SEKITAR sepuluh hingga 15 tahun lalu irama nasyid telah berjaya menembusi pasaran industri muzik tempatan serta mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik tanah air.
Ketika itu muncul pelbagai kumpulan nasyid kontemporari seperti Raihan, Rabbani, Hijjaz, Inteam dan lain-lain sehinggakan penjualan album yang mengandungi lagu-lagu berunsur ketuhanan dan menyeru ke arah kebaikan mendapat sambutan dan mencecah puluhan ribu unit.
Buktinya, album sulung kumpulan Raihan yang berjudul Puji-Pujian telah mencipta rekod baharu dalam penjualan album tempatan iaitu sebanyak 750,000 unit dan masih belum lagi dipecahkan oleh mana-mana penyanyi sehingga sekarang.
Namun begitu, irama nasyid dikatakan sudah tidak lagi semeriah dahulu dan sudah kurang mendapat sambutan terutamanya dalam kalangan golongan muda yang diketahui merupakan penggemar lagu-lagu nasyid sebelum ini.
Pengarah Eksekutif Nasyeed Edutainment Publishing (Nasyeed.Com), Mohd. Khairulnizam Zainol menafikan irama nasyid semakin suram kerana sehingga kini ia masih lagi diterima ramai.
“Sepanjang tahun 2011 sebanyak 30 buah album nasyid tempatan telah dihasilkan dan ini membuktikan bahawa masih ada lagi sebilangan penggemar muzik yang terus meminati lagu-lagu nasyid.
“Mungkin perkembangan irama ini dalam tiga atau empat tahun lalu bergerak agak perlahan. Namun, saya yakin nasyid kini akan melalui zaman kebangkitan semula dan mampu mencapai zaman kegemilangan seperti dahulu,” ujarnya.
Menurut Khairulnizam, dalam usaha untuk memeriahkan semula industri muzik nasyid tempatan, pihaknya telah bersepakat untuk menganjurkan sebuah acara yang dikenali sebagai Anugerah Nasyeed.Com.
Jelasnya, matlamat utama penganjuran anugerah berkenaan adalah untuk memartabatkan irama berkenaan serta memberi pengiktifaran kepada penggiat nasyid tanah air yang banyak memberikan sumbangan terhadap perkembangan industri itu.
“Kami mengambil inisiatif ini bukanlah mahu bersaing dengan mana-mana acara anugerah yang sedia ada. Lagipun sekarang ini masih belum ada lagi acara anugerah yang khusus kepada nasyid.
“Jadi, kami merasakan sudah tiba masanya anugerah sebegini dianjurkan dalam usaha kami untuk menyemarakkan semula kemeriahan dan kegemilangan irama nasyid seperti yang pernah dilalui dahulu,” jelasnya.
Ketika berucap pada majlis pelancaran Anugerah Nasyeed.Com baru-baru ini, Khairulnizam memberitahu bahawa acara anugerah tersebut akan mempertandingkan lagu-lagu yang bersaing dalam Carta Nasyeed.Com.
Ujarnya, carta tersebut mula diwujudkan pada bulan Julai 2011 dengan menggunakan platform laman sosial Facebook dan para peminat boleh mengundi lagu-lagu kesukaan mereka dengan melawat laman sosial tersebut menerusi nama Nasyeed.Com.
“Walaupun carta ini baru sahaja diperkenalkan beberapa bulan yang lalu, tetapi ia telah mendapat sambutan yang hangat apabila ia telah dikunjungi oleh 1.2 juta pengguna Facebook,” ujarnya.
13 kategori
Merupakan acara anugerah yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh Nasyeed Edutainment Publishing, ia akan berlangsung pada 13 dan 14 April 2012 di Dewan Muktamar Pusat Islam, Kuala Lumpur.
Pengasasnya, Muhamad Razin Che Mud berkata, semasa anugerah itu diadakan nanti, sebanyak 13 kategori akan dipertandingkan merangkumi lagu terbaik dan anugerah dari segi teknikal.
“Tentang pemilihan lagu yang akan bersaing nanti hanya lima buah lagu yang dipilih untuk setiap kategori dan pemilihan dibuat berdasarkan undian orang ramai menerusi laman Facebook kami.
“Mengenai undian berkenaan ia boleh dilakukan sehingga 26 Februari ini dan peminat boleh undi mana-mana lagu yang mereka gemari. Selepas itu hanya lima lagu bakal terpilih dan penilaian akan dibuat oleh juri profesional yang dilantik,” ujarnya.
Antara kategori yang akan dipertandingkan nanti adalah seperti Anugerah Nasyeed Sirah, Anugerah Nasyeed Cinta, Anugerah Nasyeed Amar, Anugerah Nasyeed Selawat, Anugerah Nasyeed Perjuangan dan Anugerah Nasyeed Munajat.
Tujuh lagi anugerah yang turut dipertandingkan menerusi kategori teknikal iaitu Anugerah Susunan Muzik Terbaik, Klip Video Terbaik, Vokal Terbaik, Lirik Terbaik, Lagu Terbaik, Juara Carta Nasyeed.Com dan Khalifah Nasyeed.
“Acara anugerah ini akan berlangsung pada 13 April, tetapi ia hanya boleh dihadiri oleh pihak media serta tetamu undangan memandangkan tempatnya yang agak terhad dan tidak mampu menampung ramai orang.
“Kemudian pada keesokan harinya kami akan menganjurkan sebuah konsert nasyid di tempat yang sama dan ia terbuka kepada semua orang. Konsert ini dianjurkan sebagai satu penghargaan kepada peminat yang banyak memberikan sokongan,” ujarnya.
Muhamad Razin turut meluahkan kegembiraan kerana bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menyatakan persetujuan untuk menjadi penaung kepada anugerah tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: