Tuesday, February 14, 2012

Perjalanan santai dengan tablet info hiburan


KoC eksekutif Nice menawarkan perjalanan yang santai di samping membolehkan penumpang menikmati kemudahan teknologi hiburan dan maklumat berasaskan tablet.


SUZANA sedang asyik menatap tablet kesayangannya di pondok khas di hadapan rumah apabila tiba-tiba dikejutkan dengan sahutan ibunya supaya bersedia untuk berangkat.

Dengan wajah sedikit muram dan geram dia menutup tablet kesayangannya, sekali gus menghentikan sembang dengan buah hati di laman Facebook dan mencapai beg galas sebelum menuju ke teksi yang sudah lama menunggu.

Dengan wajah berkerut dan muka masam mencuka dia masuk ke teksi tersebut menuju ke perhentian bas.

Suzana sebenarnya terpaksa ke Pulau Pinang menaiki bas mewah bersama beberapa rakan tetapi kejutan ibunya memaksa dia menghentikan sembang sosialnya.

Namun raut wajahnya kembali ceria apabila menaiki bas mewah yang dibacanya pada dinding kenderaan berkenaan bertulis Nice.

''Ini mungkin pengalaman menarik bagi aku pertama kali naik bas, sesuai dengan namanya, bas ini mungkin istimewa dan tidak mengecewakan," bisik hati kecilnya.

Dia disambut oleh seorang pembantu wanita kecil molek yang menunjukkan tempat duduknya.

Dia kemudian mendapat tahu, wanita berkenaan ialah pramugari bas mewah Nice itu.

Sebaik melabuhkan punggung dan cuba mengeluarkan tablet dari dalam beg galas , dia tersentak melihat tablet cantik sedia terpasang di hadapannya atau di bahagian belakang tempat duduk.

Bas tersebut milik Konsortium Transnasional Berhad (KTB) yang bekerjasama dengan Blue Signage Sdn. Bhd. (Blue Signage) membolehkan penumpang menikmati kemudahan tablet pada setiap tempat duduk dengan sambungan Internet YES 4G.

Pengarah Urusan Blue Signage, Por Ye Guan berkata, tablet tersebut menterjemahkan apa yang dipanggil kuasa teknologi dihujung jari.

Ia yang menggunakan sistem operasi Android 2.2 dibangunkan selama dua tahun menerusi penyelidikan di Takan Teknologi Malaysia (TPM), Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Penggunaannya menyerupai mana-mana tablet seumpamanya yang sedia ada. Ia menggabungkan sistem maklumat dan hiburan dalam perjalanan santai - satu revolusi baru dalam teknologi pintar ketika ini.

Penumpang yang mengalami nasib yang sama seperti Suzana memang ramai. Tetapi tidak ramai yang mengetahui sistem yang dikenali sebagai BlueIce itu mampu menawarkan lebih daripada sekadar mengisi masa lapang dalam perjalanan.

Blue Signage merupakan syarikat berstatus MSC yang beroperasi di TPM.

''Kami mengambil masa selama 12 bulan membangunkan sistem ini dengan pelaburan RM20 juta dan RM1.2 juta untuk kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan," ujarnya pada pelancaran sistem tersebut di TPM Bukit Jalil baru-baru ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TPM, Datuk Mohd. Azman Shahidin.

Turut hadir Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Konsortium Transnasional Berhad (KTB), Tengku Hasmadi Tengku Hashim; Ketua Pegawai Exsekutif Cradle Fund Sdn. Bhd., Nazrin Hassan dan Presiden Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Perkhidmatan Korporat TPM, Ahmad Husni Johari.

KTB merupakan konsortium mengendalikan operasi bas Cityliner, Transnasional, Nice dan Plusliner.

Teknologi yang dibangunkan dengan penglibatan empat pihak iaitu KTB, Bluesignage, TPM dan Cradle menawarkan kemudahan maklumat dan hiburan menerusi pelbagai aplikasi utama dan popular di kalangan pengguna masa kini.

Ini termasuk melayari Internet, sembang Facebook, mendengar muzik, menonton video, mendapat berita terkini dan bermain permainan video secara percuma selain kemudahan sistem penentu kedudukan global (GPS).

Menurut Ye Guan, pihaknya melihat peluang tersebut sebagai satu pendekatan menarik penumpang menggunakan pengangkutan awam untuk ke satu-satu destinasi dengan kemudahan hiburan.

Pihaknya menawarkan 30 video luar negara untuk ditonton bagi dua tiga bulan kebelakangan dan akan tambah dari semasa ke semasa.

''Kami juga bercadang untuk menawarkan video tempatan untuk kemudahan penumpang Nice," katanya.

Sementara itu menurut Tengku Hasmadi, kemudahan tablet tersebut beroperasi sebaik sahaja enjin bas dihidupkan. Dengan menggunakan sentuhan jari, penumpang boleh memilih aplikasi yang ditawarkan.

Ketika ini, daripada 1,600 bas KTB yang dimiliki dalam empat jenis kemudahan bas, sebanyak 45 Koc Eksekutif Nice dipasang dengan sistem tersebut menjadikannya pengangkutan awam yang pertama di negara ini menggunakan sistem berkenaan.

Beliau berkata, sistem BlueIce yang dipasang pada belakang tempat duduk bas tersebut bersaiz enam inci, memudahkan penumpang menggunakannya dengan santai.

''Pada masa sama kami akan memasang 150 sistem lagi pada bas Plusliner dan Transnasional," katanya.

Katanya, sebanyak 1,200 buah tablet BluIce akan dipasang pada 45 bas Nice dengan kapasiti antara 26 dan 29 tempat duduk setiap bas.

Setakat ini, kira-kira 30 peratus bas telah dipasang dengan tablet berkenaan manakala bakinya pada bulan hadapan.

Beliau menambah, pihaknya bukan baru dalam penawaran kemudahan berkenaan sebaliknya ia dimulakan sejak enam tahun lepas pada bas yang dimiliki bagi memberi pengalaman baru kepada penumpang.

Menariknya, dengan kemudahan tersebut, penumpang tidak dikenakan caj tambahan melainkan mereka menggunakan tablet sendiri serta menggunakan kemudahan jalur lebar mudah alih yang dipasang bas berkenaan.

Ketika ini semua kos Nice dipasang dengan jalur lebar mudah alih dan teknologi Wi-fi sepanjang perjalanan di lebuh raya melibatkan lapan destinasi iaitu Pulau Pinang, Singapura, Melaka, Johor Bahru. Kuantan, Kota Bahru dan Kuala Terengganu dengan jumlah penumpang kira-kira 1,000 sehari.

Sementara itu sejak ditubuhkan pada 1996, TPM memainkan peranan penting sebagai pusat termaju dan komprehensif untuk aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan perusahaan berasaskan pengetahuan.

Menurut Mohd. Azman, TPM merupakan perintis kepada taman sains dan teknologi di negara ini

''Kami memiliki infrastruktur yang bersesuaian dan perkhidmatan sokongan untuk membangunkan usahawan tekno dalam bidang kejuruteraan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan bioteknologi,'' ujarnya.

Ketika ini katanya, lebih 160 syarikat berasaskan teknologi beroperasi di TPM berkeluasan 686 hektar kampus di Bukit Jalil dan 28 daripadanya merupakan syarikat global dan tersenarai dalam Bursa Malaysia.

TPM katanya berperanan menjadi pencetus, memupuk dan menyediakan platform untuk syarikat terbitan berasaskan teknologi untuk menguji idea, dan membuktikan konsep saintifik dan teknologi yang berpotensi menjadi jenama antarabangsa dan menyumbang kepada Keluaran Negara Kasar (KNK).

Ketika ini katanya, terdapat 104 ruang inkubator, yang mana 80 peratus telah diisi, Syarikat terbabit berada dalam pelbagai peringkat pembangunan, dari idea kepada pengkomersialan.

''Apa yang kami tidak ada hanyalah dana dan kami menawarkan yang lan meningkatkan pembangunan produk.

''Usahawan tekno ini mungkin ada produk yang bagus tetapi mereka gagal dalam memasarkannya dan inilah yang kita bantu,'' ujarnya.

Dalam pada itu, menerusi Pusat Inkubator Inovasi (IIC), TPM mampu menyediakan sokongan tertentu untuk usahawan tekno dalam segala keperluan yang penting untuk kejayaan antaranya.

lAkses kepada infrastruktur sebagai contoh, pemesinan, peralatan, makmal dan kemudahan.

lAkses kepada kepada kewangan.

lAkses kepada teknologi dan kepakaran.

lAkses kepada pasaran.

Hiburan di hujung jari

Evolusi sistem info hiburan sejak 20 atau 30 tahun lepas hanya merujuk kepada set televisyen yang dipasang pada bas ekspres dan disambungkan kepada pemain video VHS, cakera padat video atau cakera padat digital (DVD).

Secara amnya, penumpang bas hanya menonton terus ke kaca televisyen daripada pelbagai jakar bergantung kepada tempat duduk mereka masing-masing dan mendengar audio daripada pembesar suara sepanjang perjalanan.

Konsep menikmati hiburan sepanjang perjalanan dalam bas kini berubah daripada menyaksikan tayangan video beramai-ramai atau berkongsi kepada konsep perseorangan.

Ia merupakan hasil daripada kemajuan teknologi multimedia secara pantas membolehkan penumpang memilih sendiri program yang diminati menerusi skrin LCD di hadapan mereka.

Mereka juga boleh memilih sendiri muzik kegemaran dan mendengarnya menerusi fon kepala tanpa mengganggu penumpang lain.

Dengan adanya tablet ini yang dikawal secara berpusat, penumpang dapat menikmati aplikasi yang ditawarkan termasuk bahan berita terkini.

Penumpang tidak perlu resah gelisah dengan keadaan jalan yang mungkin berlaku kesesakan kerana semuanya ditawarkan untuk keselesaan.

Dengan koc eksekutif Nice yang mungkin tambangnya lebih sedikit berbanding perkhidmatan lain, perjalanan anda berbaloi dan merupakan satu pengalaman menarik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: