Pengalaman susui anak beri Dynas inspirasi

Biarpun perniagaan yang pernah dibina bersama rakan seangkatannya, Awal Ashari suatu ketika dahulu terpaksa berhenti separuh jalan, tetapi pelakon jelita tinggi lampai Dynas Mokhtar tidak putus asa untuk terus menceburi bidang yang sama.

Masih lagi tertumpu kepada perniagaan menjual pakaian, namun pada kali ini pemilik nama sebenar Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar memilih untuk fokus kepada rekaan baju menyusu buat ibu.

Mengekalkan nama perniagaan sama sewaktu mengusahakan bisnes lamanya bersama Awal, Dynas memilih untuk menamakan butiknya sebagai Dynas Nursing Attire (DNA) yang juga begitu ‘dekat’ dengan namanya sendiri.

Beroleh inspirasi untuk membuka DNA daripada pengalamannya menyusukan permata hati, Khyra Khalyssa, wanita berusia 29 tahun ini memahami kesulitan para ibu yang sukar untuk menyusukan anak mereka di tempat awam.

Menurutnya, pengalaman menyusukan Khyra dengan susu badan membuatkan dia terpanggil untuk menghasilkan rekaan baju menyusu untuk kemudahan para ibu menyusukan anak mereka di mana-mana sahaja.

“Selepas melahirkan Khyra, Dynas hanya memberikan dia susu badan kerana percaya ia adalah makanan terbaik untuk bayi pada usianya ketika itu.

“Namun, yang menjadi masalahnya adalah apabila membawa Khyra keluar kerana Dynas jenis yang suka membawa Khyra berjalan- jalan seperti pergi ke pusat membeli-belah. Khyra pula jenis yang kerap menyusu tidak kiralah di mana sahaja.

“Justeru, menyedari sebenarnya ramai para ibu berdepan dengan situasi ini, Dynas mendapat idea untuk menghasilkan baju menyusu yang memudahkan para ibu untuk memberi susu badan kepada anak mereka di mana-mana sahaja,” katanya ketika ditemui di butiknya yang terletak di The Curve, Damansara.

Bertitik tolak daripada pengalamannya itu, bekas pengacara rancangan Beat TV ini optimis permintaan terhadap baju menyusu begitu diperlukan oleh para ibu di negara ini.

Tidak hanya menawarkan rekaan baju menyusu sahaja, Dynas giat mengembangkan lagi skop rekaannya dengan menghasilkan baju untuk ibu mengandung juga.

“Apa yang menariknya, di DNA kami memperkenalkan baju yang bukan sahaja boleh digunakan untuk menyusu, malah ibu mengandung juga boleh pakai baju tersebut, seperti rekaan dua dalam satu.

“Secara tidak langsung, para ibu boleh mempersiapkan diri mereka dengan memakai baju yang sama sewaktu mengandung dan juga selepas bersalin, sekali gus menjimatkan wang mereka,” katanya yang telah mengusahakan DNA sejak Mei tahun lalu.

Reka baju sendiri

Tidak hanya pandai menguruskan bisnes, dalam diam Dynas juga merupakan pereka fesyen baju-baju yang dijual di butiknya itu.

Mengakui sudah lama meminati bidang rekaan fesyen, selebriti yang berasal dari Petaling Jaya ini ternyata hanya menunggu masa untuk mempamerkan bakatnya sebagai pereka di DNA.

“Sebenarnya, sejak dari kecil lagi Dynas memang suka melakar dan melukis baju. Cuma belum diberi kesempatan sahaja untuk memperlihatkan bakat yang ada.

“Sewaktu membuka butik bersama Awal dulu, kami masih baru lagi dalam bisnes. Dynas juga sibuk dengan tawaran berlakon pada ketika itu, jadi Dynas tiada masa untuk menghasilkan rekaan baju di butik yang kami buka.

“Tambahan pula, Dynas ketika itu masih belum berkahwin jadi idea untuk menghasilkan baju sendiri belum timbul lagi pada waktu itu,” katanya.

Bercerita mengenai cetusan ideanya sebelum membuka butik DNA, Dynas berkata, dia hanya cuba menghasilkan baju menyusu untuk dipakai dirinya sendiri sahaja.

“Pada ketika itu, Dynas memakai jubah menyusu rekaan pertama sewaktu menghadiri majlis cukur jambul di rumah rakan.

“Daripada situ, ramai yang bertanya dan berminat dengan baju yang Dynas hasilkan. Malah, mereka juga berkongsi cerita akan kesukaran untuk menyusukan anak di tempat awam kerana faktor baju yang tidak bersesuaian.

“Di situ juga, ramai dalam kalangan rakan-rakan Dynas yang mula menempah untuk membuat baju menyusu dan mereka juga mencadangkan supaya Dynas membuka butik khusus untuk baju tersebut,” ujarnya lagi.

Positif terima kritikan

Memegang konsep ‘pelanggan sentiasa betul’, Dynas menanamkan sifat positif dengan sebarang kritikan yang diterima.

Tiada istilah berputus asa dalam hidupnya, isteri kepada Mohd Hafizy Hafiz ini percaya setiap komen yang diterima penting untuk membantu membangunkan lagi perniagaannya.

“Dynas tidak pernah anggap sebarang kritikan yang diterima adalah untuk menghancurkan bisnes, sebaliknya Dynas anggap ia sesuatu yang positif untuk meningkatkan lagi perniagaan yang ada ini.

“Pada awal berniaga, ada juga kami terima komen mengenai harga baju yang dijual di sini sedikit mahal. Namun, Dynas terima ia sebagai satu motivasi untuk DNA.

“Sebenarnya, material yang Dynas gunakan dalam setiap rekaan adalah berkualiti. Lagi pula, baju yang digunakan boleh dipakai untuk dua tujuan, menyusu dan juga ibu mengandung. Jadi, mungkin ada yang kurang faham akan harga dengan kegunaan yang ditawarkan,” katanya.

Bagaimanapun, Dynas memberitahu, DNA kini sedang dalam proses mencari sumber lain yang boleh membekal material yang berkualiti dengan harga yang lebih murah daripada yang diterima kini.

“Setiap teguran daripada pelanggan kami terima dengan baik dan kini kami sedang berusaha mencari pembekal lain yang boleh menawarkan harga yang lebih murah daripada yang ada sekarang. Namun, yang pastinya kami di sini begitu mementingkan kualiti material,” katanya lagi.

Menurut Dynas, terdapat banyak pilihan baju menyusu dan mengandung boleh didapati di butiknya termasuk rekaan baju kasual, baju lengan panjang, tanpa lengan, jubah, gaun dan baju kurung moden. Menawarkan pelbagai saiz bermula daripada saiz S sehinggalah ke saiz XL, baju tersebut boleh didapati dengan harga serendah RM50.

Terima komen pelanggan

Perlu mencari rekaan-rekaan terkini bagi memberi lebih variasi kepada produknya, Dynas bertindak bijak dengan mendengar pendapat dan komen pelanggan yang datang ke butiknya.

“Selalunya, Dynas akan tanya pendapat pelanggan yang datang ke butik untuk mengetahui cita rasa mereka. Melalui cara itu, Dynas akan mengemas kini rekaan sedia ada dengan cara seperti menambah ropol-ropol pada baju ataupun melonggarkan sedikit baju yang ada untuk memudahkan mereka bergerak,” katanya.

Selain menawarkan baju-baju mengandung dan menyusu, Dynas turut menghasilkan set baju untuk ibu dan anak.

Dalam pada itu, Dynas turut merancang untuk menghasilkan set baju bapa dan anak yang akan dilancarkan menjelang sambutan Hari Bapa nanti.

Menurutnya, idea untuk menghasilkan set baju tersebut tercetus daripada suaminya, Mohd Hafizy yang mengutarakan untuk memakai baju sama dengan Khyra.

“Pada mulanya, suami Dynas beritahu ada kain lebihan baju Melayunya. Jadi, saya mendapat ilham untuk menghasilkan baju yang sama warna untuk suami dan Khyra,” katanya.

Selain itu, Dynas turut menawarkan perkhidmatan custom-made untuk pelanggan yang inginkan rekaan lain seperti tempahan untuk baju Melayu bapa dan anak.

“Kami juga membuka peluang untuk mereka yang ingin menempah baju berdasarkan bajet yang mereka sediakan. Tempahan ini boleh dibuat secara terus di butik DNA ataupun melalui laman sosial, Facebook dengan menaip DNA Boutique,” katanya.

Bisnes tumpuan utama

Dynas yang kini sedang mengandung lima bulan berhasrat menumpukan kepada perniagaan yang dijalankan kini.

Tidak berniat untuk meninggalkan bidang lakonan dan pengacaraan, Dynas memberitahu akan aktif selepas melahirkan anak keduanya pada Jun nanti.