SEMENJAK Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) di wujudkan, masyarakat antarabangsa telah menyaksikan sendiri penyelidikan dan eksperimen saintifik dijalankan di stesen tersebut.
Terbaru, Agensi Angkasa Negara (Angkasa) diberi peluang oleh Agensi Penerokaan Angkasa Jepun (JAXA) untuk menawarkan program khas kepada orang ramai yang berminat mencadangkan pelbagai jenis eksperimen untuk dilaksanakan di ISS.
Dinamakan sebagai program Try Zero G 2 ia merupakan sebuah program pendidikan di ISS yang dilaksanakan oleh JAXA bertujuan menunjukkan perbezaan antara fenomena sains antara sifar graviti (0G) dan graviti (1G) di bumi.
Menurut Pegawai Sains Angkasa, Jong Tze Kian, program tersebut telah mula diadakan sejak tahun lepas. Namun agak kurang sambutan berikutan tempoh yang diberikan oleh JAXA untuk memilih serta menghantar cadangan eksperimen tersebut agak terhad.
“Tahun ini merupakan kali kedua ia diadakan. Justeru kami mengharapkan lebih banyak idea berkenaan eksperimen dapat ditonjolkan oleh rakyat Malaysia sekali gus berjaya dipilih untuk dilaksanakan di sana (ISS),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di Planetarium Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jelasnya, program tersebut bermula dari idea yang dikemukakan oleh peserta kepada pihak Angkasa yang kemudiannya akan ditapis dan yang terbaik akan dipilih.
“Kita akan pilih antara lima hingga lapan idea terbaik daripada seluruh idea yang diterima. Idea tersebut akan dihantar ke JAXA sebelum ia dilaksanakan di ISS,” ujarnya.
Tambah beliau, tahun lepas sebanyak dua idea eksperimen telah diterima oleh JAXA untuk dilaksanakan di ISS.
“Ia merupakan satu kebanggaan buat kita kerana bukan mudah untuk menentukan eksperimen yang boleh dilakukan di ISS.
“Hal demikian kerana di ISS terdapat peraturan yang tersendiri yang mana tidak semua jenis eksperimen dapat dilaksanakan,” katanya.
Di ISS, angkasawan JAXA, Hoshiide akan menjalankan aktiviti dan eskperimen terpilih berdasarkan prosedur yang akan dicadangkan dalam misinya di Modul Eksperimen Jepun pada tahun ini.
Bagi pertandingan atau program ini, Angkasa menggalakkan penyertaan daripada golongan pelajar dan guru-guru sekolah.
Ini kerana, jika cadangan eksperimen tersebut berjaya diterima dan dilaksanakan di ISS ia boleh digunakan untuk tujuan pembelajaran disekolah-sekolah.
Aktiviti eksperimen di ISS tersebut akan dirakam dengan menggunakan kamera video berdefinisi tinggi (HD) dan akan diedarkan ke sekolah-sekolah sebagai salah satu medium pembelajaran.
Namun, untuk menyertai pertandingan ini, peserta yang ingin mengutarakan idea perlulah memenuhi syarat-syarat penggunaan alatan tertentu.
Ia berikutan keterbatasan pergerakan serta peralatan yang boleh digunakan di ISS kerana tertakluk dengan isu keselamatan stesen tersebut.
Antara peraturan yang dikenakan adalah, idea atau eksperimen yang telah dilaksanakan tidak akan diterima, aktiviti atau eksperimen dijalankan dalam Modul Kajian Jepun iaitu Kibo.
Seterusnya, masa eksperimen tidak terlalu lama iaitu tidak melebihi 10 minit dan arahannya juga ringkas agar memudahkan kanak-kanak memahaminya.
Terakhir, eksperimen perlu dilaksanakan dengan menggunakan alatan yang dibenarkan atau yang terdapat di ISS sahaja seperti yoyo, pita pengukur tidak melebihi dua meter, kertas origami, gelang getah, pemberat (besi, aluminium, kayu, palstik) dan pelbagai lagi.
Semua aktiviti yang berjaya dipilih akan diadakan di ISS dan dirakam bagi tujuan pembelajaran. Video tersebut akan di hantar kepada Angkasa.
Malah, beberapa idea juga boleh diterima daripada satu permohonan dan tarikh tutup bagi program ini adalah pada 24 Februari ini.
Setiap peserta yang berjaya akan menerima sijil penghargaan serta hadiah daripada JAXA serta pihak Angkasa.
Untuk memohon peserta boleh mendapatkan borang melalui online di www.angkasa.gov.my/tryzerog/ atau hubungi sekretariat Try Zero G 2 di talian 03-22734303, 03-22735484.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: