JANGAN salahkan Neelofa jika lakonannya tidak sampai kerana watak Azura memang berat dan perlu banyak bermain dengan emosi, kata pelakon asal filem itu, Fauziah Ahmad Daud.
Namun, katanya, dia bertuah kerana mempunyai pengalaman dalam lakonan selain sering mendapat bimbingan dan dorongan ibu bapanya yang juga pelakon, Allahyarham seniwati Saadiah dan Allahyarham Datuk Ahmad Daud.
"Saya beruntung kerana dilahirkan dalam keluarga seni, malah turut mendapat tunjuk ajar daripada Datuk Jamil Sulong dan Allahyarham M Amin.
"Saya kagum dengan Neelofa kerana berani mengambil watak ini dan dia perlu diberi peluang. Dia tidak ada berjumpa dengan saya untuk bertanyakan mengenai watak Azura, tetapi saya percaya pengarah, Aziz M Osman, nampak kebolehan yang dimilikinya," katanya yang belum berkesempatan menonton lakonan bakat baru itu, walaupun pernah menyaksikannya mengacarakan Nona.
Ogy yang ditemui pada sesi uji bakat Mentor 6 kelmarin menganggap filem ini bukannya sesuatu yang mudah kerana mempunyai plot penceritaan mendalam dan amat sukar untuk membuatkan penonton dibuai dengan permainan emosi.
Bukan sekadar membaca skrip, sebaliknya pelakon harus memahami keseluruhan plot bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai lakaran sebenar watak.
"Kalau betul-betul mengupas watak seperti mengupas bawang, memanglah tidak dapat. Tetapi jika kita mengupas dengan penuh mendalam dan teliti, karakter yang dibawa akan sampai.
"Watak Allahyarham Yusni Hamid dalam filem ini contohnya memang berkesan, sehinggakan orang lupa yang dia sebenarnya pelakon komedi," katanya yang sudah hampir empat dekad terbabit dalam bidang seni.
Sementara itu, kira-kira 400 calon tampil pada sesi uji bakat Mentor bersamanya di Sri Pentas.
Bagi Ogy, bukan rupa paras atau kebolehan menyanyi yang dicari, sebaliknya keaslian dan gaya nyanyian yang menjadi tunjang utama pemilihan anak didiknya.
"Semua orang boleh menyanyi, tetapi sukar untuk mencari bakat yang mempunyai keaslian. Faktor itu sangat penting sebab saya tidak mahu peserta klon. Kalau ada originality, baru sedap saya nak asah bakat.
"Kebanyakan yang datang hari ini pula tidak cukup persediaan, sampaikan ada yang tidak tahu tajuk lagu. Saya akan pilih peserta yang menepati cita rasa saya, kemudian baru dibuat saringan bagi memilih yang terbaik," katanya yang terkejut dengan sambutan hangat diberikan kepada sesi kendaliannya.
Ogy dibantu bekas personaliti TV3, Nizal Mohamad, dan komposer, Ajai, dalam sesi uji bakat berkenaan.
Selain Ogy, Mentor 6 turut membariskan Faizal Tahir, Adam, Ella, Ramlah Ram dan Ferhad sebagai mentor untuk musim terbaru itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: