PUTRAJAYA - Cetusan semangat dan harapan rakyat untuk terus bekerja kuat lazimnya dikaitkan dengan perkhabaran berita yang menggembirakan membabitkan pencapaian dalam negara.
Justeru, dalam hal itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang sering menggalas amanah dalam menentukan hala tuju sukan negara, menjadi tunjang utama untuk memastikan berita gembira tersebut terus disajikan kepada rakyat.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sejak tiga tahun lalu, pencapaian arena sukan negara mencapai momentum yang padu dan menjadi tumpuan jutaan rakyat.
Dengan menggondol pelbagai kejayaan katanya, ia disifatkan sebagai satu berita gembira untuk pengetahuan orang awam dan secara langsung menyuntik semangat baharu.
"Perkara yang sama turut dikongsi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang gembira apabila setiap kali atlet negara termasuk pasukan bola sepak mencapai kemenangan pada setiap kejohanan.
"Dengan ini, setiap kakitangan KBS memikul tanggungjawab yang besar dalam memastikan perkhidmatan sekunder ini berterusan bagi menggembirakan rakyat," katanya ketika merasmikan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KBS 2011 di sini semalam.
Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim dan Ketua Setiausaha KBS, Datuk Mohid Mohamed.
Seramai 359 kakitangan KBS seluruh negara termasuk agensi berkaitan menerima pengiktirafan tersebut selepas melalui panel pemilihan yang ketat berdasarkan panduan yang diberi oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: