Saturday, February 11, 2012

Penginapan selesa di tengah bandar




PENGINAPAN selesa pastinya menjamin percutian yang menyeronokkan, selain menjanjikan momen terindah yang pasti akan tersemat 1,001 memori manis sebagai kenang-kenangan.

Di Kuantan, Pahang, Hotel MS Garden merupakan pilihan yang tepat kerana bukan sahaja perkhidmatan yang ditawarkan cukup sempurna dan memuaskan tetapi segalanya eksklusif.

Baik dari susun atur lobi, dewan utama, restoran dan bilik, semuanya pasti membuatkan anda terpukau terutama tatkala mata memandang dekorasi hotel yang cukup versatil.

Mungkin pengalaman pihak pengurusan dalam mengendalikan hotel berkenaan selama 16 tahun membuatkannya lebih peka dengan selera dan cita rasa pengunjung.

Menariknya, berkonsepkan hotel halal, semua makanan yang disajikan di empat outlet boleh dinikmati tanpa was-was bagi kalangan pengunjung Muslim.

Demi memastikan setiap pengunjung terutama yang beragama Islam berasa selesa, Hotel MS Garden sejak tahun lalu tidak lagi menghidangkan minuman keras kepada pelanggannya termasuk di restoran masakan Cina dan Barat di dalam premisnya.

Menurut Pengurus Besarnya, Muhamad Ngadi Leber, hotel setinggi 12 tingkat itu menawarkan harga yang cukup relevan dan berbaloi dengan kemudahan yang disediakan.

"Sebanyak 204 bilik disediakan dengan pelbagai saiz dan reka bentuk bagi memastikan setiap pengunjung dapat menikmati percutian yang selesa.

"Setiap bilik pula dilengkapi dengan penghawa dingin, katil saiz queen, almari, televisyen paparan hablur cecair (LCD), peti ais mini, cerek elektrik, sejadah, telekung dan seterika.

"Pengunjung juga bebas melayari internet di mana-mana sahaja dalam hotel ini kerana kemudahan WiFi adalah percuma," katanya kepada S2 baru-baru ini.

Tambahnya, Hotel MS Garden juga sesuai untuk golongan korporat atau kakitangan bagi mengadakan seminar, mesyuarat dan jamuan makan sama ada minum petang atau makan malam.

"Dengan tiga buah dewan (ballroom) sedia ada termasuk yang mampu memuatkan 1,000 orang dalam satu-satu masa, kami mampu memenuhi setiap permintaan penganjur seminar.

"Malah, tujuh buah bilik mesyuarat yang disediakan juga kadang kala digunakan oleh syarikat-syarikat korporat untuk menjalankan sesi temuduga pengambilan pekerja," ujarnya.

Lokasi Hotel MS Garden juga strategik iaitu terletak berhampiran kompleks beli-belah terbesar di Pahang dan kira-kira lima kilometer dari pusat peranginan seperti Teluk Chempedak, Pantai Balok, Pantai Batu Hitam dan Mini Zoo Teruntum.

Selain pakej dan lokasi yang menarik, hotel yang mempunyai reka bentuk seperti seekor singa sedang duduk ini turut menyediakan perkhidmatan sampingan seperti gimnasium, spa dan sauna, kolam renang serta surau.

Malah, surau yang dibina sejak dua tahun lalu di dalam bangunan hotel tersebut aktif menjalankan pelbagai aktiviti seperti tahlil, tadarus dan solat hajat.

Setiap kali tibanya bulan Ramadan, surau yang boleh memuatkan 70 jemaah dalam satu masa itu akan mengadakan solat tarawih.

Dalam masa yang sama, hotel ini sering menawarkan pakej istimewa bertemakan perayaan atau apa sahaja peristiwa.

Sebagai contoh, setiap kali Ramadan, pasti kelihatan deretan 'bazar' di lobi hotel berkenaan yang menawarkan keperluan hari raya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: