Wednesday, February 1, 2012

Robot bawa barang


Nor Maniha Abdul Ghani menunjukkan prototaip robot hasil reka cipta beliau dan kumpulannya di kuantan baru-baru ini.


BIASANYA kita menggunakan troli untuk membawa atau memindahkan barang-barang. Di lapangan terbang misalnya troli digunakan dengan meluas untuk penumpang membawa bagasi mereka.

Guna troli tentu memerlukan tenaga yang kadang-kadang boleh meletihkan apatah lagi jika ia sarat dengan barangan.

Masalah itu mungkin dapat diatasi jika robot kawalan bagi mengangkut barang ciptaan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dikomersialkan.

Dinamakan Carbot (Carrier Balancing Robot), ia asalnya adalah robot dua roda yang boleh stabil dengan sendiri dan ketika bergerak.

Menurut pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) UMPt, Nor Maniha Abdul Ghani, beliau bersama seorang lagi rakan penyelidik, Mohd Zaidi Mohd Tumari memulakan penyelidikan tersebut menggunakan geran UMP sejak dua tahun lepas.

''Kami kemudian menambahkan aplikasi lain kepada robot ini dengan membuat satu mekanisme dwikawalan iaitu tanpa wayar dan automatik,'' ujarnya yang juga ketua kumplan projek berkenaan.

Katanya, pengguna boleh mengawal perjalanan robot itu menggunakan alat kawalan joystick atau tetapkan pada mod kawalan automatik bagi membolehkan robot mengesan laluan dengan sendiri tanpa bantuan manusia.

Robot tersebut boleh mengelak halangan dan membawa beban di atasnya dari satu tempat ke tempat yang lain.

Beliau menambah, kajian lanjut kemudiannya membabitkan kerjasama pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) , Dr. Sophan Wahyudi Nawawi bagi menambah baik inovasi tersebut.

Ia juga turut melibatkan dua pelajar FKEE , Tan Piow Yon dan Lee Kong Haur melalui projek sarjana muda mereka.

Bagaimanapun, pihaknya bercadang untuk meneruskan kerjasama dengan Dr. Sophan Wahyudi bagi memohon Geran Dana Sains dalam meluaskan lagi fungsi robot itu.

Menurut Nor Maniha , banyak syarikat dari Korea Selatan yang menyaksikan kehebatan robot berkenaan semasa pertandingan Pameran Reka Cipta Antarabangsa Seoul (SIIF) 2011 berminat untuk bekerjasama bagi meluaskan fungsinya.

Pada masa sama, sebuah lagi syarikat, Gallant(M) Project Management juga menyatakan minat untuk meluaskan fungsi robot tersebut semasa mereka hadir ada Pameran Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2011 tahun lepas di ibu negara.

Menurut, dalam perancangan bersama syarikat Gallant (M) Project Management baru-baru ini ini, mereka merancang untuk menambah baik robot berkenaan kepada skala yang lebih besar dan digunakan sebagai kenderaan seperti Segway.

Kenderaan dua roda itu boleh digunakan di kompleks membeli belah dan lapangan terbang atau sebagainya bagi memudahkan urusan pengguna berjalan-jalan sambil membawa barangan.

''Ia sangat mudah, ringkas dan tidak memerlukan ruang yang besar," ujarnya.

Mengenai kos, beliau menjelaskan ia belum dapat ditentukan dengan tepat tetapi yang pastinya ia lebih murah berbanding Segway yang dikeluarkan di Amerika Syarikat.

Inovasi tersebut menerima pengiktirafan pada SIIF 2011 yang diadakan di Seoul, Korea Selatan dengan menerima pingat emas.

Untuk maklumat lanjut boleh menghubungi normaniha@ump.edu.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: