MODEN..seluar palazo yang dipakai bersama top labuh ini tampak kemas untuk digayakan ke mana saja.
INGIN mengubah tanggapan sesetengah pihak terhadap pemakaian jubah hanya sesuai untuk golongan dewasa, Butik Ananis cuba menampilkan rekaan khusus bagi menarik perhatian remaja.
Menurut pemiliknya, Hamzanah Makrof, jika dilihat pada hari ini kebanyakan remaja kurang menggemari jubah kerana menganggap ia pakaian wanita dewasa.
“Justeru, saya mengambil pendekatan dengan menampilkan rekaan yang dihasilkan mengikut fesyen terkini bagi memberi pendedahan dan mendidik remaja mengenai pemakaian jubah.
“Kebanyakan mereka menganggap jubah hanya dipakai oleh wanita berusia 40 tahun ke atas. Sebenarnya ini tidak betul dan bagi memperbaiki fungsi pemakaiannya, ciptaan bersifat remaja serta ranggi dihasilkan bagi menarik perhatian remaja mengamalkan pemakaiannya,” jelas Hamzanah yang mengagumi fungsi sebenar jubah.
Bukan hanya remaja, malah koleksinya yang lebih mementingkan kualiti, rekaan dan fabrik, dicipta sendiri oleh Hamzanah dengan mengambil kira gaya digemari oleh semua golongan pada masa kini.
Tidak mengira remaja, dewasa mahupun warga emas, semua jubah dihasilkan mengikut potongan longgar dan boleh digayakan oleh semua peringkat umur di samping mengambil perhatian terhadap warna agar tidak tampil keterlaluan.
Pada mulanya matlamat pembukaan butik Muslimah sejak Ogos tahun lalu itu adalah untuk memastikan dia tampil memakai pakaian menutup aurat yang sempurna pemakaiannya.
“Namun, apabila saya memakai jubah hasil ciptaan sendiri, ramai pelanggan bertanya di mana mereka boleh mendapatkannya.
“Jubah mempunyai banyak fungsi yang tidak hanya untuk menutup aurat, tetapi jika ia bersih dan kemas juga memudahkan wanita untuk melakukan kewajipan mereka iaitu bersolat tanpa perlu membawa pakaian sesuai.
“Kebanyakan jubah yang dicipta bertujuan untuk mempraktikkan amalan pemakaiannya yang menonjolkan sifat lemah lembut dan kewanitaan.
“Nama yang diberi pada jubah juga mengikut rekaan agar sinonim dengan sifat wanita agung yang memiliki ciri-ciri terbaik,” jelasnya ketika ditemui di butiknya (diberikan nama Ananis bermaksud ‘ana atau saya yang manis’), baru-baru ini.
Jelas Hamzanah, selain rekaan yang cuba diketengahkan, penggunaan fabrik juga diberi perhatian bagi membantu menambah keselesaan kepada pemakai di samping memenuhi tuntutan wanita masa kini.
“Fabrik yang bersifat ringan, tidak mudah renyuk dan boleh dibasuh menggunakan mesin biasa tanpa perlu menghantar ke dobi untuk cucian kering memudahkan pengguna.
“Disebabkan itu saya banyak menggunakan fabrik lycra untuk memudahkan pengguna tanpa perlu bersusah payah memikirkan cara membasuhnya bagi mengekalkan kualiti selain mudah digunakan dengan tidak perlu digosok.
“Fabrik yang diimport dari Korea itu mempunyai ciri-ciri disebutkan kerana kerajaannya mengambil pendekatan terbabit bertujuan mengurangkan penggunaan tenaga di negaranya,” katanya.
Tidak hanya menampilkan pelbagai pilihan koleksi jubah, Butik Ananis turut menampilkan himpunan tudung dan aksesori seperti beg tangan, tali pinggang, rantai serta anting-anting bagi memudahkan pelanggannya memadankan perhiasan sesuai dengan pakaian yang digayakan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: