Saturday, February 4, 2012

Rancangan masakan si cilik


Chef Andri Abdul Hadi (tengah) bersama Vanida Imran (kiri) dan Nor' Azah Mohd. Sidi menunjukkan jus buah-buahan yang menggunakan susu Dumex pada majlis pelancaran pertandingan memasak realiti Dumex Chef Cilik Komplete Nutri di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


MENCARI aktiviti bagi memenuhi masa lapang secara berfaedah dan bersesuaian dengan kreativiti anak-anak kadangkala memeningkan kepala terutama kepada ibu bapa.

Sememangnya kanak-kanak mempunyai bakat tersembunyi yang sukar diduga, hanya melalui pendekatan yang betul sahaja bakat-bakat ini dapat dicungkil dari dalam diri mereka.

Kebiasaannya mereka akan menunjukkan minat terhadap sesuatu perkara selepas melihat apa yang dilakukan dalam persekitaran mereka seperti ibu atau bapa.

Memasak, misalnya, antara aktiviti yang memerlukan daya imaginasi dan bakat tersendiri. Bagi kanak-kanak, ia sekali gus membentuk kreativiti dan sifat sabar dalam diri masing-masing.

Memupuk minat dalam bidang itu seeloknya sejak dari usia muda sebagaimana yang dilakukan oleh Danone Dumex dengan kerjasama Astro Ria yang menganjurkan pertandingan memasak realiti terkini, Dumex Chef Cilik Komplete Nutri yang menjanjikan pendidikan, keseronokan dan hiburan.

Menurut Pengarah Urusan Danone Dumex, Toni Brendish, melalui program itu ia bukan sahaja memupuk cintakan dunia masakan tetapi juga memberikan pembelajaran tentang nutrisi kepada sesuatu makanan.

"Menerusi Dumex Chef Cili Komplete Nutrisi, kami mahu menggalakkan rakyat Malaysia supaya mengamalkan tabiat makan yang lebih sihat. Kita tidak perlu mengorbankan kelazatan untuk khasiat pemakanan dan inilah dapat kita saksikan dan pelajari dalam program ini,'' katanya ketika melancarkan program itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Melalui program berkenaan, kanak-kanak akan bergabung dengan ibu atau bapa mereka dan berentap bagi menawan hati panel hakim dengan sajian yang lazat dan berkhasiat yang dicipta berdasarkan tema yang ditetapkan.

Katanya, melalui program tersebut tiga panel akan dijemput menghakimi hidangan yang disediakan. Antara panel hakim ialah Chef Andri Abdul Hadi, pakar pemakanan, Nor'azah Mohd. Sidi dan selebriti yang terdiri daripada Dynas Mokhtar, Ako Musthapa dan Maria Farida.

Lebih menarik, program yang akan bermula 13 Februari ini akan dihoskan oleh pengacara terkenal, Vanidah Imran.

Sementara itu, Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani pula memberitahu, program ini bermula dengan 27 pasukan yang akan berentap dalam sembilan episod yang pertama untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

Katanya lagi, setiap episod akan dibahagikan kepada empat segmen tertentu di mana kanak-kanak tersebut perlu menyiapkan segmen tersebut sebelum layak ke peringkat separuh akhir.

Katanya lagi, dalam tiga episod akhir, sembilan pasukan yang berjaya ke pusingan separuh akhir dikehendaki mencipta sajian yang unik berdasarkan tema yang telah ditetapkan.

"Setiap pasukan akan dinilai berasaskan kreativiti, kerjasama berpasukan dan paling penting kesesuaian sajian, bagi pemenang hadiah utama akan membawa pulang wang tunai RM20,000 manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima RM15,000 dan RM10,000,'' ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: