Sunday, February 19, 2012

Pujuk pelacur bertaubat


AHMADI menasihatkan pasangan kekasih supaya berkahwin bagi mengelakkan mereka terus membuat maksiat.


ADA sisi eksentrik serta keberanian luar biasa dalam diri lelaki ini, Ahmadi Baharudin, 35. Ahmadi ialah pakar motivasi terkenal yang telah berjaya menginsafkan ramai remaja terlanjur dan melawan ibu bapa. Beliau juga sering melakukan serbuan mencegah maksiat bersama kumpulannya khususnya di Lembah Klang.

Sejak kecil, pengurus dan pakar motivasi Didik Diri Resource bertubuh langsing yang berasal dari Sungai Petani, Kedah ini mendapat pendidikan keagamaan secara tidak formal daripada ayahnya, seorang anggota tentera dan ibunya, seorang guru agama.

Pengajiannya pula bukan dalam bidang keagamaan sebaliknya sains politik. Namun, semasa di universiti lagi beliau pantang melihat perbuatan maksiat berlaku di depan mata.

Sebagai contoh, jika beliau melihat pasangan beragama Islam sedang berpegangan tangan di perpustakaan, kantin atau taman universiti, Ahmadi pasti akan menegurnya.

Ini kerana beliau tahu pasangan itu bukan suami isteri dan bukan mahram yang menghalalkan mereka berbuat demikian.

Namun, itu bukan satu-satunya pendekatan mencegah kemungkaran yang dilakukan Ahmadi.

“Saya pernah menahan motosikal yang dibonceng pasangan yang belum berkahwin di kawasan universiti mahupun di luar.

“Jika kereta pula, kalau pasangan itu berdua-duaan saya juga akan menahannya. Syukur kerana sepanjang menahan beratus-ratus motosikal dan kereta, saya tidak pernah dilanggar mahupun dicederakan,” katanya.

Semasa menahan pasangan terbabit, Ahmadi akan memberitahu bahawa perbuatan mereka itu salah di sisi agama dan menjurus kepada perkara maksiat lain seperti perzinaan jika tidak ditegah lebih awal.

“Saya sarankan mereka segera bertaubat dan jika benar-benar ingin berkasih, terus sahaja berkahwin,” tegasnya.

Ceritanya tidak berhenti setakat itu. Beliau juga pernah menegur dan memberi kaunseling kepada pelajar universiti, remaja dan orang dewasa yang melakukan perbuatan tidak senonoh di tepi tasik dan taman rekreasi di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Pernahkah beliau tersilap menegur pasangan suami isteri?

“Setakat ini tidak pernah, namun jika sudah berkahwin sekali pun tidak molek juga berbuat tidak senonoh di tempat terbuka kerana ada adab dan suruhan agama yang perlu dipatuhi.

Suruh kahwin

“Memang bagi isteri suami perkara seperti berpelukan adalah halal tetapi lebih baik ia dilakukan di tempat tertutup seperti di rumah,” ujarnya.

Jelasnya lagi, dalam sehari jika beliau melakukan rondaan di sebuah taman tasik sahaja lebih 30 pasangan berkasih akan ditangkapnya.

Tetapi mereka tidak pernah melawan dan sanggup berkumpul di depan Ahmadi untuk diberi tazkirah dan ceramah agama agar sedar akan kesilapan dilakukan.

Ahmadi kebiasaannya akan menyarankan pasangan tersebut supaya berkahwin. Sebelum itu, beliau akan menelefon keluarga kedua-dua belah pihak.

“Saya menjadi seperti orang tengah dan memberitahu ibu bapa bahawa itu merupakan jalan terbaik untuk anak mereka walaupun ada yang memberikan seribu satu alasan seperti masih belajar, tidak cukup wang malah sudah beristeri.

“Namun, hampir kesemua mereka berkahwin selepas itu. Malah, agak mengejutkan ramai antara mereka mendapat pekerjaan yang baik seperti ahli perniagaan, jurutera dan doktor khususnya bagi pelajar universiti,” ujarnya.

Katanya lagi, berkahwin semasa belajar ada juga hikmahnya kerana ia membuatkan pasangan itu lebih berpengalaman dan bertanggungjawab.

“Kadang-kadang risiko itu memang besar tetapi realitinya tiada perbuatan yang tidak berisiko, bukan?” kata Ahmadi berfalsafah.

Bagaimanapun, ada juga kisah lucu di sebalik tindakannya.

“Ada keluarga yang datang dan terkejut dengan perbuatan anak perempuan mereka tiba-tiba menampar muka saya kerana menyangka sayalah lelaki kekasih anak mereka.

“Malah, ada yang sampai membawa parang panjang untuk menikam perut saya sebelum diterangkan perkara sebenar,” ujarnya ketawa.

Ketuk pintu

Ahmadi juga berdakwah dari sudut berbeza iaitu menegur pelacur-pelacur di pusat pelacuran terkenal seperti di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Chow Kit.

Beliau yang melakukan perkara itu pada lima tahun lepas berkata pada mulanya beliau berasa gentar dan takut dengan tindakannya itu.

“Tetapi terlintas dalam benak fikiran saya, jika kita ingin berbuat baik mengapa perlu takut sedangkan perkara jahat dan dosa dilakukan dengan mudah.

“Berbuat baik mendapat pahala dan jika sebaliknya pula berdosa. Lagipun jika kita tidak mencegah kemungkaran sahamnya juga ada bagi setiap orang lebih-lebih lagi bagi individu beragama Islam,” katanya.

Jelasnya, kebanyakan pelacur tersebut menerima tegurannya dengan baik. Namun, ada yang menolak dan mencemuh sehingga memanggil bapa ayam masing-masing untuk memukul Ahmadi.

“Tetapi ada juga tidak lama selepas itu menjadi insaf dan melakukan pekerjaan halal. Namun, tiada siapa yang mengajak saya untuk berkahwin,” katanya.

Banyak dugaan yang beliau hadapi sepanjang melakukan tugas itu.

“Saya dan keluarga pernah diugut untuk dibunuh. Malah, ada yang menelefon ingin membakar isteri dan anak saya.

“Saya juga pernah disihir. Salah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah apabila lebih 30 orang berkumpul untuk memukul saya dengan bersenjatakan pistol, parang dan pisau tajam. Tetapi saya tidak diperlakukan apa-apa hatta disentuh sekali pun,” ceritanya.

Terbukti, Ahmadi tidak dapat bertolak ansur terhadap gejala-gejala negatif. Walaupun ada pandangan dan tindakannya yang orang kurang setuju, tetapi itulah Ahmadi. Beliau berani dan konstruktif seperti kata-katanya: “Berpeganglah pada agama Islam sekalipun kamu perlu menggenggam bara api.”

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: