan baju tajaan tersebut menyebabkan pemilik butik berkenaan terpaksa berdepan dengan beberapa pelanggan yang ingin menyewa baju itu.
Bagi mengesahkan perkara itu Selasa lalu, Kosmo! menghubungi pemilik butik berkenaan, Datuk Roy Azman yang nyata kecewa dengan sikap Roslan itu.
Boleh Datuk ceritakan mengenai Roslan yang dikatakan tidak memulangkan baju yang ditaja sehingga kini?
Atas dasar kawan dan sudah mengenali dia selama 14 tahun sejak di Singapura lagi saya sanggup menaja pakaian Roslan dari hujung rambut sampai hujung kaki yang bertemakan Arab pada sambutan hari jadinya di Restoran Cerana, Cheras. Malah, saya juga menaja dekorasi pentas pada malam itu. Namun, selepas majlis tersebut tamat dia tidak memulangkan baju tersebut menyebabkan sukar untuk pelanggan lain menyewa baju tersebut.
Sepatutnya berapa lama tempoh Roslan patut meminjam dan memulang baju tersebut?
Sepatutnya sejurus majlis tamat dia pulangkan tetapi sehingga kini dia masih belum pulangkan baju tersebut. Dah masuk tiga bulan baju tersebut tidak dipulangkan.
Adakah pihak Datuk menghubungi Roslan untuk memulangkan baju tersebut?
Pembantu saya ada hubungi dia beberapa kali dan menyuruhnya memulangkan baju dan dia menyatakan akan berbuat demikian tetapi sehingga kini kami masih tidak menerima baju tersebut.
Berapakah jumlah tajaan Datuk kepada Roslan?
Untuk baju Roslan RM3,500 manakala untuk dekorasi majlis sebanyak RM5,000.
Adakah Datuk terkilan menaja Roslan dan apakah di masa depan Datuk serik untuk menaja Roslan dan artis-artis lain selepas apa yang berlaku?
Saya dan dia baik dan saya tidak mahu perkara sebegini merosakkan hubungan baik kami. Roslan juga sudah banyak menjayakan majlis-majlis yang dianjurkan butik saya. Saya tidak akan serik untuk menaja dia dan juga artis-artis lain selepas ini walaupun berdepan dengan perkara sebegini.
Selain Roslan siapa lagi artis yang pernah Datuk taja?
Saya pernah taja Mimi Haris (Mystarz LG), Mas Idayu, artis-artis Luncai Emas dan terbaharu, penyanyi Abot.
Apakah harapan Datuk terhadap Roslan?
Saya harap Roslan dapat memulangkan baju tersebut untuk memudahkan saya menyewakannya kepada pelanggan lain pula.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: